EPL: Man United Kalah Lagi, Rekod ‘Kebal’ Di Tempat Lawan Lebur Di Tangan Leicester

EPL Manchester United Leicester City

Rekod 29 perlawanan tanpa kalah di tempat lawan Manchester United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) akhirnya lebur di tangan Leicester City selepas tewas 4-2 dalam aksi mendebarkan di Stadium King Power.

Walaupun Leicester lebih banyak menguasai bola dan mengasak kubu pasukan pelawat, namun United ternyata lebih kritikal di hadapan gol untuk memecah kebuntuan pada minit ke-19 menerusi rembatan kencang Mason Greenwood dari luar kotak penalti yang tepat menuju ke penjuru gawang.

Tetapi 12 minit kemudian, Leicester membalasnya dengan gol yang tidak kurang menarik dari Youri Tielemans.

Bermula dengan kebodohan Harry Maguire yang menunggu bola, Kalechi Iheanacho pantas memintas dan menghantar bola ke belakang untuk pemain tengah Belgium itu melakukan rembatan lengkung yang cukup cantik mengatasi jangkauan David de Gea yang sekadar melihat bola menjunam masuk ke dalam gawangnya.

Sehingga tamat separuh masa pertama, United ternyata beraksi di bawah tekanan selepas pasukan tuan rumah terus bernafsu melancarkan serangan demi serangan untuk memburu gol.

Tielemans nyaris menjaringkan satu lagi gol menerusi satu rembatan dari luar kotak penalti, namun kali ini De Gea lebih bersedia untuk menyelematkan gawangnya dengan menepis keluar bola sebelum terbias ke tiang gol.

Stadium King Power bergema dengan sorakan penyokong selepas Caglar Soyuncu menjaringkan gol kedua pasukannya pada minit ke-78 apabila mudah menolak bola dalam keadaan kelam kabut di hadapan gol.

Marcus Rashford yang diturunkan buat kali pertama musim ini sejak pulih sepenuhnya dari pembedahan bahu menyamakan kedudukan pada minit ke-82 untuk memberi harapan kepada United sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata dan mempertahankan rekod mereka.

Namun hanya seminit kemudian, Jamie Vardy menjadi pemusnah United dengan gol ketiga sebelum pemain gantian Patson Daka mengesahkan malam gemilang Leicester City dengan gol keempat pada masa kecederaan.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply