Ernesto Valverde Dilantik Sebagai Pengurus Baharu Barcelona, Ganti Luis Enrique

Nampaknya, Barcelona terus pantas melakukan kerja.

Sehari selepas Luis Enrique menghadiahkan mereka gelaran Copa Del Rey di perlawanan terakhir beliau sebagai pengurus Barcelona, kelab tersebut terus mendapatkan pengganti beliau.

Ernesto Valverde pengurus baharu Barcelona menggantikan Luis Enrique.

Tapi siapakah beliau?

Valverde adalah merupakan bekas pengurus Athletic Bilbao dan hasil kerja beliau telah menjadikan Bilbao antara pasukan yang kukuh di La Liga.

Taktikal Valverde turut memberikan kesukaran kepada pihak lawan terutamanya ketika menentang Barcelona dan Real Madrid.

Calon sesuai

Valverde merupakan bekas pemain Barcelona ketika karier profesional beliau.

Namun begitu dalam bidang pengurusan, beliau dikenang atas jasa yang dilakukan ketika di Bilbao.

Kehadiran Valverde dijangka bakal menyaksikan ramai pemain akademi Barcelona akan dibawa ke skuad utama.

Hal ini kerana di Bilbao, Valverde lebih memilih untuk membawa pemain-pemain akademi mereka ke skuad utama berikutan polisi kelab yang menghadkan pemain dari wilayah Basque sahaja.

Pemilihan Valverde dianggap bersesuaian dengan falsafah kelab dan ia diakui oleh presiden kelab iaitu Josep Maria Bartomeu.

“Beliau memberi peluang kepada pemain akademi untuk menonjolkan bakat mereka bersama pasukan utama.”

“Dan paling penting beliau bermain dengan cara Barcelona.”

Rekod Valverde di Bilbao cukup baik. Beliau telah membantu Bilbao untuk menamatkan saingan liga tidak keluar dari zon 7 terbaik serta membawa Bilbao ke perlawanan akhir Copa Del Rey pada 2015.

Pada musim berikutnya, Valverde membawa Bilbao ke kejuaraan Supercopa de Espana selepas menewaskan Barcelona 5-1 menerusi agregat.

Leave a Reply