Masih Ada Sinar FA Selangor Kembali Ke Stadium Shah Alam

Drama di antara Persatuan Bola Sepak Negeri Selangor (FAS) dan juga Kerajaan Negeri Selangor berkenaan penggunaan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang rasmi pasukan Selangor seakan-akan tiada penyudah.

Isu ini bukan perkara baharu. Malah ia telah berlarutan sejak beberapa musim, bermula dengan krisis dalaman yang timbul di dalam FAS.

Kemelut bermula

Selepas perletakkan dan perlantikan beberapa individu yang menjawat jawatan tertinggi di dalam FAS, isu ini menjadi semakin parah pada musim lalu.

Bermula dengan penggunaan kemudahan padang latihan, diikuti dengan pengunaan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang rasmi di saingan Liga Malaysia sejak permulaan musim lalu, kemelut ini semakin sukar ditafsir apabila kedua-dua pihak saling menuding jari.

Menjelang sepak mula Liga Malaysia 2018 yang akan bermula lusa, isu gelanggang rasmi pasukan Selangor kini timbul kembali.

Sumber: mStar

Usaha telah dilakukan oleh FAS untuk menjadikan Stadium Shah Alam, diikuti oleh Stadium Nasional Bukit Jalil, dan terbaru ialah Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur sebagai gelanggang rasmi.

Akhirnya lampu hijau oleh FMLLP sebagai badan penganjur pertandingan dan pihak DBKL sebagai pemilik premis untuk Selangor menggunakan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Namun demikian, mana-mana penyokong Selangor tahu bahawasanya Stadium Shah Alam mempunyai nilai kontemporari yang tersendiri mengenai kisah jatuh bangun bola sepak di negeri Selangor.

Atas usaha itu, sebuah gerakan dikenali sebagai Badan Bertindak Penyokong Selangor (BBPS) telah diwujudkan dan tampil untuk mengembalikan impian penyokong bola sepak di negeri Selangor untuk pasukan kesayangan mereka kembali beraksi di Shah Alam.

Badan Bertindak Penyokong Selangor (BBPS)

BBPS merupakan sebuah gerakan hasil daripada gabungan kelab-kelab penyokong dari seluruh negeri Selangor.

Tujuan gerakan ini diwujudkan ialah untuk menyatukan suara seluruh penyokong pasukan Selangor di bawah satu bumbung, bertujuan untuk menjadi satu suara majoriti penyokong pasukan bola sepak Selangor berkenaan isu-isu berbangkit dan yang berkait dengan pasukan Selangor.

Antara perkara yang diketengahkan oleh pihak BBPS ialah berkenaan penggunaan Stadium Shah Alam oleh pasukan Red Giants pada musim ini, setelah terpaksa beraksi di Stadium Selayang sepanjang saingan Liga Malaysia pada musim lalu.

Setelah kemelut di antara kerajaan negeri dan juga FAS kelihatan seperti tidak akan menemui penghujungnya, BBPS yang juga merupakan sebuah badan yang berkecuali daripada pengaruh mana-mana parti politik tampil sebagai orang tengah untuk mewakili suara penyokong bola sepak Selangor di dalam isu Stadium Shah Alam.

Tindakan oleh BBPS

Muak dengan drama berlanjutan oleh kedua-dua pihak, semalam BBPS tampil mendesak kedua-dua pihak yang bertelagah untuk mencari jalan penyelesaian demi kebaikan bola sepak Selangor.

“Seperti yang kita semua maklum, kini telah masuk tahun kedua pasukan Selangor dinafikan untuk beraksi di Stadium Shah Alam sebagai gelanggang rasmi dalam saingan Liga Super.”

Penyokong Selangor menandatangani Memorandum untuk diserahkan kepada Kerajaan Negeri. FOTO: Selangor Post

“Dengan pelbagai polemik yang melanda Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) serta kerajaan Negeri Selangor pada ketika ini, maka kami berpendapat adalah tidak wajar pasukan Selangor menjadi mangsa kerakusan dan keegoan mereka yang mempunyai kuasa semata-mata untuk menentukan siapa dipihak yang benar atau sebaliknya,” kata wakil daripada Badan itu.

Susulan daripada desakan yang diadakan di hadapan pintu gerbang masuk utama ke Stadium Shah Alam semalam, beberapa wakil gerakan tersebut hadir ke pejabat SUK untuk mendapatkan penjelasan daripada Kerajaan Negeri Selangor.

Enam perkara yang berada di dalam senarai tindakan oleh BBPS  ialah:

  1. Menuntut Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Y.A.B Dato’ Seri Mohamed Azmin Bin Ali selaku Menteri Besar Selangor supaya memberi penjelasan mengapa pasukan Selangor tidak dibenarkan menggunakan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang rasmi pasukan untuk musim 2018, sedangkan kebenaran diberikan kepada pasukan PKNS FC dan FELCRA.
  2. Mendesak pengurusan FAS dan Kerajaan Negeri berbincang secara rasmi dan menyelesaikan isu berkaitan pengurusan pasukan bola sepak Selangor terutamanya berkaitan penggunaan Stadium Shah Alam demi kepentingan bersama semua penyokong secara khususnya serta rakyat Selangor secara amnya.
  3. Perbincangan yang diadakan haruslah dihadiri oleh wakil BBPS supaya tiada lagi perkara yang tidak jelas dan menjadi rahsia kedua-dua pihak.
  4. BBPS sanggup menjadi badan pengantara untuk merealisasikan mesyuarat di antara FAS dan Kerajaan Negeri agar perjumpaan dapat dilakukan di dalam masa terdekat.
  5. Satu memorandum untuk mendesak pihak Kerajaan Negeri Selangor untuk membenarkan Stadium Shah Alam dijadikan gelanggang rasmi pasukan Selangor  akan dihantar selewat-lewatnya ketika pusingan kedua Liga Super 2018.
  6. FAS dan Kerajaan Negeri Selangor diminta memberi maklum balas terhadap segala tuntutan oleh BBPS di dalam tempoh 48 jam selepas memorendum diserahkan.

Susulan perjumpaan di kalangan ahli BBPS semalam, satu kunjungan di kalangan beberapa ahli BBPS  ke pejabat SUK Selangor pada hari ini turut direalisasikan.

BBPS positif Shah Alam dikembalikan

Setelah bertemu dengan Y.B Tuan Amirudin Shari yang bertindak selaku wakil Menteri Besar Selangor, BBPS yakin segala kemelut yang melanda terutama berkenaan penggunaan Stadium Shah Alam boleh diselesaikan di meja rundingan.

Presiden Anak Selangor Fans Club (ASFC), Mohd Faizal Wahid berkata, penyelesaiaan harus menjadi keutamaan FAS dan Kerajaan Negeri agar permasalahan ini tidak terus berpanjangan.

Sumber: BBPS, Facebook.

“Kita berpuas hati dengan hasil perbincangan bersama Exco Sukan, Amirudin Shari, dan mendapat maklumat berkaitan isu dibangkitkan.”

“Kita akan memaklumkan kepada FAS dan berharap satu langkah perdamaian akan berlaku antara Kerajaan Negeri dan FAS,” ujar Faizal sejurus selesai perjumpaan di pejabat SUK.

Wakil kami yang berkesempatan menghubungi salah seorang wakil BBPS, Saudara Shah Rafi Shah Rafi Ihsham Shah turut mengesahkan hasil perjumpaan tersebut dan mengharapkan respon positif daripada pejabat Dato’ Menteri Besar berhubung perkara itu.

Sumber: BBPS, Facebook.

Ini adalah kerana BBPS mewakili suara dan kehendak keseluruhan penyokong bola sepak di Selangor.

Saudara Sharel Eizwan yang merupakan penyokong setia Selangor turut mengharapkan kemelut di antara kedua-dua pihak mampu diselesaikan dengan cara baik.

“Harapan saya semoga kemelut ini dapat diselesaikan segera agar semua pihak berpuas hati dan Selangor akan pulang ke Shah Alam bagai sirih pulang ke ganggang,” ujar Sharek dalam satu mesej Whats App kepada wakil Semuanya BOLA ketika mengulas usaha BBPS.

Respon Y.B Amirudin Shari

Bagi pihak kerajaan Negeri Selangor, mereka sentiasa terbuka untuk rundingan kembali diadakan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Y.B Amirudin Shari berkata bahawa pihak Kerajaan Negeri Selangor masih sanggup untuk berkompromi dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Selangor (FAS) untuk membenarkan Stadium Shah Alam kembali menjadi gelanggang rasmi skuad The Red Giants.

Amirudin menjelaskan mereka menyedari bahawa ada gerakan daripada penyokong Selangor agar Stadium Shah Alam dikembalikan sebagai gelanggang rasmi pasukan terbabit.

Sumber: BBPS, Facebook

Namun demikian beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri harus konsisten dengan keputusan mereka dan bersedia untuk membuka pintu rundingan dengan beberapa syarat yang tidak boleh didedahkan kepada umum.

“Kalau ada perubahan, ia harus ada kesefahaman dan tolak ansur antara kedua pihak,” ujar beliau sambil mengingatkan isu ini mungkin tidak boleh diselesaikan dalam tempoh masa pendek.

“Tetapi kata kunci keterbukaan daripada pihak kami dan pihak mereka. Sebagai orang mengelola dan memantau aktiviti sukan, kita nak benda ini diselesaikan dengan suasana menang-menang,” tambah Amirudin lagi.

Rumusan

Kemelut penggunaan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang rasmi pasukan Selangor masih lagi jauh daripada selesai. Namun demikian, usaha yang dilakukan oleh BBPS wajar dipuji.

Kami difahamkan bahawa langkah seterusnya oleh BBPS ialah untuk bertemu dengan pihak FAS esok. Kami dari pihak Semuanya BOLA mengharapkan agar kemelut ini dapat diselesaikan dengan cara baik.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN