Falsafah Taktikal Menyerang Penuh Fleksibiliti Aidil Sharin Mampu Remajakan Cabaran Kedah

Aidil Sharin Sahak, nama yang pasti menjadi bualan dan tanda tanya kepada segelintir penyokong Lang Merah pada ketika ini.

Digelar ‘Pep Guardiola Singapura’ dalam artikel yang diterbitkan oleh Goal.com Singapura, Aidil Sharin sudah menempa namanya sebagai antara jurulatih terbaik di Singapura ketika ini.

Dan, malam tadi secara rasminya, Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menerusi Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah mengumumkan pelantikannya sebagai ketua jurulatih yang baharu.

Apakah akreditasi jurulatih berusia 41 tahun ini?

Meminati Pep Guardiola

Aidil Sharin bukan sahaja meminati pengurus Manchester City, Pep Guardiola, malah menurut Goal.com, taktikal dan gaya kejurulatihannya amat mirip kepada Pep dari beberapa aspek.

Jika anda pernah mengikuti ulasan taktikal bersama penulis Semuanya BOLA, Axello ada menyatakan yang Pep adalah seorang jurulatih yang gemarkan permainan menyerang.

Aidil Sharin
Foto: Today Online

Juego de Posición ataupun sentiasa aktif menyerang dan menguasai bola dengan berterusan. Rujuk artikel ini untuk lebih kefahaman mengenai falsafah Pep Guardiola.

Menang adalah fokus utamanya, tiada pengecualian. Dan permainan menyerang yang menarik serta gabungan pemain muda berbakat adalah falsafah Aidil sejak bergelar jurulatih.

“Ketika saya bergelar pemain, saya beraksi menentang pasukan-pasukan hebat. Generasi tersebut memiliki ramai pemain-pemain berbakat.

“Kami memenangi pelbagai trofi kejuaraan dan daripada itu saya bina kaedah dan falsafah bola sepak saya,” ujarnya.

Kredit: ESPN FC

“Boleh dikatakan yang saya sangat meminati Pep Guardiola berdasarkan persamaan falsafah bola sepak kami.

“Berdasarkan rekod dan prestasi terkininya ketika ini, ditambah dengan kejayaannya, dia adalah yang terbaik. Dia muda dan banyak idea, berkongsi analisis di media dan juga di tv.

“Jadi, dia adalah idola saya,” ujar Aidil Sharin lagi yang telah bermula dalam kerjaya kejurulatihan bersama pasukan kanak-kanak di Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC).

Gemarkan pemain muda

“Selain itu, semua pemain berpeluang untuk berada dalam kesebelasan utama, tidak kira berapa umurnya.

“Saya terbuka untuk beri peluang kepada pemain-pemain muda. Asalkan mereka bekerja keras,” jelasnya yang telah mula bersama Home United sejak tahun 1996, tahun awal penubuhan kelab.

Selepas CDC, dia kembali ke Home United sebagai jurulatih skuad muda seterusnya menjadi pembantu jurulatih kepada dua jurulatih iaitu Lee Lim-saeng (2012-2014) dan Philippe Aw (2014-2016).

Aksi Amiruldin Asraf dalam perlawanan menentang Malaysia di Sukan SEA.

“Amiruldin Asraf adalah contoh bagaimana saya mempercayai bakat muda. Baru berusia 18 tahun, namun dia mempunyai keinginan dan kreativiti, jadi saya bagi dia peluang.

 

“Kombinasi antara yang muda dan yang berpengalaman itu perlu. Dan membentuk watak (pemain) juga adalah sebahagian daripada tugas sebagai jurulatih,” jelasnya lagi.

Dengan CV pernah melatih pasukan akar umbi di program CDC, dia sukakan pemain-pemain muda yang berbakat dan itu akan dia dapati di kilang pemain muda berbakat di Malaysia iaitu Kedah.

Falsafah bola sepak

Aidil percaya bertahan bukanlah satu cara untuk pasukannya meraih kemenangan.

“Taktikal bola sepak menyerang adalah kegemaran saya,” ujarnya kepada Goal mengenai falsafah bola sepak yang digemarinya dan inilah yang telah dipraktikannya ketika membimbing Home United.

“Bagi saya, saya sangat tidak suka untuk bertahan. Jika kita tidak menyerang, kita tidak akan menang,” terangnya lagi yang pernah disenaraikan untuk melatih skuad kebangsaan Singapura.

Di bawah kendaliannya, Home United telah merekodkan jumlah jaringan yang besar pada musim 2017 iaitu 58 gol dengan purata jaringan setiap perlawanan kedua tertinggi sejak 2011.

Aidil Sharin
Foto: The Straits Times

Namun ini bukanlah bermaksud yang Aidil Sharin akan biarkan barisan benteng pertahanannya ‘dirogol’. Buktinya, Home United bukanlah pasukan yang lemah di barisan pertahanan mereka.

Musim itu, Home United hanya bolos 26 gol daripada 24 perlawanan Liga Singapura (S-League) seterusnya meraih posisi ketiga liga dengan hanya 4 kekalahan, terbaik sejak 2010.

Walaupun pada musim 2018 berlaku peningkatan kepada jumlah bolos iaitu 36 gol, namun pasukannya telah berjaya memperbaiki kedudukan liga apabila menduduki posisi kedua.

Taktikal pasukan

Apabila Aidil menyatakan beliau lebih menggemari corak permainan menyerang, ini tidak bermakna beliau tidak menekankan aspek pertahanan.

Dalam erti kata lain, Aidil menerapkan elemen menyerang,  dengan kemenangan menjadi objektif utama di setiap perlawanan, tanpa mengira status lawan.

Kita ambil contoh perlawanan di antara Home United dan Persija Jakarta di peringkat separuh akhir zonal pertandingan Piala AFC 2018.

Beraksi di gelanggang sendiri, Home United menampilkan formasi 4-2-3-1 dengan dua pemain berperanan sebagai pivot, khusus untuk melindungi barisan pertahanan.

Manakala tiga pemain dan satu penyerang tunggal, dibenarkan bebas melakukan asakan ke kubu lawan.

Dari segi penguasaan bola, Persija menguasai perlawanan dengan 56% penguasaan bola. Tetapi ini tidak menghalang skuad kendalian Aidil menjaringkan tiga gol di Stadium Jalan besar, untuk menang 3-2 sebagai bekalan ke Jakarta.

Dalam perlawanan timbal balik, Aidil menerapkan pendekatan berbeza dari segi taktikal pasukan.

Kali ini formasi 5-4-1 menjadi pilihan. Kita semua tahu, sistem ini dibina khusus untuk bertahan dan mengelakkan kekalahan.

Anda boleh membaca Formasi 5-4-1, Taktikal Untuk Lebih Kepada Mengelak Daripada Kalah untuk mendalami fungsi formasi sebegini.

Memandangkan Home United pada ketika itu memiliki kelebihan hanya satu gol, maka ianya munasabah untuk Aidil memilih untuk bertahan di Jakarta.

Menariknya, walaupun Persija menguasai perlawanan tersebut dengan penguasaan bola 58%, Home United memilih untuk melakukan serangan balas pantas yang berkesan.

Aidil masih mahu pasukannya untuk menyerang, walaupun sedar akan kelebihan lawan yang beraksi di tempat sendiri.

Hasilnya, kemenangan 3-1 milik Home United dalam perlawanan tersebut, untuk mara ke perlawanan akhir dengan agregat 6-3.

Kita boleh simpulkan, Aidil agak fleksibel dalam memilih sistem yang digunakan. Namun corak permainan menyerang adalah asas utama kepada taktikal pasukan.

Bagaimana dengan Kedah?

Jadi, apa yang Kedah dapat manfaatkan daripada kehadiran Aidil Sharin ini? Gaya permainan bola sepak menyerang yang menarik dan juga gandingan bersama pemain muda berbakat.

Kedah bolehlah kita katakan antara kilang pemain muda berbakat di Malaysia. Dan, Kedah juga terbuka dalam memberi peluang kepada bakat-bakat muda untuk menonjolkan bakat mereka.

Kedah

Oleh itu, kehadiran Aidil Sharin ini memberi peluang yang besar buat pemain-pemain muda terutamanya daripada skuad Piala Presiden untuk mengetuk pintu skuad utama.

Dan dengan dibantu oleh Victor Andrag, bekas jurulatih skuad Piala Presiden 2018, pastinya akan berlaku perubahan pemain dalam skuad Jelapang Padi musim hadapan.

Kedah
Foto: SInar Harian

Dikhabarkan Aidil diberikan sepenuh kuasa untuk menentukan masa depan pemain di dalam pasukan.

Siapa akan digugurkan daripada pasukan? Siapa yang akan berjaya pikat Aidil Sharin untuk terus menabur bakti bersama skuad Hijau Kuning? Apakah nasib Liridon Krasniqi, Sandro dan juga Alvaro?

Satu perkara yang pasti ialah falsafah dan taktikal Aidil mampu meremajakan saingan Kedah mulai musim hadapan.

Penutup

Apa yang Kedah tampilkan sejak beberapa musim lalu ialah apa yang ditanam oleh bekas jurulatih Tan Cheng Hoe. Tiba masanya cabaran Kedah pada musim hadapan untuk diremajakan kembali.

Namun penyokong harus bersabar dan memberikan secukup ruang buat gandingan Aidil dan Victor untuk membina ‘Kedah Baru’.

Seperti kata pepatah, kota Rom tidak dibina dalam sehari, dan jangan juga biarkan pisang berbuah dua kali.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN