Faiz Subri ‘Puskas Award’ Kembali Beraksi

Faiz Subri Pulau Pinang 2016

Pemenang FIFA Puskas Award, Faiz Subri sudah sekian lama menghilangkan diri dari arena bola sepak tempatan dan kini pemain berusia 32 tahun itu bakal kembali bersama kelab Liga M3, NLFC MAHSA.

Sebagai kelab berstatus universiti, NLFC MAHSA sebelum ini sudah memasang impian untuk mengikut jejak UiTM FC yang sudah berada di Liga Super 2020 dan UKM FC yang bersaing di Liga Premier 2020.

NLFC MAHSA turut telah menjalin kerjasama bersama Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) bagi membantu mereka membentuk skuad Piala Presiden dan Piala Belia bagi mengukuhkan pasukan musim hadapan.

Menerusi laman Facebook Perlis Northern Lion semalam, pemain kelahiran Kedah yang pernah menabur bakti di Perlis sekitar musim 2010 dan 2011 itu telah diumumkan sebagai pemain baharu mereka.

Setakat ini belum ada pengumuman rasmi daripada Faiz Subri sendiri yang dikhabarkan menjadi duta untuk sebuah syarikat minyak wangi, Aspada Perfume dan mengusahakan sebuah perniagaan.

Faiz Subri mencipta sensasi buat dirinya dan juga Pulau Pinang sehingga ke Majlis Anugerah FIFA apabila memenangi anugerah FIFA Puskas Award hasil jaringan cantik jarak jauhnya pada 2016.

Beraksi untuk empat musim di Pulau Pinang sehingga 2018, beliau akhirnya gagal mendapat tempat dalam mana-mana pasukan selepas itu dan tidak beraksi sepanjang musim 2019 yang lalu.

Walaupun mencuba nasib dengan beberapa pasukan seperti Perlis dan FELDA United selepas itu, beliau masih gagal ditawarkan kontrak termasuklah untuk kembali tampil bersama Harimau Kumbang.

Beliau akhirnya mengumumkan persaraannya daripada bola sepak dan terus sunyi daripada arena bola sepak tempatan, malah seakan-akan hilang daripada peta bola sepak Malaysia sepanjang setahun.

Dengan kembalinya bersama NLFC MAHSA, sentuhan dan pengalamannya akan ditagih kelab amatur tersebut terutamanya dalam saingan Piala FA 2020 yang akan bermula tidak lama lagi.

NLFC MAHSA akan bertemu kelab berpengkalan di Terengganu, Kerteh FC dalam pusingan kelayakan Piala FA 2020 dan pastinya menjanjikan pertemuan menarik dengan kelibatnya di dalam padang.

Begitupun, status kecergasannya amat diragui apabila Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP), Dr. Amar Pritpal dipetik pernah berkata, sukar untuk menawarkan kontrak kepadanya atas sebab tersebut.

KREDIT FOTO: FIFA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram