EKSKLUSIF: Bekas Pemain Import Dakwa Sarawak FA Gagal Bayar Tunggakan Gaji

Isu pembayaran gaji pemain ‘bagaikan aur dan tebing’ jika konteks bola sepak di Liga Malaysia cuba dirungkai. Tidak pernah lekang, tidak boleh dipisahkan. Saban musim pasti ada isu negatif ini kedengaran, didedahkan satu persatu.

Terbaru, dua bekas pemain import Sarawak, Milos Raickovic Rai dan Mateo Roskam tampil mendedahkan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) gagal menjelaskan tunggakan gaji mereka.

Ironinya, tunggakan tersebut sudah 10 bulan lamanya. Bukan mahu mempersoalkan tempoh perkara ini untuk didedahkan, namun ia membayangkan pendedahan oleh PFAM sebelum ini sebenarnya lebih parah dari apa yang kelihatan sebelum ini – mengambil kira kes-kes yang belum dilaporkan.

Penyerang yang berasal dari Croatia, Mateo Roskam beraksi untuk Sarawak selama dua musim dari 2017 sehingga musim lalu, sebelum berhijrah menyertai UKM FC di saingan Liga Premier pada musim ini.

Manakala pemain tengah, Milos Raickovic Rai juga beraksi selama dua musim sebelum ke Montenegro untuk menyertai kembali bekas kelab di negaranya, FK Budocnost Podgorica.

Kedua-dua bekas pemain skuad Bujang Senang itu dihubungi Semuanya BOLA pada petang hari ini setelah mereka berusaha menghubungi kami melalui seorang kenalan.

Sudah bosan menunggu

Ketika bercakap kepada wartawan kami, Raickovic menjelaskan bukan beliau dan Roskam sahaja mengalami masalah tersebut, namun turut melibatkan beberapa pemain lain.

“Benar, saya mempunyai masalah tunggakan gaji bersama Sarawak. Jumlah dan tempoh tunggakan adalah berlainan pada setiap pemain.

“Saya tidak pasti apa masalah pengurusan [FAS] tetap apa yang saya dengar hanyalah penipuan demi penipuan. Ia sukar dipercayai.

Photo by Azlandy M. A.T / www.asiana.my

Beliau bagaimana pun mengakui tiada laporan dihantar kepada pihak Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) sebelum ini. Ketika ditanya mengapa sekarang baru tampil untuk menjelaskan perkara ini, ini jawapan beliau:

“Sebenarnya saya tidak mahu memberi masalah kepada Sarawak. Ini kerana mereka berjanji akan menyelesaikan [tunggakan] setiap kali ditanya. Janji mereka [FAS] ialah untuk menunggu sehingga minggu hadapan, kemudian bulan hadapan.

“Sekarang sudah Ogos. Saya sudah menunggu selama 10 bulan, dan ia sudah cukup lama.

“Kelab seperti Sarawak selayaknya memperolehi penghormatan yang lebih baik. Pendedahan ini ialah supaya mereka [penyokong] dan pihak yang benar-benar sayangkan pasukan dan bola sepak Sarawak mengetahui situasi sebenar,” jelas beliau.

Laporan kepada PFAM

Roskam pula ketika dihubungi turut menjelaskan berhadapan situasi yang sama seperti yang dihadapi bekas rakan sepasukan beliau itu. Bezanya, Roskam mempunyai tunggakan gaji selama tiga bulan oleh FAS.

Bagi Roskam kesabaran dirinya sudah tamat, sebelum beliau mengesahkan satu laporan telah difailkan kepada pihak PFAM untuk menuntut tunggakan tersebut. Namun beliau enggan mengulas lanjut mengenai kontrak yang beliau bawa kepada badan bebas itu dan membiarkan tindakan sewajarnya diambil oleh PFAM selepas ini.

Pihak kami akan cuba mendapatkan pengesahan dari PFAM mengenai laporan dari Mateo Roskam ini.

Mateo Roskam (kanan) ketika masih beraksi untuk Sarawak.

“Saya menunggu sehingga sekarang kerana saya percayakan mereka [pengurusan FAS], dan niat saya ialah untuk turut membantu,” jelas Roskam.

“Namun keadaannya tampak semakin parah. Setiap bulan mereka hanya bercakap bohong. Kami menanti, dan sabar menanti. Jujur, saya sedih melihat keadaan Sarawak pada hari ini.

“Masalahnya mereka bercakap seolah-olah mereka telah menjelaskan [bayaran] itu semua. Seolah-olah semuanya dalam keadaan baik, tetapi hakikatnya tidak.”

Aksi longai musim 2019

Musim 2019 Sarawak terus longlai dalam saingan Liga Malaysia. Di saingan Liga Premier, Sarawak menduduki tangga tercorot tercorot, dan harus menunggu saingan play-off untuk menentukan layak kekal di saingan tersebut atau ke Liga M3 musim hadapan.

Di pertandingan Piala Cabaran pula, Sarawak turut menduduki tangga tercorot saingan Kumpulan A selepas tewas dua perlawanan yang diadakan setakat ini.

Musim ini Perlis FA diambil tindakan disingkirkan daripada saingan Liga Premier setelah berhadapan dengan krisis kewangan yang teruk, termasuk melibatkan pembayaran gaji pemain.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram