EKSKLUSIF: Kisah Sebalik Tabir Tugas Seorang Pegawai Media Di Liga Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Dewasa ini informasi sangat mudah diperolehi, iaitu semudah di hujung jari. Anda hanya perlu memiliki pelan data dan sebuah telefon pintar untuk mendapatkan maklumat dan informasi terkini mengenai pasukan kesayangan anda.

Artikel, infografik, semuanya boleh diperolehi dengan mudah di media sosial dan juga laman web milik pasukan masing-masing.

Tetapi siapakah yang bertanggungjawab menyediakan semua informasi-informasi tersebut?

Selain daripada barisan pemain, staff kejurulatihan dan pengurusan tertinggi kelab, satu lagi bahagian penting yang memainkan peranan besar di era bola sepak moden ialah unit media.

Artikel ini akan cuba mengupas bagaimana pentingnya Unit Media dan anggota-angogota di dalam unit ini serta sumbangan kepada pasukan.

Unit media

Apakah kepentingan unit media? Unit media berfungsi mempromosikan secara langsung pasukan sebagai sebuah jenama. Di era bola sepak moden, ia adalah senjata utama untuk meyakinkan pelabur.

Seperti pemain, mereka juga mempunyai tugasan berat untuk memastikan pasukan bukan sahaja juara di atas padang, malah turut tampil sebagai juara di luar padang.

Iklan jawatan kosong di Old Trafford.

Individu penting di dalam unit media dipanggil Pegawai Media (MO).

Antara tugas utama seorang MO termasuklah untuk menjaga pengisian (content) laman sesawang milik pasukan, media sosial, bekerja terus dengan barisan pemain dan jurulatih, serta membantu pihak pengurusan dalam melakukan ‘draft’ kenyataan media sekiranya diperlukan.

Iklan jawatan pegawai media oleh Watford dan West Ham.

Pegawai media turut tertakluk kepada kerja-kerja lain seperti penyediaan grafik, gambar dan sebagainya untuk tujuan pengisian.

Kerjaya ini mungkin masih asing di Malaysia, namun merupakan antara jawatan yang dikejar oleh ramai yang mahukan penglibatan secara terus dengan kelab bola sepak masing-masing di luar negara.

Pihak kelab atau persatuan boleh melantik sesiapa sahaja; baik melalui kaedah pengiklanan terbuka atau secara dalaman.

MANCHESTER, ENGLAND – MAY 24: Manchester United manager Sir Alex Ferguson speaks to his press officer during a press conference ahead of the UEFA Champions League Final against Barcelona at the Carrington Training Ground on May 24, 2011 in Manchester, England. (Photo by Michael Regan/Getty Images)

Syarat FMLLP di Liga Malaysia

Bagi pasukan di Liga Malaysia, FMLLP sebagai badan pentadbir bola sepak tanah air memberikan beberapa syarat dan garis panduan untuk perlantikan Pegawai Media.

Pertama, seseorang pemohon harus memiliki lulusan Diploma di dalam bidang Komunikasi Media. Bagi mereka yang tiada kelulusan di dalam bidang ini, anda harus mempunyai pengalaman minimum selama dua tahun dalam pengurusan pertandingan bola sepak tempatan.

FMLLP turut memperkenalkan Anugerah Laman Media Sosial Terbaik dan juga Anugerah Website Terbaik di dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan sejak 2016.

Anugerah ini diperkenalkan dengan harapan ia mampu menjadi pemangkin untuk setiap kelab dan pasukan mengambil inisiatif memperkasakan unit media masing-masing.

Antara pemenang lalu anugerah yang tersebut di atas ialah JDT, yang membolot kedua-dua kategori pada 2016. Manakala Selangor dan Kedah adalah pemenang pada 2017.

Antara pasukan lain yang turut menunjukkan usaha yang baik di dalam bahagian media ialah PKNS FC dan juga Melaka United.

Unit Media MUSA

Untuk mengkaji tugas seorang pegawai media, kami amat bertuah kerana diberi kesempatan untuk menemuduga salah satu unit media yang paling pro aktif di Liga Malaysia.

Unit media yang dimaksudkan ialah milik Melaka United Soccer Association (MUSA).

Untuk itu, kami dipertemukan dengan Saudara Darren Teow. Ikuti kupasan temuramah kami seperti di bawah.

Temuramah bersama Unit Media MUSA

Apakah jawatan anda di dalam pasukan Melaka United? Mengapa ini menjadi bidang pilihan anda?
Jawatan saya ialah sebagai Ketua Unit Media di Melaka United. Bidang ini memang menjadi pilihan kerana minat saya kepada sukan bola sepak dan saya tidak berfikir banyak kalau pasukan yang memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat adalah pasukan tempat lahir saya iaitu Melaka.

Bagaimana anda boleh dilantik sebagai MO? Apakah kelayakkan yang diperlukan?
Saya dilantik diatas kepercayaan yang diberikan oleh Setiausaha Agung MUSA, Encik Noor Azman selepas menilai hasil kerja saya di media MUSA yang dibuat secara separuh masa selama setahun sebelum secara rasminya Unit Media MUSA ditubuhkan.

Masihkah anda ingat detik anda dilantik sebagai MO pasukan Melaka United? Boleh anda kongsikan dengan kami?
Semasa mendapat berita perlantikan, memang amat teruja kerana dapat berkhidmat untuk negeri sendiri di dalam memperkenalkan pasukan Melaka United di dalam negeri dan juga luar negara.

Apakah skop tugas seorang MO menurut anda?
Skopnya adalah membantu pengurusan di dalam mempromosikan nama pasukan Melaka United kepada media tempatan dan juga luar negara. Selain itu membantu kami turut berperanan membantu media lain melancarkan proses sidang media, temuramah bersama jurulatih dan pemain serta menguruskan keperluan siaran media sebelum bermulanya siaran langsung di Stadium Hang Jebat.

Berapa ramaikah anggota di dalam pasukan media anda? Apakah peranan masing-masing?
Unit media kami terdiri dari 5 orang yang merangkumi bahagian penulisan artikel, grafik dan jurukamera.

Pada hari perlawanan, boleh spesifikkan persiapan anda dari jam 8am sehingga 12 tengah malam?
Kami akan memulakan persiapan menjelang hari perlawanan dengan grafik perlawanan yang akan memberi info tentang masa, tempat dan pasukan lawan yang akan bertemu Melaka United.

Tengah hari pula akan ada informasi dari mesyuarat koordinasi perlawanan untuk menerangkan harga tiket, pintu masuk serta pengumuman penting dari pihak pengurusan. Selain itu, kami akan memasukkan beberapa artikel tentang aktiviti yang berkaitan dengan MUSA yang berlangsung pada hari perlawanan.

Mulai pukul 5.00 petang, kami akan menyiapkan grafik mengenai kesebelasan utama serta memuat naik gambar ketibaan pemain tuan rumah serta lawan di stadium. Pada pukul 9.00 malam, bermula dari sepak mula, semua keputusan semasa, grafik gol serta gambar aksi akan dimuat naik (media sosial) sehingga wisel penamat. Sejam selepas wisel penamat, ulasan perlawanan akan dimuat naik ke laman web rasmi Melaka United sebelum 12.00 tengah malam.

Bagaimana anda menangani komen-komen negatif oleh penyokong di media sosial?
Kami akan cuba memantau komen yang berunsur politik, cacian serta komen berunsur serangan peribadi. Komen yang membina amat dialukan dan akan dibawa ke pengurusan untuk dijadikan rujukan.

Pada pendapat anda, mengapakah unit media di dalam konteks di Liga Malaysia sangat penting?
Unit media amat penting di Liga Malaysia kerana ia dapat memberi maklumat tepat kepada penyokong. Kerana kadangkala media yang tidak rasmi akan memberi informasi kurang benar dan akan menyebabkan perbalahan di kalangan penyokong di media sosial.

Penyokong juga boleh mengetahui perkembangan sesebuah persatuan bola sepak dengan informasi dari segi pembangunan akar umbi dan tanggungjawab perkhidmatan korporat (CSR) melalui unit media.

Adakah anda ‘enjoy’ menjalankan tugas sebagai seorang MO? Kongsikan mengapa.
Selain teruja dapat melihat dengan mata sendiri dan berkenalan dengan pemain, jurulatih serta tokoh bolasepak di Liga Malaysia, saya juga dapat berkenalan dengan pengamal media dari pasukan lain mahupun luar negara.

Ini memberi peluang untuk saya menimba pengalaman dari mereka untuk menambahbaikkan lagi unit media Melaka United.

Apakah perkara paling terkesan (positif dan negatif) sejak anda bersama Melaka United?
Bagi saya adalah banyak perkara positif dari negatif kerana setiap hari adalah proses pembelajaran untuk saya terutamanya ketika keputusan pasukan tidak memuaskan.

Di sinilah peranan utama unit media untuk mencari bahan dari segi info berserta grafik untuk membangkitkan semangat pasukan serta para penyokong supaya tidak mengalah dalam meneruskan perjuangan di Liga Malaysia ini.

Apakah pendapat anda mengenai kurangnya pembabitan masyarakat Cina di dalam bola sepak? Apakah pendorong utama anda?
Pada zaman 70-80 an, sesebuah bolasepak tempatan terdiri daripada semua kaum. Pada 90-an kurangnya pemain Cina yang ingin melanjutkan kareer bolasepak mereka di tahap proffesional kerana ragu-ragu tentang masa depan mereka tetapi kebelakangan ini, dengan adanya program akar umbi yang dilaksanakan oleh FAM, memberi keyakinan kepada ibu bapa yang mempunyai anak yang meminati bolasepak terutamanya kaum Cina untuk menjadikan sukan ini bukan sebagai hobi bahkan kerjaya.

Pendorong utama saya ialah bolasepak adalah satu sukan yang menyatukan semua kaum. Pertalian brotherhood di sesebuah pasukan amat bermakna dan tidak boleh dibeli kerana walaupun tidak sama agama tetapi semua mempunyai tujuan yang sama, iaitu memberi persembahan yang terbaik untuk mencapai kejayaan.

Apakah nasihat yang anda ingin kongsikan kepada peminat bola sepak tanah air yang ingin menceburi bidang ini?
Nasihat saya hanya mudah. Kerja media bolasepak ini bukan 9.00 pagi hingga 5.00 petang tetapi 24 jam 7 hari. Oleh itu anda tidak boleh berkira sekiranya ada tugasan yang diberikan walaupun sedang bercuti.

Ini kerana kepantasan berita di media sosial teramat laju. Oleh itu sebagai media rasmi, segala informasi hendaklah disampaikan dengan tepat dan cepat untuk mengelakkan keraguan dikalangan penyokong. Sentiasa rendah diri dan jangan lepaskan peluang untuk belajar benda baru kerana skop media amat besar dan sentiasa akan ada perubahan.

Satu lagi soalan ringkas untuk Darren. Jasmin Suraya atau Aina Suzaily?
Aina Suzaily. Kedua-dua adalah personaliti yang bagus sebenarnya. Tetapi kerana Aina adalah peminat Liverpool FC, maka saya memilih Aina jika diberikan soalan sebegini.

Perkembangan terkini MUSA

Darren yang juga merupakan Ketua Pemasaran MUSA turut menjelaskan pasukan unifi Liga Super Malaysia itu sedang merancang untuk membuka kedai rasmi milik pasukan bola sepak itu dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, setakat ini ia masih di peringkat awal dan pembukaan kedai rasmi tersebut akan diumumkan kepada umum apabila segalanya selesai.

Rumusan

Apa pendapat anda? Menarik bukan? Anda mempunyai minat untuk mempunyai pekerjaan seperti Darren?

Anda boleh berbuat demikian dengan menghantar resume kepada persatuan dan kelab bola sepak masing-masing.

Siapa tahu, anda juga mempunyai bakat dan rezeki untuk membantu membangunkan pasukan kesayangan masing-masing di masa hadapan.