EPL 2018/19: Wolves Terus Jadi Masalah Buat Manchester United, Cipta Kejayaan 2-1 Di Molineux Stadium

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email
Wolves

Selepas berjaya menyingkirkan Manchester United dalam saingan Piala FA pada bulan lalu, Wolverhampton Wanderers sekali lagi cemerlang bagi menewaskan lawan yang sama 2-1 di Molineux Stadium, awal pagi tadi.

Kemenangan yang cukup bermakna pada perlawanan ke-32 Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mengekalkan kedudukan Wolves di tangga ketujuh kancah liga paling popular dunia itu.

United yang kini tangga kelima pula terlepas peluang keemasan untuk memintas kedudukan Arsenal dan Tottenham Hotspur.

The Red Devils bermula dengan kemas apabila memperoleh peluang pertama menerusi Romelu Lukaku, tetapi tandukan jarak dekat penyerang bertubuh sasa setelah menerima hantaran lintang daripada Diogo Dalot itu berjaya ditepis keluar Rui Patricio.

Manchester United menggandakan asakan dan terlebih dahulu berada di hadapan pada minit ke-13 setelah Scott McTominay melepaskan rembatan rendah dari luar kawasan penalti yang menewaskan Patricio.

Kelebihan tersebut hanya bertahan selama 12 minit sebelum Diogo Jota menyudahkan peluang terbaik dimiliki selepas menerima umpanan cantik yang dihasilkan Raul Jimenez untuk kembali menyamakan kedudukan.

WOLVERHAMPTON, ENGLAND – APRIL 02: Matt Doherty and Leander Dendoncker of Wolverhampton Wanderers celebrate after their team’s second goal during the Premier League match between Wolverhampton Wanderers and Manchester United at Molineux on April 02, 2019 in Wolverhampton, United Kingdom. (Photo by Michael Regan/Getty Images)

Lebih pedih, jaringan tersebut berpunca daripada kesilapan hantaran David De Gea yang digunakan sepenuhnya oleh jentera serangan Wolves.

Memasuki babak kedua, McTominay hampir kembali meletakkan United di hadapan tetapi tandukannya dalam kawasan penalti dihalang Patricio.

Malang menimpa skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer selepas Ashley Young terpaksa diperintah keluar padang akibat menerima kad kuning kedua pada minit ke-57.

Kad kuning kedua tersebut dilayangkan selepas terjahan keras dilakukannya terhadap penjaring gol pertama tuan rumah, Diogo Jota.

Kesempatan beraksi dengan kelebihan seorang pemain digunakan sepenuhnya Wolves untuk mencipta gol kemenangan pada minit ke-77 apabila Chris Smalling tertampan bola ke dalam gawang sendiri setelah keadaan kelam-kabut di hadapan pintu gol United.

Keputusan 2-1 kekal hingga tamat permainan untuk menghadiahkan tiga mata penuh buat skuad Nuno Espirito Santo itu.

Dalam satu lagi aksi Liga Perdana Inggeris, Watford berjaya menumpaskan Fulham 4-1 sekaligus menghumban Fulham kembali ke saingan Championship pada musim hadapan.