Fakta Menarik Perak II Dalam Kempen Liga Premier 2020

Kerjasama Semuanya BOLA

Perak II

Langkah Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) dalam mewujudkan pasukan pembangunan, Perak II nyata telah memberikan peluang kepada barisan pemain muda untuk menyerlahkan kualiti mereka.

Dengan peluang yang telah diberikan, pemain seperti Muhammad Adib Abdul Raop dan Muhamad Alif Zikri Zaini Anuar yang berusia 18 tahun berjaya mencuri tumpuan pengendali skuad Liga Super, Mehmed Durakovic untuk dinaikkan pangkat ke pasukan utama.

Meskipun sekadar menduduki tangga ke-11 selepas mengharungi 10 perlawanan Liga Premier musim ini dengan 8 mata, ketua jurulatih, Abu Bakar Fadzim mempunyai sebab untuk beliau gembira melihat perkembangan positif skuad pembangunan tersebut.

Berikut adalah merupakan beberapa fakta menarik tentang pasukan Perak II dalam mengharungi kempen Liga Premier 2020:

1) Pasukan ketiga yang paling kurang dibolosi

Jentera pertahanan Perak II yang dikepalai pemain import dari Bosnia, Tarik Isic dilihat telah membentuk gandingan baik bersama pemain tinggi lampai, Nazmi Ahmad [didaftarkan sebagai pemain Liga Super Perak] dan diapit dua pemain bek sisi, Muhammad Nasrol Amri Khairul Azhar dan S. Pavithran.

Persefahaman baik ditampilkan jentera pertahanan menyaksikan Perak II hanya dibolosi 10 gol sekali gus menjadi pasukan ketiga yang paling kurang dibolosi, di belakang Pulau Pinang [7 gol] dan Kelantan dengan sembilan gol.

Ini juga bermakna Perak II mempunyai rekod paling baik berbanding tiga lagi pasukan pembangunan dalam saingan liga seperti TFC II dan JDT II yang dibolosi 14 gol manakala Selangor 2 dengan 21 gol.

2) Berjaya mengikat tiga daripada empat pasukan tangga teratas

Seandainya dilihat di atas kertas, Perak merupakan antara pasukan yang mungkin akan menjadi mangsa kepada pasukan-pasukan besar lain tetapi ianya tidak berlaku seperti dijangkakan.

Hal ini kerana Perak II berjaya mengikat juara Liga Premier musim ini, Pulau Pinang 1-1 di Manjung. Nasib sama dirasai Kuala Lumpur yang dilihat tiada jawapan kepada kekentalan jentera pertahanan Perak II untuk seri tanpa jaringan pada malam tadi.

Minggu lalu, mereka berupaya untuk mengikat JDT II di Larkin dengan keputusan 1-1 ketika skuad bimbingan Rafael Gil Sanchez itu masih segar dengan kemenangan 6-1 menundukkan Selangor 2.

Perak II bagaimanapun tunduk pada aksi kedua liga bertemu TFC II di Kuala Terengganu dengan keputusan 0-2.

3) Pasukan paling banyak seri dalam kempen liga

Selepas mengikat Kuala Lumpur di Manjung sekali gus memberikan kejuaraan Liga Premier buat Pulau Pinang, Perak II secara rasminya bergelar pasukan yang paling banyak mencatatkan keputusan seri pada musim ini.

Lima keputusan seri yang dicatatkan adalah ketika bertemu Pulau Pinang [1-1], Sarawak United [2-2], Negeri Sembilan [0-0], JDT II [1-1] dan Kuala Lumpur [0-0]. Menarik untuk diperkatakan, tiga perlawanan terakhir mereka berakhir dengan keputusan seri.

Pemain tumpuan Semuanya BOLA

Penulis yang tidak ketinggalan menyaksikan setiap aksi pasukan Perak II pada musim ini melihat pemain-pemain seperti Nasrol Amri, Pavithran, Muhammad Farhan Abdul Majid [penjaga gol], Muhammad Syafiq Izzudin Mustafa, Muhamad Syahir Bashah dan beberapa pemain lain jelas mempunyai masa depan cukup cerah seandainya terus diberikan peluang beraksi.

Dapat memberikan saingan sengit dan tidak pernah menunjukkan rasa gentar terhadap lawan yang mempunyai barisan pemain berkualiti memperlihatkan jiwa besar dimiliki barisan skuad muda dengan kombinasi beberapa pemain import dan berpengalaman ini.

Perkembangan baik dijelmakan para pemain ini juga amat penting dalam merintis masa depan lebih baik buat skuad kebangsaan pada masa akan datang.

Kredit featured image: Perak TBG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram