FAM Dan PSM Berkerjasama Jadikan Stadium Nasional Bukit Jalil Sebagai ‘Wembley Malaysia’

Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mewujudkan suasana baharu kepada orang ramai sama seperti berada di Stadium Wembley di Bandar Sukan Kuala Lumpur (KLSC), Bukit Jalil tidak lama lagi.

Perbincangan antara kedua-dua pihak berjalan dengan lancar apabila Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin, menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Tan Sri Tony Fernandes di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Perbincangan mereka tertumpu kepada dasar bersepadu berhubung keselamatan dan penjualan tiket, peningkatan perkhidmatan pelanggan korporat dan pengalaman menonton yang selesa untuk penyokong di Stadium Nasional, dengan FAM dianggap sebagai klien utama.

Hadir sama, Naib Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram dan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam manakala Fernandes diiringi oleh ahli lembaga pengarah Perbadanan Stadium, Radzi Tajuddin.

FOTO: FAM

PSM berhasrat mewujudkan suasana baharu di Stadium Nasional Bukit Jalil sama seperti berada di Stadium Wembley, London, yang menempatkan restoran hebat, kedai cenderamata dan diadakan hiburan dalam kawasan stadium.

“Kami menyokong sepenuhnya cadangan Perbadanan Stadium untuk menjadikan KLSC (Bandar Sukan Kuala Lumpur) destinasi menarik untuk semua. Beberapa cetusan idea baharu, termasuk lawatan ke stadium untuk pengunjung dan kedai menjual barangan rasmi yang tetap. Sebagai klien, FAM gembira dapat bekerjasama dengan Perbadanan Stadium,” kata Dato’ Haji Hamidin.

FOTO: FAM

Fernandes turut berbesar hati dengan peluang berkongsi idea dengan Dato’ Haji Hamidin dan FAM.

“Kami gembira bertemu dengan Dato’ Haji Hamidin dan FAM. Dengan pengalaman saya dalam industri penerbangan, sukan dan hiburan, kami bercadang menjadikan Stadium Nasional sebagai pusat tumpuan bola sepak utama di rantau ini,” kata Fernandes.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram