EPL 2019/20: Arsenal Diaibkan Sheffield United

Sheffield United mencatat kemenangan 1-0 ke atas Arsenal pada awal pagi tadi sekaligus meletak kedudukan mereka ke pertengahan Liga Perdana Inggeris (EPL). Lys Mousset meledak jaringan pertama beliau bersama The Blades dengan gol pada separuh masa pertama.

Pemain termahal Arsenal, Nicolas Pepe melepaskan peluang untuk menjaringkan gol padang pertamanya bersama Arsenal pada minit ke-21 permainan. Beliau yang menerima hantaran lintang Sead Kolasinac gagal menolak masuk bola ke dalam gawang Sheffield.

Sembilan minit selepas itu, sepakan sudut yang diambil Oliver Norwood ditanduk Jack O’Connell sebelum ditolak masuk Mousset ke dalam gawang pelawat menewaskan Bernd Leno untuk meletakkan Sheffield di hadapan.

https://twitter.com/Soccer_Matrix/status/1186385348819083269?s=20

Kapten Arsenal, Granit Xhaka turut membuat percubaan dari jarak jauh yang menguji kecekapan Dean Henderson tetapi Sheffield kekal bertahan untuk merakam kemenangan dan memastikan skuad kendalian Unai Emery pulang dengan tangan kosong.

Dengan kekalahan tersebut, Arsenal terlepas peluang untuk merebut empat tempat teratas, ketinggalan dua mata dari Chelsea yang berada di kedudukan keempat.

Penampilan semula Sheffield ke saingan EPL musim ini menyaksikan mereka tidak mahu sekadar melengkapkan 20 pasukan dalam liga tetapi mampu memberi saingan kepada pasukan-pasukan gergasi lain.

Menentang Chelsea, mereka bangkit dari ketinggalan dua gol untuk mengikat kedudukan 2-2 pada akhir perlawanan. Ketika berdepan Liverpool pula, mereka memberi tentangan sengit sebelum bolos pada minit-minit akhir akibat kesilapan Dean Henderson.

Menentang Arsenal pula mereka mampu mengekang asakan sekalipun pasukan pelawat menguasai permainan. Kemahiran teknikal David McGoldricks digabungkan dengan kepantasan Mousset di bahagian serangan ternyata memberi masalah kepada barisan pertahanan The Gunners.

Arsenal yang kembali beraksi selepas tempoh rehat antarabangsa berada pada kedudukan yang baik dalam carta EPL sebelum perlawanan.

Mereka berada di kedudukan ketiga selepas menumpaskan Bournemouth 1-0 di tempat sendiri dan melanjutkan rekod di Stadium Emirates pada musim ini dengan empat kemenangan dan satu keputusan seri.

Tetapi mereka terus kekal dengan rekod buruk dan tidak menentu di gelanggang lawan. Hanya satu kemenangan sahaja diraih apabila berkunjung ke tempat lawan iaitu kemenangan 1-0 ke atas Newcastle United.

Selain itu merka cuma seri menantang Watford dan Manchester United serta tewas kepada Liverpool dan kini Sheffield. Arsenal cuma menang empat dari 17 perlawanan terakhir di tempat lawan.

Menjadi pemain termahal dalam sejarah Arsenal ternyata satu bebanan yang sukar untuk ditanggung Pepe sejak beliau tiba di Arsenal pada musim panas yang lepas.

Reputasi besar yang dimilikinya sewaktu di Lille dengan rekod 35 gol dalam 74 penampilan masih tidak mampu diterjemahkan bersama kelab barunya itu. Setakat ini Pepe cuma menjaringkan satu gol menerusi sepakan penalti ketika menentang Aston Villa.

Pengurus Arsenal dalam sidang media selepas perlawanan menyatakan pasukannya berhak memperoleh keputusan yang lebih baik kerana mempunyai banyak peluang. Namun mereka tewas melalui gol dari sepakan sudut.

“Pada separuh masa kedua barisan pertahanan bermain dengan lebih baik dan berjaya mengawal permainan. Kita juga mendapat tiga atau empat peluang. Tetapi kami tewas berdepan denan pasukan yang mempunyai pertahanan yang kuat.

“Kami mendapat 12 sepakan sudut berbanding tujuh atau lapan oleh pasukan lawan. Tetapi mereka berjaya menjaringkan satu gol daripadanya.

“Perlawanan di tempat sendiri atau tempat lain, persediaan kami sama sahaja. Kami sentiasa berfikir untuk menang.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN