EPL: Liverpool Belasah Arsenal Ketika Klopp & Arteta Bergaduh Di Tepi Padang

Liverpool

Aksi antara Liverpool dan juga Arsenal memperlihat kualiti di dalam padang serta drama di luar padang.

Kedua-dua pengurus pasukan Jurgen Klopp dan Mikel Arteta dilayangkan kad kuning daripada pengadil selepas mereka terlibat dalam pertengkaran selepas 30 minit permainan.

Semuanya berpunca daripada situasi pertembungan antara Takehiro Tomiyasu dan Sadio Mane yang menyaksikan pemain Senegal itu mengasari pertahanan Jepun tersebut.

Situasi tersebut membuatkan Arteta berang lalu menghampiri kawasan teknikal Liverpool kawalan Klopp.

Kedua-dua pengurus kemudiannya dihukum pengadil – Michael Oliver.

Situasi tersebut membuat tempo perlawanan yang sudah ‘panas’ semakin tinggi suhunya dengan persembahan cemerlang Aaron Ramsdale menafikan setiap percubaan Liverpool.

Akan tetapi, kebalnya pintu gol akhirnya musnah apabila Mane berjaya menembusi gawang Arsenal pada minit ke-39 menerusi tandukan.

Separuh masa kedua menyaksikan Liverpool terus menekan Arsenal sehingga mereka berjaya menuai hasil.

Kesilapan Albert Sambi Lokonga yang menghilangkan bola berjaya dirampas Diogo Jota untuk membolehkan tuan rumah menggandakan kedudukan pada minit ke-52.

Serangan Liverpool di separuh masa kedua cukup-cukup berbahaya buat Arsenal dan hasilnya mereka terus dibolosi.

Mohamed Salah menyertai senarai penjaring pada minit ke-73 selepas larian deras Mane membolehkan bintang Senegal itu memasuki ke kawasan Arsenal lalu melakukan hantaran lintang.

Hantaran lintang rendah itu kemudiannya menemui kaki Salah untuk memboleh beliau menjaringkan gol.

Pemain gantian, Takumi Minamino turut menjaringkan gol pada minit ke-77 selepas menerima hantaran lintang rendah dari Trent Alexander-Arnold.

Gol yang disumbangkan beliau itu adalah sentuhan pertamanya yang masuk sebagai pemain gantian menggantikan Diogo Jota.

Secara keseluruhannya, Arteta dilihat menjadi punca kepada kebangkitan Liverpool apabila pertengkarannya bersama Klopp membuatkan tuan rumah beraksi dengan cukup garang.

Ia kemudiannya diterjemahkan kepada jaringan dan persembahan yang amat berkualiti disajikan ketika separuh masa kedua hinggakan Arsenal tidak bernafas untuk menghadapinya.

Keputusan penuh, Liverpool 4-0 Arsenal.

Kesebelasan utama

Liverpool: Alisson Becker (penjaga gol), Trent Alexander-Arnold, Joel Matip, Virgil van Dijk (ketua pasukan), Kostas Tsimikas, Thiago Alcantara, Fabinho, Alex Oxlade-Chamberlain, Mohamed Salah, Diogo Jota, Sadio Mane

Arsenal: Aaron Ramsdale (penjaga gol), Takehiro Tomiyasu, Ben White, Gabriel, Nuno Tavares, Bukayo Saka, Thomas Partey, Albert Sambi Lokonga, Emile Smith Rowe, Alexandre Lacazette, Pierre-Emerick Aubameyang (ketua pasukan)

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply