Falsafah Bola Sepak 4-2-2-2 Ralph Hasenhuttl & Pentstrukturan Semula Yang Kembalikan Wajah Southampton

Jika dinilai hanya dari permukaan, kemampuan Southampton menempatkan diri di kelompok enam teratas Liga Perdana Inggeris tampak mudah.

Mereka tidak perlu untuk beraksi di dalam perlawanan eropah, dan memiliki tempoh rehat yang mencukupi di antara perlawanan. Hakikat sebenar, ia lebih daripada itu.

Musim ini harus diakui perjalannya agak pelik dengan jadual perlawanan padat menyebabkan beberapa jurulatih seperti Jurgen Klopp dan Pep Guardiola acap kali mendesak lima pertukaran dibenarkan pada musim ini.

Tetapi kebangkitan Southampton dalam musim yang dianggap bukan seperti kebiasaan ini juga harus dikreditkan kepada perancangan luar padang membabitkan beberapa perubahan struktur yang akhirnya memberikan pulangan berkadar terus dengan masa.

Gandingan Crocker dan Hasenhuttl

Kembalinya Matt Crocker ke Southampton setelah menjawat jawatan Pengarah Bola Sepak  Persatuan Bola Sepak England (The Football Association), pada Februari lalu nyata amat penting buat pengurus pasukan, Ralph Hassenhuttl.

Ketibaan Crocker secara langsung telah membantu Hassenhuttl membina satu ‘blue-print’ bertujuan untuk melakukan penstrukturan kelab tersebut, dalam satu pelan komprehensif yang dinamakan ‘The Southampton Playbook’.

Hasenhuttl juga bukan calang-calang orangnya. Pernah mengendalikan RB Leipzig selama dua tahun diantara 2016 sehingga 2018 dan membantu kelab baharu itu muncul naib juara Bundesliga pada musim pertamanya sebelum berhijrah ke England selepas itu.

Dari situ beberapa perubahan ketara telah mengambil tempar di Southampton. Segalanya bermula dengan skuad remaja/pembangunan yang diarahkan untuk bermain bola sepak dengan DNA yang sama Hassenhuttl terapkan kepada skuad utama.

Ini adalah untuk memastikan transisi yang lebih mudah untuk pemain generasi baharu untuk menyertai skuad senior.

Rombakan Skuad Bawah-23

Pada September, Southampton kemudiannya mengumumkan rombakan terhadap skuad Bawah-23 yang mengambil peranan sebagai skuad kedua kelab Liga Perdana Inggeris itu, atau digelar Skuad B.

Jadual latihan pasukan kedua ini turut dirombak agar tidak diadakan serentak dengan skuad utama, bagi membenarkan Hassenhuttl sendiri dan staff kejurulatihan lain dari skuad utama menilai kemampuan pemain di dalam pasukan.

Dengan cara ini, Hassenhuttl boleh menilai pemain mana yang bersedia untuk dibawa masuk menyertai skuad utama.

“Kami telah mencuba untuk menjadikan ia (skuad B-23) menjadi pasukan kedua kepada pasukan utama,” kata Crocker.

“Pasuka  utama sebelum ini bermain corak bola sepak yang berbeza sebelum ini.

“Ia amat penting bermula dari perbincangan dengan Ralph [Hassenhuttl] kepada kaedah persiapan pemain dengan kaedah berbeza supaya pemain dengan mudah boleh berlatih atau beraksi dengan skuad utama dengan lebih mudah.

“Pemain-pemain baru akan lebih yakin dan mempunyai kefahaman lebih jelas dalam setiap latihan yang mereka lalui.”

Penekanan 6 posisi oleh Hassenhauttl

Untuk projek ini, Southampton akan mengurangkan pemergian pemain muda yang mahu meninggalkan kelab secara pinjaman kerana mahu mendapatkan minit perlawanan.

Sebaliknya pemain-pemain ini perlu bersaing dengan skuad senior untuk mendapatkan minit perlawanan dengan sokongan dari Hassenhauttl sendiri.

Menurut Crocker, ini adalah untuk menjadikan skuad B Southampton sebagai aset utama kelab, setelah proses peminjaman pemain sebelum ini tidak semestinya memberikan pulangan yang diharapkan.

Di dalam skuad Hassenhuttl yang besar ini, setiap pemain harus memahami falsafah dan DNA bola sepak yang sama berasaskan formasi 4-2-2-2 yang terdiri dari enam posisi penting sahaja.

Posisi tersebut adalah penjaga gol, pemain bek, pertahanan tengah, pemain tengah bertahan, pemain tengah menyerang dan juga penyerang.

Berdasarkan aturan ini, Hasenhuttl membuktikan pemain kendaliannya di Southampton boleh menjadi lebih fokus kepada peranan masing-masing dalam menghasilkan corak permainan yang dikehendaki.

Oriol Romeu misalnya menyerlah sebagai pemain tengah bertahan pada musim ini. James Ward Prowse turut menampilkan aksi dinamik pada tahap berbeza terutama di bahagian akhir (final third) serangan.

Kyle Walker-Peters yang didatangkan dari Tottenham dan dipinjamkan ke kelab lain pada musim lalu kini telah menjadikan posisi bek kanan menjadi miliknya. Manakala pemain seperti Che Adams turut menemui rentak sebagai pemain penyerang selepas permulaan yang sukar di Premier League – gagal menjaringkan gol dalam 28 penampilan pertama untuk Southampton.

Tidak ketinggalan ialah Dannu Ings yang sudah menjaringkan tujuh gol dari 16 perlawanan termasuk jaringan yang memusnahkan Liverpool awal minggu ini.

Transisi 2-4-4 Southampton vs Liverpool

Falsafah bola sepak 4-2-2-2 Ralph Hasenhuttl adalah asas kepada corak permainan Southampton. Ia adalah DNA kepada permainan yang diterapkan oleh Hasenhullt untuk memberikan penekanan kepada peranan dan fungsi setiap pemain.

Dalam perlawanan menentang Liverpool, di atas kertas formasi 4-4-2 telah menjadi pilihan. Ini bermakna empat pemain di bahagian tengah merujuk kepada dua pemain tengah bertahan dan dua pemain tengah menyerang yang turut boleh berfungsi sebagai pemain sayap dan juga penyerang ketika transisi.

Walaupun bermula dengan blok 4-4-2, transisi serangan menyaksikan Southampton berubah bentuk kepada 2-4-4. Bentuk sebegini membenarkan Southampton memberikan tekanan di garis tinggi, dan memaksa lawan khususnya pemain pertahanan melakukan kesilapan untuk merampas bola secepat mungkin.

Ia juga membenarkan Southampton membanjiri bahagian pertahanan lawan dengan pemain pada fasa serangan, seperti yang boleh kita lihat melalui gerakan set-pieces yang menghasilkan jaringan pada minit ke-3 perlawanan.

Dua pemain bek pula akan beraksi di bahagian tengah  untuk menjana serangan pasukan.

Kaedah ini ternyata berkesan buat Southampton dalam perlawanan menentang Liverpool. Southampton nyata berjaya mengawal perlawanan dan tidak membenarkan Liverpool bermain cara yang mereka kehendaki.

Percubaan tepat pertama Southampton dalam perlawanan ini hanya tiba pada minit ke-75, dan ia bukan kebetulan juga untuk Trent Alexander-Arnold melakukan 38 kesilapan akibat corak permainan Southampton.

Kata kuncinya, Southampton tidak membenarkan Liverpool bermain dengan selesa.

Hassenhault kembalikan wajah Southampton

Selepas menang tipis 1-0 ke atas Liverpool, Southampton kini menduduki tangga keenam Liga Perdana Inggeris. Ia tidak sukar untuk menilai peningkatan Southamton pada musim ini walaupun kehilangan pemain utama dan kapten pasukan, Pierre-Emile Hojbjerg kepada Tottenham pada musim panas lalu. Ia juga tidak menghairankan bagaimana Hojbjerg begitu instrumental terhadap kemampuan skuad Jose Mourinho pada musim ini.

Tetapi musim ini adalah musim pertama hasil kerja Hasenhuttl di Liga Perdana Inggeris mulai memberi kesan dengan Southampton mulai membentuk imej bola sepak yang dikehendaki oleh pengendali dari Austria itu.

Hassenhauttl menggilap Southampton dan menjadikan pemain berkemampuan untuk melaksanakan corak permainan pressing beraras tinggi, dengan skuad kedua turut melakukan perkara yang sama.

Ini sekaligus mengembalikan wajah Southampton yang telah lama hilang. Kaedah Hasenhauttl telah mengembalikan laluan yang pernah digunakan oleh pemain-pemain seperti Adam Lallana, Luke Shaw, Theo Walcott dan Gareth Bale untuk memberikan impak ke dalam skuad utama pada usia yang muda.

 

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply