Fabrizio Romano Lapor Ronaldo Intai Peluang Perpindahan Dari Juventus

Cristiano Ronaldo sekali lagi mencuri tumpuan berita perpindahan selepas tidak berada di dalam kesebelasan utama Juventus menentang Udinese pada awal pagi tadi.

Pengendali Juventus, Massimiliano Allegri bagaimanapun cuba menafikan khabar angin tersebut dan berkata beliau mempunyai penjelasan untuk perkara itu.

Dalam perlawanan menentang Udinese, Ronaldo juga terlibat dengan drama apabila berjaya menanduk masuk yang sepatutnya menjadi gol kemenangan Juventus dalam perlawanan tersebut selepas melakukan penampilan dari bangku pemain simpanan.

Gol masa kecederaan tersebut bagaimanapun dibatalkan oleh semakan VAR dan Juventus terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 2-2, selepas dua kesilapan yang dilakukan oleh penjaga gol, Wojciech Szczesny menjadi punca pasukan dibolosi.

Ronaldo dilayangkan kad kuning dalam perlawanan ini kerana membuka baju untuk meraikan jaringan yang dibatalkan itu.

Szczesny mungkin suka khabar angin mengenai Ronaldo berlaku kerana ia sekurang-kurangnya mengalihkan tumpuan ramai dari kesilapan yang beliau lakukan ketika permainan.

Ketiadaan Ronaldo di dalam kesebelasan utama Juventus menentang Udinese pantas menjadi perhatian media di Itali.

Tidak ketinggalan, ialah wartawan yang terkenal dengan berita perpindahan, Fabrizio Romano yang berkata ia adalah pilihan Ronaldo sendiri untuk berada di bangku pemain simpanan.

Melalui ciapan yang dilakukan sebelum perlawanan di antara Juventus dan Udinese itu, Fabrizio Romano berkata Ronaldo sedang menilai peluang untuk beraksi bersama kelab lain.

Namun demikian sehingga kini Juventus belum menerima sebarang bidaan untuk kapten skuad kebangsaan Portugal itu.

Sebelum ini Ronaldo dikaitkan dengan perpindahan kembali ke Real Madrid dan Manchester City, namun perkhabaran tersebut telah dinafikan oleh pemain itu sendiri.

Allegri pula mengesahkan Ronaldo kini berada di tahap terbaik, dan berkata telah berbincang dengan pemain itu sebelum memutuskan untuk meletakkan pemenang Ballon d’Or sebanyak lima kali itu di bangku pemain simpanan.

Juventus juga yakin Cristiano Ronaldo akan terus kekal di Turin pada musim ini. Bekas penyerang Manchester United dan Real Madrid itu mempunyai baki kontrak setahun sahaja lagi bersama Juventus dan boleh menyertai mana-mana pasukan secara percuma pada musim panas akan datang.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply