Fairus Shafie: Kredibiliti Datuk Haji Hamidin Terserlah

Hamidin

Kejayaan Presiden Malaysian Football League (MFL), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin membawa masuk dua penaja besar iaitu Telekom Malaysia (TM) dan CIMB meletakkan kredibiliti beliau kian terserlah dalam menaikkan kembali prestij Liga Malaysia ke arah lebih tinggi.

Setiausaha Kehormat UKM FC, Mohd Fairus Shafie berkata, ramai pemegang taruh liga berasa lega apabila Hamidin berjaya melaksanakan janjinya untuk mendapatkan penajaan sebelum liga bermula.

Justeru, beliau yakin segala isu terutama pembayaran hak penyiaran kepada setiap pasukan dapat diselesaikan dalam kadar lebih awal bagi memudahkan persiapan pasukan sebelum Liga Malaysia 2020 bermula.

“Apabila kembalinya TM menaja Liga Malaysia ini, secara tidak langsung kredibiliti Hamidin di MFL terserlah kerana beliau dapat kotakan terhadap apa yang beliau kata sebelum ini.

Mohd Fairus Shafie

“Jadi semua rakan kongsi kena sentiasa beri sokongan kepada beliau dan MFL untuk memberikan perubahan yang akan lebih banyak berlaku dalam MFL.

“Melalui kehadiran penaja-penaja ini, saya pasti kami semua tidak tertekan lagi kerana ada rasa bimbang selepas apa yang berlaku pada tahun lepas apabila tiada kehadiran penaja, “ katanya.

TM pada Jumaat lalu melalui subsidiarinya iaitu Telekom Multimedia (TMM) berjaya memeterai perjanjian selama tiga tahun dengan Malaysian Football League (MFL) sebagai penaja utama Liga Malaysia.

Melalui perjanjian berkenaan, TM juga akan menjadi penaja utama rasmi bagi kejohanan Piala Malaysia selain mendapat hak penyiaran eksklusif dan hak streaming mobile serta dalam talian bagi semua aksi membabitkan dalam saingan Liga Malaysia.

Selain TM, Kumpulan CIMB turut menjadi utama selepas memeterai perjanjian selama dua tahun termasuk menjadi penaja utama Liga Super dan Piala Sumbangsih selain Bank Rasmi kepada saingan Piala FA, Liga Premier, Piala Malaysia dan Challenge Cup.

Kredit foto: Malaysian Football League (MFL)

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram