England 3-0 Wales: Jack Grealish Curi Perhatian Dari Calvert-Lewin

Jack Grealish mencuri perhatian media dan peminat dari Dominic Calvert-Lewin selepas menjadi bintang dan selayaknya pemain terbaik perlawanan persahabatan England menentang Wales di Wembley Stadium awal pagi waktu Malaysia tadi.

England menang mudah, 3-0 hasil jaringan tiga pemain yang kali pertama membuka akaun gol antarabangsa: Calvert-Lewin, Conor Coady dan Danny Ings.

Ketua jurulatih England Gareth Southgate turut memberikan peluang penampilan pertama kepada tiga lagi pemain: Bukayo Saka, Reece James dan Harvey Barnes.

Pada hari lain mungkin perhatian media akan tertumpu kepada Calvert-Lewin yang menjaringkan gol pada penampilan pertama beliau dalam skuad senior Three Lions. Penyerang Everton tersebut menjaringkan gol hasil hantaran lintang Grealish pada minit ke-26 sebelum dibawa keluar selepas hampir sejam bermain.

Tetapi persembahan cemerlang Grealish sukar untuk diketepikan. Ya, ia persembahan cemerlang menentang skuad Wales yang turun tanpa Gareth Bale, Aaron Ramsey, Joe Allen dan Hal Robson-Kanu.

Tetapi England juga menurunkan ‘skuad B’ mereka. Jumlah kaps antarabangsa semua kesebelasan utamanya (54) lebih rendah daripada jumlah kaps Southgate sendiri (57).

Perlawanan tadi merupakan kali pertama Grealish bermula dalam kesebelasan utama. Dan perancang Aston Villa ini sangat cemerlang. Setiap kali bola berada di kakinya, bahaya pasti akan menanti buat Wales di kawasan final third.

Selepas menyumbang bantuan gol pertama, Grealish juga memberi sumbangan besar kepada gol kedua England. Berpunca daripada kekasaran pertahanan Wales terhadapnya, pengadil memberikan sepakan percuma yang diambil oleh Kieran Trippier.

Bola Trippier itu kemudiannya menemui kaki Conor Coady untuk gol pertama pertahanan Wolves itu di peringkat antarabangsa.

Selesa mendahului Wales 2-0, England langsung tidak menurunkan gearnya. Pada minit ke-63, England sekali lagi mendapat gol menerusi set-pieces. Sepakan penjuru Kalvin Phillips ditanduk oleh Tyrone Mings sebelum Danny Ings menyambar menerusi sepakan gunting – juga gol pertamanya untuk Three Lions.

Saka hampir menambah gol keempat England menerusi percubaan kaki kirinya enam minit kemudian. Tetapi penjaga gol Wales Wayne Hennessey cekap menafikan pemain muda Arsenal itu daripada mendapat gol debut.

Hennessey kemudiannya menafikan pula gol kedua Ings selepas sempat menepis percubaan penyerang Southampton itu yang terbias dari pertahanannya sendiri.

Selepas ini, England akan turun menentang Belgium dan Denmark dalam perlawanan UEFA Nations League pada awal pagi Isnin dan Khamis akan datang.

Pengurus Wales Ryan Giggs pula perlu memikirkan cara untuk menaikkan moral anak buahnya semula menjelang pertemuan UEFA Nations League menentang Republik Ireland dan Bulgaria.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN