Elavarasan Puji Aksi Bertenaga Khairul Fahmi Che Mat

Jika tidak kerana ketangkasan bekas penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek, Melaka United pasti akan dibelasah oleh Perak dengan jaringan yang besar dalam aksi Liga Super di Ipoh semalam.

Perkara itu diakui sendiri oleh jurulatih baharu Melaka United, E. Elavarasan yang memuji aksi penjaga gol berpengalama itu yang baru sahaja menyertai skuad Hang Tuah itu.

“Ya, Apek telah memberi impak yang besar dalam perlawanan ini. Walaupun Perak beraksi agresif untuk mencari gol, tetapi Apek begitu tenang mengawal kubu kami daripada dibolosi.

“Saya yakin kelemahan di barisan pertahanan sudah mula diperbaiki dengan kehadiran Apek dan pertukaran posisi beberapa tonggak pertahanan yang mana kita boleh melihat peningkatan yang besar untuk pasukan,” katanya seperti dipetik dalam Sinar Harian.

Khairul Fahmi Che Mat berusaha memastikan gawang Melaka United tidak mudah dibolosi ketika menentang Perak semalam. FOTO: MUSA

Elavarasan turut mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki terutamanya masalah ketumpulan barisan serangan pasukan itu.

“Saya akui barisan depan memang perlu diperbaiki dan kami akan terus memantau mengenai perkara ini dengan lebih dekat. Sama ada perlu melakukan pertukaran pemain atau tidak itu akan dibincangkan dengan pihak pengurusan.

“Apa pun secara keseluruhan satu mata di tempat lawan ini sudah cukup baik bagi saya untuk perlawanan pertama sebagai jurulatih,” katanya lagi.

Apek menyertai Melaka United sejak minggu lepas setelah Kelantan membuat keputusan untuk melepaskannya kerana namanya tiada dalam perancangan jurulatih pasukan itu, Fajr Ibrahim.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram