EPL 2020/21: Jaringan Tunggal Vardy Kembalikan Arsenal Ke Realiti

Kerjasama Semuanya BOLA

Jamie Vardy menjaringkan gol tunggal kemenangan dari bangku simpanan untuk menumbangkan Arsenal dan menghantar Leicester City ke kelompok empat teratas liga dalam aksi Premier League di Emirates Stadium awal pagi (waktu Malaysia) tadi.

Kemenangan ini juga bermakna Leicester berjaya menbawa pulang tiga mata, buat kali pertama dari halaman Arsenal, sejak 1973.

Vardy, 33, yang terlepas dua perlawanan sebelum ini kerana kecederaan pangkal paha dimasukkan selepas hampir sejam kedua-dua pasukan mempamerkan aksi bola sepak yang membosankan.

Bekas penyerang England itu menanduk masuk bola hantaran satu lagi pemain gantian Leicester Cengiz Under untuk gol ke-11 dalam 12 penampilannya menentang Arsenal. Hanya Wayne Rooney (12 gol) yang mempunyai lebih banyak gol menentang Arsenal.

Anak buah Mikel Arteta pula sangat mengecewakan walaupun menguasai bola dan mempunyai 12 percubaan tepat ke arah gol. Tetapi hampir semua percubaan gagal mencemaskan Kasper Schmeichel.

Vardy terus jadi badi Arsenal

Pada musim panas empat tahun lepas, Arsenal pernah cuba membeli Vardy dari Leicester. Dan sehingga kini, Vardy masih menghukum Arsenal tanpa gagal.

Beliau hanya mempunyai 11 sentuhan bola selepas menggantikan Dennis Praet. Tetapi tetap mampu menjaringkan gol kemenangan dan hanya dinafikan kepala Bernd Leno untuk cubaan gol kedua.

Tanpa kehadiran Vardy dalam kesebelasan utama, Leicester bermain tanpa penyerang. Sebaliknya Harvey Barnes diletakkan sebagai ketua jentera serangan. Ini menyebabkan Leicester kekurangan sentuhan pemusnah di depan gol disebalik empat percubaan jarak jauh James Maddison.

Bagaimanapun sebaik sahaja Vardy dimasukkan, naratif perlawanan terus bertukar.

Hantaran cantik Youri Tielemans berjaya menemui Under yang menghantar bola ke laluan Vardy yang bebas dari kawalan pertahanan Arsenal untuk menjaringkan gol.

Sehingga kini, Vardy sudah menjaringkan enam gol dari hanya sembilan percubaan – kurang 20 percubaan daripada Mohamed Salah. Ini menjadikan Vardy penyerang paling klinikal dalam Premier League.

Serangan Arsenal tumpul

Seawal minit ke-4, Arsenal menyangka telah menjaringkan gol apabila Alexander Lacazette menanduk masuk sepakan penjuru. Tetapi pengadil membatalkannya selepas Granit Xhaka dan Pierre-Emerick Aubameyang dihukum ofsaid dan menganggu penglihatan Schmeichel.

Majoriti serangan Arsenal berpunca dari kiri – terutamanya dari hantaran lintang Kieran Tierney. Tetapi pertahanan pelawat jarang-jarang terancam.

Satu-satunya detik yang mencemaskan Schmeichel adalah apabila beliau terpaksa menepis rembatan voli Hector Bellerin.

Kekalahan ini memaksa Arsenal untuk kembali ke realiti masalah pasukan mereka.

Aubameyang kini telah kemarau gol dalam lima perlawanan liga buat kali pertama. Dalam perlawanan awal pagi tadi, kelibatnya sangat sukar dijejak.

Nicolas Pepe, pemain yang dibayar €80 juta oleh Arsenal, nampak seperti pemain yang tidak akan memenuhi jangkaan penyokong. Pada musim pertama, beliau diberi peluang atas alasan ‘sedang menyesuaikan diri’. Entah apa pula alasan penyokong Pepe selepas perlawanan ini.

Arsenal dilihat menggerakkan bola terlalu perlahan, sekaligus menyebabkan segala serangan mereka nampak terlalu mudah dijangka dan ditangani. Ini menyebabkan ada sesetengah penyokong yang menyalahkan penyisihan Mesut Ozil sebagai puncanya.

Sehingga kini The Gunners hanya mampu menjaringkan lapan gol dalam enam perlawanan liga. Satu-satunya musim mereka menjaringkan gol lebih sedikit adalah pada musim 2015/2016 – di mana Premier League dijuarai oleh Leicester, dengan Arsenal menduduki tangga kedua.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Mikel Arteta Dedah Kegagalan Pertamanya Di Arsenal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram