EPL 2020/21: Arsenal Tersungkur, Jadi Mangsa Kebangkitan Aston Villa

Aston Villa

Arsenal menerima nasib malang buat kali kedua di Stadium Emirates dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21 selepas tumbang 0-3 di tangan Aston Villa pada aksi yang berlangsung sebentar tadi.

Kekalahan itu juga gagal mengulangi kejayaan The Gunners menundukkan Manchester United pada minggu lalu manakala ia turut menjadi titik kebangkitan buat Villa yang tunduk pada dua perlawanan terdahulu iaitu ketika menentang Leeds United dan Southampton.

Mimpi ngeri skuad bimbingan Mikel Arteta itu seakan-akan bermula seawal minit pertama tetapi jaringan padu daripada John McGinn dibatalkan selepas Ross Barkley didakwa berada dalam kedudukan ofsaid.

Kekecewaan itu bagaimanapun berjaya ditebus Aston Villa pada minit ke-25 apabila Bukayo Saka tertampan bola ke gawang sendiri dalam usahanya untuk menghalang Trezeguet daripada menolak masuk hantaran leret daripada Matty Cash.

Arsenal yang mendominasi aksi separuh masa pertama hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-41 menerusi Alexandre Lacazette, namun tandukan pemain skuad kebangsaan Perancis itu selepas menerima umpanan daripada Kieran Tierney sekadar melewati palang gol.

Memasuki babak kedua, pasukan pelawat dilihat garang untuk menambah jaringan setelah Trezeguet meledakkan rembatan dalam kawasan penalti tetapi berjaya ditepis keluar penjaga gol Arsenal, Bernd Leno pada minit ke-48.

Berselang lapan minit kemudian, Leno terus menjadi penghalang buat anak buah Dean Smith itu apabila ledakan Jack Grealish pula dinafikan penjaga gol berusia 28 tahun itu.

Arsenal yang turut berusaha bagi mendapatkan jaringan mendapat peluang keemasan pada minit ke-61 tetapi percubaan Rob Holding setelah menerima hantaran daripada Gabriel tersasar. Tidak cukup dengan itu, rembatan Nicholas Pepe dalam kawasan penalti juga tersasar di sebelah kanan pintu gol Aston Villa yang dikawal Emiliano Martinez.

Tidak mahu terus ditekan kelab London Utara itu, Aston Villa tampil dengan lebih meyakinkan dan ia dibuktikan apabila jaringan kedua berjaya dijelmakan oleh Ollie Watkins pada minit ke-72.

Jaringan tersebut berpunca daripada hantaran cantik Douglas Luiz mencari Barkley dan kemudiannya pemain tengah tersebut melakukan hantaran ke hadapan pintu gol Arsenal yang berjaya ditanduk masuk Watkins bagi melebarkan kedudukan.

Tidak sampai seminit jaringan kedua terhasil, Aston Villa terus mempamerkan keghairahan untuk menambah jaringan setelah Grealish meledakkan rembatan tepat ke arah gol tetapi Dani Ceballos bertindak cemerlang mengeluarkan bola di atas garisan gol.

Watkins menjadikan kedudukan 3-0 hanya berselang dua minit kemudian setelah serangan balas pantas dimulakan Martinez telah memberikan ruang kepada Grealish yang meluru pantas ke kubu Arsenal. Lorongan cantik kapten Villa itu kemudiannya sekali lagi disudahkan dengan begitu baik oleh Watkins bagi menambah luka Arsenal.

Keputusan 3-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk Aston Villa ‘menghadiahkan’ kekalahan keempat buat Arsenal selepas hanya mengharungi lapan perlawanan liga. Aston Villa kini menghuni tangga keenam dengan 15 mata manakala Arsenal pula di tangga ke-11 selepas mengumpul 12 mata.

Kredit featured image: Richard Heathcote/Getty Images

 

 

 

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN