Kerana Prestasi Goyah, Fabio Cannavaro ‘Direhatkan’ Oleh Guangzhou Evergrande

Masa depan Fabio Cannavaro bersama Guangzhou Evergrande kini menjadi persoalan selepas kelab China tersebut mengumumkan ketua pasukan, Zheng Zhi akan menjadi pengendali sementara pasukan itu pada Ahad.

Ianya berlaku tidak lama selepas Guangzhou tersingkir dari kejohanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) apabila mereka tewas kepada Urawa Red Diamonds di peringkat separuh akhir dan mereka juga diikat Henan Jianye 2-2 dalam saingan Liga Super China (CSL).

Kemudian kelab tersebut telah membuat pengumuman mengatakan ketua jurulatih itu telah dipanggil ke ibu pejabat mereka.

“Ketua Jurulatih, Fabio Cannavaro perlu menghadiri Sesi Kebudayaan Korporat Evergrande di ibu pejabat pada 28 Oktober. Dalam tempoh tersebut, kapten Zheng Zhi akan mengambil tugasan selaku ketua jurulatih,” umum Guangzhou Evergrand dalam laman web rasmi pasukan tersebut.

Cannavaro pernah dilantik selaku ketua jurulatih Guangzhou Evergrande pada November 2014, menggantikan bekas jurulatihnya, Marcelo Lippi. Tetapi khidmatnya hanya bertahan selama 7 bulan selepas kelab China itu secara tiba-tiba mengumumkan tempatnya diganti oleh Luiz Felipe Scolari.

Pemenang Piala Dunia 2006 itu kemudian membawa diri ke Arab Saudi bagi mengendalikan kelab Al-Nassr pada Oktober 2015 dan tahun berikutnya beliau kembali ke China setelah dilantik selaku ketua jurulatih pasukan Tianjin Quanjian.

Sewaktu dilantik, Tianjin berada di kedudukan kelapan Liga Satu China (divisyen kedua). Hasil bimbingannya, kelab tersebut berjaya muncul juara liga dan dipromosi ke Liga Super China pada musim berikutnya.

Kredit Foto: SCMP

Beliau turut menerima anugerah Jurulatih Terbaik Tahunan Persatuan Bola Sepak China pada penghujung musim itu. Namun Tianjin Quanjian terpaksa akur selepas beliau membuat keputusan untuk meletak jawatan pada November 2017.

Untuk musim ini, Ghuagzhou Evergrand masih mendahului saingan Liga Super China dengan 63 mata selepas 27 perlawanan, tetapi mereka diekori rapat oleh Shanghai SIPG dan Beiking Guoan yang mengumpul 62 dan 61 mata.

Pasukan yang dimiliki secara bersama oleh syarikat hartanah Evergrande dan syarikat e-dagang Alibaba Group itu memiliki tiga orang pemain import dari Brazil termasuk bekas pemain Barcelona, Paulinho.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram