EPL: Gandingan Mantap Fernandes, Pogba Teruskan Pemburuan United Ke UCL

Bruno Fernandes meneruskan aksi cemerlangnya bersama Manchester United dengan menjaringkan dua gol untuk membantu pasukannya menang 3-0 ke atas Brighton & Hove Albion dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada awal pagi tadi.

Kemenangan selesa di Stadium American Express itu melanjutkan lagi rekod tanpa kalah United dalam semua pertandingan kepada 15 perlawanan sejak Fernandes tiba di Old Trafford pada Januari lalu.

Skuad kendalian Oleh Gunnar Solskjaer itu turut meneruskan pemburuan mereka untuk mendapatkan slot ke kejohanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan dengan kini United kembali menduduki tangga kelima dengan 52 mata daripada 32 perlawanan.

Keputusan tersebut ternyata menyenangkan Ole yang melihat Fernandes dan Paul Pogba semakin serasi selepas bergandingan untuk beberapa perlawanan.

“Seronok melihat permainan mereka. Keyakinan datang daripada persembahan yang baik sejak dari awal liga kembali bersambung. Mereka telah bekerja keras sepanjang tempoh penggantungan liga dan kini mereka semakin ‘segar’ untuk beraksi.

“Gol ketiga adalah gol berpasukan yang sangat menakjubkan. Untuk melihat ramai pemain berlari ke depan dan Fernandes menyudahkan dengan cukup menarik.

Solskjaer turut memuji Mason Greenwood yang menjaringkan gol pertama pasukan dan menganggap pemain berusia 18 tahun itu sebagai ‘budak yang istimewa’.

United telah pun menguasai permainan sejak awal perlawanan bermula dengan percubaan Fernandes dari jarak 20 ela terkena palang sebelum Greenwood membuat gerakan solo dan melepaskan rembatan kencang untuk meletakkan United di depan pada minit ke-16.

Fernandes menggandakan kelebihan pasukan pelawat pada minit ke-29 dengan menyudahkan hantaran pendek Pogba dengan melencongkan bola dari luar kotak penalti.

Gol ketiga United hadir lima minit selepas babak kedua bersambung menerusi hantaran lintang Greenwood yang disudahkan Fernandes dengan rembatan voli menewaskan Matthew Ryan.

Pemain gantian, Daniel James berpeluang untuk menjaringkan gol keempat United di hujung perlawanan dalam situasi satu lawan satu, namun Ryan cemerlang menafikan percubaan pemain sayap Wales berkenaan.

Untuk perlawanan seterusnya, United dijangka tidak berdepan dengan masalah apabila berdepan Bournemouth yang sedang bergelut di zon penyingkiran.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Manchester United:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply