Elavarasan Dipilih Sebagai Jurulatih Baharu Melaka United

Skuad Melaka United akhirnya mendapat Ketua Jurulatih yang baharu bagi menggantikan Eduardo Almeida yang dipecat minggu lalu.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (Musa), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, bekas pengendali PKNS FC, E. Elavarasan dilantik sebagai pengendali baharu skuad Hang Tuah itu.

Yusoff turut mengesahkan pelantikan ini dan memaklumkan kedua-dua pihak akan menandatangani kontrak pada petang ini.

“Elavarasan akan menandatangani kontrak bersama kita hari ini dan beliau akan mengemudi pasukan Melaka United di pusingan kedua Liga Malaysia.

“Kita tidak meletakkan sebarang sasaran spesifik, cuma saya mengharapkan sentuhannya dapat mengekalkan Melaka yang sedang berada di situasi kritikal buat masa ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Kesebelasan utama skuad Melaka United. FOTO: Melaka United

Yusoff turut berkata pihaknya akan menyerahkan kepada Elavarasan untuk membuat pilihan pemain yang mahu dibawa masuk, namun keputusan akhir akan bergantung kepada pihak pengurusan.

“Kita tak mahu jadi macam jurulatih sebelum ini. Kita serahkan sepenuhnya, tetapi pemain import gagal menyerlah.

“Jadi, diharapkan Musa dan Elavarasan akan membentuk satu persefahaman terbaik bagi memastikan pasukan akan lebih berdaya saing selepas ini,” katanya lagi.

Elavarasan sebelum ini pernah membawa PKNS FC ke pentas final Piala FA pada 2016, selain beliau juga pernah membimbing skuad Melaka pada musim 2008 sehingga 2009.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram