EPL 2020/21: Southampton, West Ham United Lakar Kemenangan Pada Aksi Keempat

EPL

Southampton dan West Ham United berjaya meraih tiga mata penuh pada aksi keempat kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21 apabila tidak berdepan masalah untuk menewaskan lawan masing-masing sebentar tadi.

Southampton berjaya mencatatkan kemenangan 2-0 manakala West Ham United mengejutkan Leicester City 3-0 di King Power Stadium.

Melayani kunjungan West Bromwich Albion (WBA) yang masih belum mengecapi sebarang kemenangan, skuad bimbingan Ralph Hasenhuttl itu mendominasi aksi sebaik sahaja perlawanan dimulakan.

Tuan rumah hampir membuka tirai jaringan seawal minit keempat apabila Ryan Bertrand menerima lorongan cantik daripada Stuart Armstrong. Percubaannya dalam kawasan penalti bagaimanapun berjaya dinafikan penjaga gol, Sam Johnstone.

Johnstone sekali lagi memainkan peranan dalam menggagalkan usaha Southampton apabila percubaan jarak dekat dilakukan Che Adams dihalang penjaga gol kelahiran Preston itu.

Kekebalan yang ditampilkan Johnstone bagaimanapun terhenti pada minit ke-41 selepas beliau gagal menghalang percubaan rendah dilakukan Moussa Djenepo untuk meletakkan tuan rumah di hadapan.

Pemain tengah, Oriol Romeu menambah jaringan kedua buat Southampton setelah rembatan voli kencang diledakkannya setelah menerima umpanan menarik daripada Armstrong pada minit ke-69 berjaya membolosi gawang WBA.

Dua jaringan pada setiap babak itu sudah cukup untuk menghadiahkan kemenangan kedua buat Southampton selepas mengharungi empat perlawanan liga setakat ini.

Sementara itu, rentak cemerlang Leicester City ketika menumbangkan Manchester City pada minggu lalu langsung tidak dihiraukan West Ham United yang tampil dengan lebih kemas terutamanya menerusi serangan balas pantas.

Kelab yang berpangkalan di London itu memperolehi jaringan pembukaan pada minit ke-14 apabila hantaran lintang cantik dilakukan Aaron Cresswell ditanduk masuk penyerang, Michail Antonio.

Cresswell sekali lagi melakukan hantaran menarik setelah sepakan jauh dilakukannya terus mencari Pablo Fornals yang meluru pantas menuju kawasan penalti Leicester City.

Pemain berusia 24 tahun itu jelas tenang dalam menyempurnakan peluang sekali gus membuatkan Kasper Schmeichel mengambil bola dalam gawangnya buat kali kedua.

West Ham yang turun tanpa David Moyes di tepi padang susulan COVID-19, semakin bernafsu untuk menambah jaringan tetapi percubaan Declan Rice hasil gerakan solonya dari tengah padang terkena palang gol.

Jarrod Bowen mematikan api perjuangan Leicester City pada minit ke-83 selepas beliau mudah menolak masuk bola lorongan baik daripada Fornals.

Leicester City selepas itu cuba untuk bangkit bagi merapatkan defisit jaringan, namun jaringan Harvey Barnes di masa kecederaan telah dibatalkan selepas Jamie Vardy terlebih dahulu dikesan ofsaid.

Keputusan 3-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk meletakkan West Ham United di tangga ketujuh selepas mengumpul enam mata.

Kredit featured image: Marc Atkins/Getty Images

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN