EPL 2020/21: Chelsea Raih Kemenangan 2-0 Di St James’ Park

Kerjasama Semuanya BOLA

Chelsea

Chelsea melakarkan kemenangan kelima dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21 selepas berjaya menundukkan Newcastle United 2-0 pada aksi yang berlangsung di St James’ Park, sebentar tadi.

Kejayaan meraih tiga mata itu meletakkan The Blues di tangga teratas liga buat seketika dengan mengumpul 18 mata hasil lima kemenangan, tiga keputusan seri dan satu kekalahan selepas mengharungi sembilan perlawanan.

Dilabel sebagai pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan ini, skuad kendalian Frank Lampard itu tampil dengan penuh keyakinan untuk membolosi gawang tuan rumah yang dikawal Karl Darlow.

Timo Werner terlebih dahulu menguji ketangkasan Darlow apabila larian Timo Werner ke dalam kawasan penalti disusuli dengan ledakan kaki kiri leret yang bagaimanapun berjaya dinafikan penjaga gol berusia 30 tahun itu.

Memasuki minit kesembilan, giliran Tammy Abraham pula mengancam kubu Newcastle selepas beliau berjaya melakukan tandukan setelah menerima umpanan menarik daripada Hakim Ziyech. Namun, Darlow sekali lagi menjadi penghalang buat Chelsea untuk mendapatkan jaringan.

Kekentalan Darlow bagaimanapun terhenti berselang seminit kemudian susulan kesilapan pemain pertahanan, Federico Fernandez tertampan bola ke dalam gawangnya sendiri dalam usaha untuk menyelamatkan hantaran lintang dilakukan Mason Mount.

Werner terlepas peluang untuk melebarkan kedudukan pada minit ke-30 apabila umpanan baik Abraham di hadapan pintu gol gagal disudahkan dengan baik ketika beliau tidak dikawal pertahanan lawan setelah percubaannya tersasar di sebelah kanan pintu gol Newcastle United.

Minit ke-35 menyaksikan kesilapan hantaran ke belakang oleh Abraham membolehkan Joelinton melakukan larian deras ke kawasan penalti Chelsea dan kemudiannya mencari Allan Saint-Maximin. Rembatan daripada Maximin selepas itu bagaimanapun berjaya dihalang Antonio Rudiger bagi menyelamatkan keadaan.

Memasuki babak kedua, aksi lebih menarik ditampilkan apabila anak buah Steve Bruce juga menghadirkan beberapa percubaan berbahaya ke pintu gol Chelsea.

Isaac Hayden mendapat peluang terbaik pada minit ke-58 apabila hanya berhadapan dengan Edouard Mendy tetapi beliau terlebih dahulu dipersalahkan selepas bola terkena tangannya ketika perebutan perhitungan bersama Rudiger. Selepas itu, percubaan daripada Joelinton daripada luar kawasan penalti pula sekadar melewati palang gol.

Abraham kemudiannya berjaya menjadikan kedudukan 2-0 selepas dengan mudah menolak masuk bola susulan larian deras Werner dari kawasan sendiri yang kemudiannya melorongkan bola dengan cukup baik kepada rakan sepasukannya itu pada minit ke-65.

Pintu gol Chelsea hampir dibolosi pada minit ke-72 tetapi rembatan padu Sean Longstaff sekadar singgah di palang gol ketika Mendy sudah pun tertewas. Berselang tiga minit kemudian, Werner berjaya menjaringkan gol ketiga selepas menerima hantaran Ziyech, namun beliau terlebih dahulu dikesan ofsaid.

Kem tuan rumah terus kecewa apabila ledakan Andy Carroll pada lewat permainan ketika hanya berhadapan dengan Mendy berjaya dinafikan penjaga gol skuad kebangsaan Senegal itu untuk perlawanan berkesudahan 2-0 memihak Chelsea.

Kredit featured image: MB Media/Getty Images

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram