EPL 2020/21: Hatrik Riyad Mahrez Serikan Pesta Jaringan The Cityzens

Riyad Mahrez

Riyad Mahrez mencuri tumpuan pada aksi menentang Burnley di Etihad Stadium selepas beliau meledakkan hatrik ketika membantu Manchester City mencatatkan kemenangan selesa 5-0, sebentar tadi.

Mahu segera melupakan kekalahan pada aksi liga minggu lalu bertemu Tottenham Hostpur, Manchester City tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Mahrez yang menerima umpanan cantik daripada Kevin De Bruyne dalam kawasan penalti, tidak berdepan masalah menolak masuk bola seawal minit keenam.

Mendominasi permainan serta langsung tidak memberikan sebarang percubaan tepat kepada pasukan pelawat pada separuh masa pertama, skuad kendalian Pep Guardiola itu terus garang dalam usaha bagi mengukuhkan kedudukan.

Jaringan kedua The Cityzens hadir pada minit ke-22 apabila Mahrez bijak membuka ruang buat Kyle Walker untuk melakukan lontaran ke dalam di kawasan penalti Burnley sekali gus pemain skuad kebangsaan Algeria itu menggunakan kelincahannya lalu meledakkan percubaan menarik menewaskan penjaga gol, Bailey Peacock-Farrell.

Berselang empat minit kemudian, Manchester City hampir menambah jaringan ketiga tetapi tandukan daripada Gabriel Jesus terpaksa dibatalkan selepas John Stones terlebih dahulu dikesan mengasari ketua pasukan Burnley, Ben Mee.

Kehampaan itu ditebus Benjamin Mendy pada minit ke-41 selepas beliau yang tidak dikawal pertahanan Burnley dengan tenang menyempurnakan peluang hasil hantaran kemas daripada De Bruyne.

Lebih menarik untuk diperkatakan, jaringan separa voli itu juga merupakan gol pertama peribadi buat Mendy yang sudah membuat 60 penampilan bersama Manchester City sejak menyertai kelab tersebut pada 24 Julai 2017.

Penguasaan juara empat kali EPL itu berterusan pada babak kedua apabila berjaya menambah dua lagi jaringan pantas di mana Ferran Torres menyumbat gol keempat pada minit ke-66. Pemain muda kelahiran Sepanyol itu tidak berdepan masalah untuk menolak masuk bola selepas menerima hantaran Gabriel Jesus.

Hanya selepas tiga minit kemudian, Riyad Mahrez tampil cemerlang untuk melengkapkan hatriknya selepas beliau menanduk masuk umpanan Phil Foden bagi menjadikan kedudukan 5-0.

Manchester City hampir menggandakan kedudukan pada minit ke-75 tetapi jaringan sendiri daripada Peacock-Farrell dibatalkan selepas rujukan VAR ‘menangkap’ Jesus berada dalam posisi ofsaid.

Keputusan 5-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk Manchester City menduduki tangga kelapan dengan 15 mata manakala Burnley pula berada di kedudukan ke-17 selepas hanya mengumpul lima mata.

Kredit featured image: Tom Flathers/Manchester City FC via Getty Images

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN