FAM Hantar Ong Kim Swee Dan Pembantunya Berguru Di Sepanyol

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan akan menghantar Ketua jurulatih skuad Bawah 23 kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee dan penolongnya, Brad Maloney ke Sepanyol awal pagi esok untuk menimba ilmu kejurulatihan bersama kelab Atletico Madrid dan juga pasukan kebangsaan Sepanyol selama sebulan.

Perkara itu diumumkan oleh Setiausaha Agung FAM, Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin melalui laman facebook rasmi FAM sebentar tadi.

DATUK ONG KIM SWEE & BRAD MALONEY BERLEPAS KE SEPANYOL, AWAL PAGI ESOKKetua jurulatih skuad B-23 kebangsaan, Datuk Ong…

Posted by Football Association of Malaysia (Official) on Sunday, February 25, 2018

Menurut Hamidin, pemergian kedua-dua jurulatih ini ke Sepanyol adalah hasil usaha dan inisiatif daripada Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim bagi meningkatkan lagi kualiti kejurulatihan mereka.

Ia juga merupakan perancangan untuk memberikan impak positif buat skuad muda negara menjelang kejohanan Sukan Asia 2018 di Indonesia, Ogos depan.

“Diharap Kim Swee dan Maloney dapat menggunakan sepenuhnya peluang ini dengan meraih sebanyak mana ilmu baharu sepanjang tempoh sebulan di sana nanti bagi membalas kepercayaan diberikan Tunku Ismail yang mahu memastikan tahap bola sepak Malaysia terutama skuad muda negara terus mencapai peningkatan positif dari semasa ke semasa,” katanya.

Bulan lepas, Datuk Ong Kim Swee melakar sejarah dalam karier jurulatihnya apabila membawa skuad Malaysia Bawah 23 Tahun mara ke suku akhir kejohanan AFC B-23 buat kali pertama di China.

Malah, Kim Swee turut membawa skuad yang sama menyumbang pingat perak dalam acara bola sepak Sukan SEA 2017 yang diadakan di ibu negara.

Kejayaan beliau mendapat pujian ramai pihak dan membuka mata pihak pengurusan FAM untuk memberikan kepercayaan kepadanya untuk mengemudi skuad negara menghadapi kejohanan Sukan Asia 2018 dan sasaran layak ke Olimpik 2020.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram