EKSKLUSIF: Pemain Skuad Belia Kelantan FA Tidak Dapat Gaji Sejak 5 Bulan Lepas

Kelantan

Terkini, salah seorang pemain skuad Piala Belia (Bawah-19) pasukan Kelantan FA telah menghubungi Semuanya BOLA menyatakan bahawa para pemain skuad tersebut masih belum menerima gaji sejak lima bulan yang lalu.

Kira-kira dua bulan lalu, kami pernah menerima aduan hampir sama, juga dari skuad Piala Belia pasukan Kelantan FA menyatakan mereka masih tidak menerima gaji yang termaktub di dalam kontrak mereka.

Pasukan Belia Kelantan ‘Korek Syiling Beli Nasi’ Kerana Tidak Terima Gaji

Pemain tersebut yang mahu identitinya dirahsiakan menghubungi kami di laman Instagram, menyatakan bahawa pihak Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) hanya berjanji manis di mulut kerana sejak dari bermulanya gaji mereka tertunggak hingga ke hari ini, pihak KAFA masih gagal menjelaskan sebarang tunggakan gaji.

“Kawan-kawan saya pening kepala dah fikir pasal duit. Nak beli barang pun susah, nak makan pun susah”, luah pemain tersebut kepada Semuanya BOLA.

Temuramah kami bersama pemain tersebut tidak terhenti di situ.

Pemain tersebut turut menyatakan terdapat laporan bahawa pihak persatuan telah pun memperoleh sejumlah wang. Namun anehnya, pihak persatuan masih mengambil langkah acuh tak acuh dalam pembayaran gaji para pemain.

“Kalau kami dengan kawan-kawan kami orang senang tak apa.”

Gambar: FAM

Motivasi skuad Piala Belia bagi pasukan Kelantan FA kini nyata berada dalam keadaan sangat rendah terutamanya mereka kini sedang bersiap sedia untuk kejohanan Piala Belia bagi musim 2020 dan isu ini masih belum selesai.

Kes ini dilihat lebih aneh selepas Kelantan FA boleh menandatangani pemain-pemain baharu untuk musim hadapan seperti Nazrin Nawi dan juga Wan Zaharulnizam, tetapi isu berkaitan pemain yang sedia ada belum lagi diselesaikan.

Situasi masalah bayaran gaji, bonus dan lain-lain bayaran kepada para pemain bola sepak professional ini semakin menjadi-jadi. Kadangkala ia menyebabkan sesebuah organisasi persatuan atau kelab terpaksa ‘bungkus’ dikala tidak dapat menyediakan bayaran yang telah dipersetujui sebelum itu.

Bagaimanakah kita hendak menjangkakan tahap liga dan pasukan bola sepak dalam negara kita semakin maju andainya masalah-masalah ini terus dibiarkan? Semoga ada sinar buat para pemain Kelantan FA yang masih belum menerima hak mereka.

Kepada pihak yang bertanggungjawab ingatlah, kerana bola sepak profesional hari ini bukanlah sebuah kerja sukarelawan sebaliknya memerah tenaga dan memakan masa. Fikirkan juga survival para pemain.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram