EPL 2019/20: Manchester United Mudah Jinakkan Norwich

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Marcus Rashford cemerlang dalam penampilan ke-200 buat Manchester United dengan menjaringkan dua gol bagi membantu pasukannya menang mudah 4-0 mengatasi Norwich City sekaligus melonjak pasukannya ke tangga kelima Liga Perdana Inggeris (EPL).

Penyerang berusia 22 tahun itu menjadi pemain ketiga paling muda untuk meraih rekod penampilan tersebut dan menyambutnya dengan menjaringkan gol pada kedua-dua babak permainan.

Manchester United membuka akaun jaringan dalam perlawanan ini menerusi sentuhan bijak Marcus Rashford hasil hantaran lencong Juan Mata. Ia merupakan gol ke-19 Rashford pada musim ini dalam semua pertandingan.

Dua minit sebelum tamat separuh masa pertama, Norwich mendapat peluang untuk menyamakan kedudukan, namun ketangkasan David De Gea yang merebahkan badannya berjaya menafikan percubaan Todd Cantwell.

Lima minit selepas babak kedua bermula, Manchester United mendapat penalti selepas Brandon Williams dijatuhkan Tim Krul dalam kotak penalti. Marcus Rashford menterjemahkan sepakan penalti tersebut dengan rembatan kencang ke arah kanan tanpa sebarang masalah.

Empat minit kemudian, United ‘terbang’ lebih tinggi dengan giliran Martial pula menunjukkan taringnya selepas tandukan kencangnya menuju tepat ke sudut kiri gawang gol hasil hantaran Mata.

Mason Greenwood yang masuk pada minit ke-71 menggantikan Pereira hanya memerlukan lima minit untuk membuktikan kematangan dan ketajamannya menerusi rembatan leret ke arah kanan gol menewaskan Tim Krul.

Solskjaer kemudian memasukkan seorang lagi pemain remaja berusia 18 tahun, Angel Gomes menggantikan penjaring gol, Anthony Martial.

Tamat perlawanan, Solskjaer berjaya mendapatkan keputusan yang beliau mahukan dan ketiga-tiga penyerang mudanya, Rashford, Martial dan Greenwood sekali lagi menjaringkan gol untuk memberikan tiga mata penting di laman sendiri.

United kini lima mata di belakang Chelsea di tempat keempat sementara Norwich pula kekal di dasar liga dan pasukan itu hanya menang satu dari 17 perlawanan liga terakhir mereka.