EPL 2020/21: Edinson Cavani Pamer Bisa, Bantu Kebangkitan Dramatik Man Utd

Edinson Cavani

Manchester United mempamerkan kebangkitan dramatik pada perlawanan kesembilan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21 apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas Southampton, sebentar tadi.

Penyerang berpengalaman, Edinson Cavani yang dimasukkan pada minit ke-46 menjadi watak utama buat The Red Devils selepas beliau berjaya menjaringkan dua gol dan mencipta satu bantuan jaringan.

Berkunjung ke St. Mary’s Stadium dengan misi untuk meraih kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan liga, Manchester United bagaimanapun tidak diberikan laluan mudah terutamanya pada separuh masa pertama.

Ia jelas terbukti apabila Southampton berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-23 menerusi tandukan pemain pertahanan, Jan Bednarek yang menewaskan David De Gea setelah menerima hantaran sepakan sudut daripada James Ward-Prowse.

Berselang 10 minit kemudian, Ward-Prowse menambah luka buat Manchester United susulan sepakan percuma yang diambilnya berjaya membolosi gawang United walaupun De Gea berusaha keras untuk menepis keluar percubaan tersebut.

Melihatkan kepada kepincangan dihadapi anak buahnya, Ole Gunnar Solskjaer memasukkan Dean Henderson dan Cavani pada awal babak kedua bagi memperbaiki kelompongan yang terdapat dalam pasukannya.

Langkah itu jelas membuahkan hasil di mana Cavani melakukan bantuan jaringan pada minit ke-59 bagi membolehkan Bruno Fernandes yang berada dalam kawasan penalti untuk menolak mudah bola bagi merapatkan kembali defisit jaringan.

Kombinasi menarik kedua-dua pemain tersebut semakin terserlah apabila Fernandes pula melakukan hantaran ke dalam kawasan penalti yang kemudiannya berjaya ditanduk masuk Cavani pada minit ke-74 bagi kembali mengikat kedudukan.

Ketika perlawanan dilihat bakal berkesudahan dengan terikat 2-2, Cavani muncul wira buat United selepas penyerang berusia 33 tahun itu sekali lagi membuktikan kualitinya dengan tandukan hasil hantaran Marcus Rashford sekali gus gagal dinafikan penjaga gol, Alex McCarthy.

Kemenangan itu meletakkan Manchester United pada ketika ini menduduki tangga ketujuh dengan 16 mata manakala Southampton kekal di tangga kelima dengan 17 mata.

Kredit featured image: Mike Hewitt/Getty Images

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN