Faizal Azumu: Jersi Perak Cantik

Selepas timbul pelbagai spekulasi berkenaan jersi rasmi pasukan yang bakal digunakan pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada musim ini, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) akhirnya membuka mulut mengenai isu tersebut.

Presiden PAFA, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam kenyataannya kepada Sinar Harian menjelaskan setakat ini tiada apa-apa masalah yang timbul sebagaimana yang diperkatakan oleh orang ramai khususnya dalam kalangan penyokong Perak sendiri.

Perak sebelum ini pada saat-saat akhir telah bertindak menangguhkan majlis pelancaran jersi dan memperkenalkan pemain The Bos Gaurus (TBG) untuk musim 2020 yang sepatutnya berlangsung pada 11 Januari lepas.

Ada pihak yang mendakwa ianya disebabkan masalah jersi di mana PAFA tidak berpuas hati dengan kualiti jersi yang telah dibekalkan oleh pihak penaja.

Bagaimanapun ia dinafikan oleh pihak PAFA dan Faizal menjelaskan, beliau sudah pun melihat rekaan atau corak jersi jenama Jako tersebut dan yakin semua penyokong akan berpuas hati dengannya. Namun beliau berharap buat masa ini semua pihak dapat bertenang sehingga tiba masanya.

“Tak semestinya apa yang kita umumkan ini kita perlu buat sekarang juga. Kalau semua benda kita nak tunjuk, kita tak ada elemen kejutan. Tak tahulah jika di luar cerita macam-macam.

“Jersi kita tak ada masalah. Cantik, saya dah tengok. Orang tanya Jako ke apa ke, tunggulah. Nanti saya beritAhulah.

“Tak payahlah saya umumkan dahulu. Begitu juga pemain,” kata Menteri Besar Perak itu.

Dalam masa yang sama, Faizal juga mengakui persediaan pasukannya untuk musim baharu ini masih belum bersedia 100 peratus.

“Setakat ini, persiapan mungkin 98 peratus. Cumanya benda nak buat kita dah buat. Bila tiba masanya kita akan umum,” katanya.

Sehingga hari ini, pihak PAFA masih belum memberikan tarikh baharu untuk majlis yang telah ditangguhkan sebelum ini.

Kredit Foto: Stadium Astro

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram