EPL 2020/21: Rekod Tanpa Kalah Everton Lebur Di Tangan Southampton

Everton

‘Kisah indah’ Everton dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21 berakhir apabila skuad kendalian Carlo Ancelotti itu tunduk 0-2 di tangan Southampton pada perlawanan yang berlangsung di St Mary’s Stadium, sebentar tadi.

Keputusan itu juga menyaksikan kesemua 20 pasukan dalam kempen EPL musim ini sudah pun mengalami kekalahan selepas Aston Villa juga kecundang pada awal pagi kelmarin.

Southampton yang masih segar dengan kebangkitan mengikat Chelsea pada minggu lalu hampir di hadapan pada minit ke-12, namun hantaran Ryan Bertrand dalam kawasan penalti gagal disudahkan dengan baik Nathan Redmond apabila percubaannya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol Everton.

The Toffees selepas itu mendapat dua peluang terbaik dalam tempoh tiga minit setelah rembatan padu hasil sepakan percuma diledakkan James Rodriguez berjaya ditangkap kemas penjaga gol, Alex McCarthy pada minit ke-16 dan berselang tiga minit kemudian, rembatan padu luar kawasan penalti daripada Gylfi Sigurdsson hanya singgah di palang gol.

Ledakan padu dari luar kawasan penalti dilepaskan Oriol Romeu pula dinafikan dengan cemerlang Jordan Pickford pada minit ke-27.

Hanya selepas seminit percubaan tersebut, James Ward-Prowse menebus kehampaan tuan rumah untuk membuka tirai jaringan selepas beliau yang menerima hantaran lintang daripada Danny Ings, tidak melepaskan peluang melepaskan rembatan padu dalam kawasan penalti untuk membolosi gawang Everton.

Che Adams mengukuhkan kedudukan pada minit ke-35 apabila lorongan cantik Ings disudahkan dengan baik penyerang berusia 24 tahun itu.

Southampton terlepas peluang untuk menambah jaringan ketiga apabila jaringan dihasilkan Stuart Armstrong dibatalkan pada minit ke-39 selepas Che Adams yang melakukan umpanan kepada Armstrong terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Everton cuba bangkit pada separuh masa kedua tetapi sedikit penguasaan permainan yang dipegang skuad dari Merseyside itu tidak mampu untuk merapatkan defisit jaringan.

Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, Everton turut terpaksa beraksi 10 pemain ketika perlawanan hanya berbaki 18 minit berikutan layangan kad merah diterima Lucas Digne selepas beliau mengasari bek kanan, Kyle Walker-Peters.

Ia juga merupakan kad merah kedua berturut-turut diterima Everton dalam saingan liga apabila Richarlison menerima nasib yang sama pada minggu lalu.

Kekalahan itu bagaimanapun tidak mempengaruhi kedudukan Everton di tangga pertama di mana mereka berkelebihan perbezaan jaringan walaupun terikat 13 mata dengan Liverpool di tempat kedua. Aston Villa yang kekurangan satu perlawanan di tempat ketiga dengan 12 mata.

Kredit featured image: Frank Augstein – Pool/Getty Images

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN