Empat Pemain Australia B-23 Digantung Kerana ‘Tingkah Laku Tidak Profesional’

Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA) telah menjatuhkan hukuman penggantungan kepada empat pemain skuad Olimpik negara itu.

Dakwaan tersebut berkaitan ‘tingkah laku tidak profesional’ selepas terdapat aduan oleh seorang wanita ketika pasukan itu baru sahaja selesai menyertai satu kejohanan B-23 di Kemboja pada Mac lalu.

Nathaniel Atkinson, Lachlan Wales dan Brandon Wilson digantung sehingga Ogos tahun depan, bermakna mereka akan terlepas kejohanan Sukan Olimpik Tokyo 2020. Kapten pasukan, Riley McGree pula digantung sehingga April 2020.

Menurut kenyataan oleh FFA pada Selasa, kesemua empat pemain itu akan menjalani sesi pendidikan dan kaunseling seperti yang dirahkan oleh sebuah badan kerajaan.

Mereka didapati bersalah selepas melanggar kod etika FFA semasa malam selepas berakhir perlawanan Kelayakan Kejohanan AFC B-23.

“Secara khususnya, lembaga pengurusan FFA mendapati pemain-pemain itu terlibat dengan salah laku yang tidak profesional,” jelas wakil FFA.

“Perkara itu telah mendapat perhatian FFA pada April 2019 selepas menerima aduan dari seorang wanita.”

Namun tiada penjelasan lanjut mengenai perincian tentang aduan tersebut.

Sebuah stesen berita tempatan melaporkan, aduan itu telah dibuat pada awal tahun kepada agensi sukan yang dibiayai kerajaan iaitu Sports Australia.

FFA mengatakan pihaknya telah memulakan siasatan sejurus sahaja menerima aduan berkenaan tetapi prosesnya mengambil masa beberapa bulan untuk diselesaikan kerana masalahnya ‘agak rumit’.

Empat pemain itu sepatutnya dijadualkan ke China sebagai persediaan untuk kejohanan AFC B-23 yang akan berlangsung pada Januari tahun depan. Tetapi pemergian mereka semua telah ditangguh sementara menunggu keputusan hukuman.

“Hukuman yang diberikan ini padan dengan kesalahan mereka yang melanggar peraturan pasukan,” ujar Pengerusi FFA, Chris Nikou.

“Kami memegang prinsip yang akan terus memberi komitmen untuk bersikap menghormati dan bertanggungjawab. Kelakuan seperti ini tidak boleh dikompromi.

“Empat pemain itu faham mengenai kesan kepada tindakan mereka dan mereka positif dengan arahan untuk menjalani program pemulihan bagi memastikan mereka benar-benar menghargai nilai-nilai murni pada masa akan datang.”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram