EKSKLUSIF: Omar Raiyan Pasang Impian Mahu Beraksi Di Premier League

Kerjasama Semuanya BOLA

Pemain remaja negara yang kini sedang berkelana di Serbia, Omar Raiyan Kama Azlan mahu menjadikan keputusannya meneroka Eropah pada usia muda membuahkan hasil apabila dapat mencapai impiannya.

Kini beraksi bersama pasukan remaja Red Star Belgrade, Omar mahu terus menuju puncak dengan ingin menjadi pemain terawal negara yang beraksi di Premier League.

Dalam temubual eksklusif kami bersama beliau, Omar mahu menamatkan perjalanan panjang beliau dalam mencari kejayaan di tempat beliau bermula.

Kata Omar, beliau memasang impian untuk beraksi dengan pasukan Manchester City dek kerana pasukan itulah yang nampak akan bakatnya sebelum beliau ke Red Star.

Semasa beliau di Emeriah Arab Bersatu (UAE), bakat Omar telah dilihat oleh wakil Manchester City yang berpengkalan di sana.

Hasilnya, beliau telah beberapa kali dijemput untuk ke Manchester England serta menyertai skuad kanak-kanak mereka.

Malah, beliau pernah dinobatkan sebagai pemain terbaik tahunan Manchester City serta mendapat gelaran Player of the Term sebanyak empat kali!

Teruja dengan pengalaman dan peluang itu menjadi asbab mengapa Omar memilih untuk beraksi dengan kelab itu apabila tiba masanya.

Untuk memastikan impian itu terlaksana, Omar perlu disiplin dalam gerak kerjanya dan itulah yang beliau lakukan sehari-hari di Serbia.

Menyedari standard tinggi yang diamalkan oleh Red Star, Omar perlu bekerja keras untuk sentiasa memuaskan hati para jurulatihnya.

“Standard di sini amat tinggi. Mereka amat tekankan budaya menepati masa disini, pemain mesti ada di padang latihan 30 minit awal. Jika gagal berbuat demikian, pemain tersebut akan dikira lewat,” kata Omar kepada Semuanya BOLA.

“Disebabkan itu, saya selalunya sampai sejam awal sebelum latihan. Ianya membolehkan saya untuk melakukan persediaan sebelum latihan bermula.”

Dalam masa yang sama, Omar turut mengamalkan diet sebagai pemain muda sepertimana yang disarankan oleh pasukannya semasa dan diluar musim latihannya.

“Diet pemain di sini dijaga dengan rapi. Semasa diluar musim misalnya, kami akan diberikan panduan apa yang perlu diambil, berapa waktu jam perlu diperoleh untuk tidur serta apa yang perlu dimakan sebelum dan selepas latihan.”

Apa yang diterapkan oleh Red Star jelas sekali menjangkaui jangkaan Omar terhadap kelab tersebut.

Sewaktu tiba, Omar begitu kagum melihat taraf kualiti yang ditonjolkan menerusi fasiliti, staf kejurulatihan serta para pemainnya.

“Sebelum saya tiba, jangkaan saya terhadap Red Star sudah tinggi, tetapi apabila tiba rupanya standard mereka lebih tinggi daripada apa yang saya sangkakan. Tetapi, tidak hairan kerana mereka adalah kelab Eropah yang bertaraf tinggi dan beraksi di UEFA Champions League.”

Satu perkara yang sering menjadi kerisauan anak muda Malaysia untuk berhijrah ke luar negara adalah kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan tempat yang dijelajahinya.

Tetapi bagi Omar semua itu dapat diatasi jika seseorang itu mengambil inisiatif untuk menyesuaikan dirinya dengan budaya tempatan.

Omar juga rasakan bahawa keperluan menyusaikan diri dengan cepat adalah penting sebagai permain bolasepak profesional di Eropah.

“Saya belajar untuk memahami budaya serta bahasa pertuturan di sini. Syukur kerana orang-orang disini sangat positif dan cukup membantu saya dalam menyesuaikan diri di Serbia.”

Pada permulaannya, Omar masih lagi memerlukan bantuan penterjemah untuk berhubung dengan jurulatihnya. Namun kini, beliau sudah kompeten dan boleh bertutur dalam bahasa Serbia dengan baik.

Omar kini boleh bertutur dalam bahasa Malaysia, Inggeris, Serbia dan juga Sepanyol.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram