FAM: Bayaran Pampasan Graduan AMD Untuk Lahirkan Lebih Ramai Pemain Berbakat

Keputusan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk meletakkan ‘tanda harga’ kepada semua graduan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) telah mencetuskan perdebatan oleh beberapa pihak. Sebahagiannya bersetuju dan ada juga yang menentang keras langkah tersebut.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam kenyataannya kepada Bernama menjelaskan, setiap pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia (Liga-M) perlu menerima keputusan tersebut sekalipun ianya pahit untuk ditelan.

Disebabkan semua persatuan bola sepak negeri atau kelab tidak mempunyai ekosistem pembangunan secara sistematik dan menyeluruh, pihak kerajaan dan FAM terpaksa menubuhkan AMD bagi meningkatkan kuantiti dan kualiti pemain menerusi penubuhan akademi elit tersebut.

“Kalau semua 14 negeri ada sistem seperti AMD (akademi pembangunan) kita tak payah ada AMD. Kita (AMD) membuat satu perkara baik yang memudahkan semua pihak.

“Dunia bola sepak sedang berubah dan Pampasan Latihan itu kita hanya ikut kaedah yang diperkenalkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA),” katanya.

Pasukan yang berhasrat mendapatkan pelatih AMD apabila perlu membayar pampasan bermula serendah USD2,000 (RM8,280) untuk satu-satu pemain selaras dengan garis panduan ditetapkan FIFA.

Stuart bagaimanapun menegaskan bahawa jumlah pampasan tersebut terlalu rendah jika mahu dibandingkan dengan kos yang perlu dikeluarkan oleh pihak AMD untuk menghasilkan seorang pelatih elit yang berkualiti.

“Jumlah ditetapkan FIFA itu mungkin bersesuaian untuk akademi yang tidak mengeluarkan kos terlalu besar tetapi di AMD kos yang dibelanjakan amat tinggi jadi mungkin kita boleh naikkan sedikit Pampasan Latihan itu.

“Bila kos tinggi kita perlu buat sesuatu untuk tampung balik kos dikeluarkan. Ia bukan langkah untuk membuat untung tetapi kita perlu liputi kos untuk melabur semula wang untuk mengeluarkan lebih banyak pemain berbakat”.

Bagaimanapun ianya mendapat respon Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysua (PJBM), B. Satiananthan yang mempertikaikan keputusan FAM untuk memperkenalkan bayaran pampasan berkenaan.

Menurut Ketua Jurulatih Selangor itu, MSN bukan sebuah persatuan bola sepak negeri yang terikat di bawah peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Maka sekiranya badan induk sukan negara itu mahu buat keuntungan, mereka perlu jadikan MSN sebuah badan swasta dan diseragamkan mengikut peraturan FIFA.

Kredit Foto: FAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram