Eintracht Frankfurt Lantik Wanita Ini Sebagai ‘Scout’ Wanita Pertama Di Bundesliga

Nampak gayanya Jerman kini sedang menjadi hab keprogresifan bola sepak dunia. Boleh dikatakan semua aspek progresif bola sepak – sama ada dari segi kejurulatihan, taktikal, teknikal dan teknologi – bermula di Jerman.

Bulan lepas, Jerman sekali lagi menjadi negara contoh dalam aspek mempromosikan kesamarataan jantina dalam bola sepak.

Jerman bukan sahaja mempunyai liga wanita (Frauen-Bundesliga) yang melahirkan paling banyak pemenang UEFA Women’s Champions League. Malah Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) turut melantik Bibiana Steinhaus sebagai salah seorang pengadil Bundesliga bermula musim 2017/2018 akan datang.

Tidak cukup dengan itu, kini giliran Eintracht Frankfurt pula memainkan peranan mereka dalam kesamarataan jantina – dengan melantik Helena Costa (gambar bawah), peninjau bakat (scout) wanita pertama di Bundesliga.

(Photo credit: JEAN-PHILIPPE KSIAZEK/AFP/Getty Images)

Siapa Helena Costa?

Kami pernah menulis artikel tentang Helena Costa ketika beliau baru sahaja dipecat oleh pasukan Ligue 2, Clermont Foot dari tugasnya sebagai ketua jurulatih dan pengurus pasukan.

Ya, anda tak tersalah baca. Helena Costa pernah dilantik menjadi ketua jurulatih dan pengurus pasukan lelaki di divisyen ke-2 Perancis!

(Photo credit: Alexander Roth-Grisard/Getty Images)

Malah penggantinya, Corinne Diacre (sebutannya ko-rin di-ar) juga merupakan seorang wanita! Beliau masih menjadi pengurus Clermont Foot sehingga kini.

Digelar ‘Jose Mourinho yang memakai skirt’, Helena Costa merupakan pemegang lesen kejurulatihan UEFA A dan mempunyai pengetahuan bola sepak yang mendalam. Terutamanya tentang pemain-pemain di kawasan Eropah Tengah.

Dengan Eintracht Frankfurt yang mempunyai pemain-pemain dari 17 kewarganegaraan berbeza, pengetahuan Costa tentang pemain tak terkenal – tetapi berpotensi – penting untuk kelab Frankfurt itu.

Ini kerana Eintracht Frankfurt tidak mempunyai bajet besar seperti Bayern Munich dan Borussia Dortmund. Bermakna, mereka tak mampu merekrut pemain ternama dan perlu mencari pemain-pemain berprofil rendah untuk bersaing dalam Bundesliga.

Antara pemain-pemain berprofil rendah – tetapi berpotensi besar – yang pernah direkrut Eintracht Frankfurt adalah Marco Fabian, Carlos Salcedo, David Abraham dan Jesus Vallejo.

(Photo by TF-Images/Getty Images)

Peninjau bakat yang berusia 39 tahun ini turut pernah bertugas sebagai jurulatih pasukan remaja Benfica selama 13 tahun.

Costa turut pernah menjadi staf kejurulatihan di Celtic dan pasukan wanita Qatar dan Iran.

Pengajaran buat pasukan di Malaysia

Ada banyak pengajaran yang boleh pasukan-pasukan di Malaysia ambil daripada berita ini.

Pertama, daripada melaburkan bajet pasukan dengan membeli pemain-pemain import yang dilobi oleh agen-agen pemain, pasukan-pasukan berbajet kecil di Liga Super dan Liga Premier boleh melaburkan duit tersebut untuk merekrut peninjau bakat mereka sendiri.

Mana satu yang lebih dipercayai? Rekomendasi daripada agen (yang sudah pastinya akan memuji-muji pemain di bawah jagaan mereka) atau rekomendasi staf peninjau bakat pasukan mereka sendiri?

Kedua, kita juga sudah boleh melibatkan lebih ramai wanita berkelayakan dalam industri bola sepak tempatan.

Jika tidak sebagai jurulatih pun, mungkin kita boleh bermula dengan staf pengurusan seperti yang dilakukan oleh pasukan bawah-23 Thailand dengan melantik Watanya Wongopasi.

Di Bayern Munich, pengurus pasukan mereka merupakan seorang wanita berusia 31 tahun bernama Kathleen Krüger.

Tugas Krüger adalah menguruskan hal-hal pentadbiran pasukan dari belakang tabir. Dengan kehadiran Krüger, Carlo Ancelotti dan staf kejurulatihannya dapat menumpukan sepenuh perhatiannya kepada isu-isu di atas padang.

Sumber:

1. Football Tribe Malaysia (2017). Kecantikan pengurus Thailand U22 buat pemain lawan hilang fokus. http://football-tribe.com/malaysia/2017/07/25/kecantikan-pengurus-thailand-u22-buat-pemain-lawan-hilang-fokus/

2. Bundesliga (2017). Eintracht Frankfurt appoint Helena Costa as Bundesliga’s first female scout. http://www.bundesliga.com/en/news/Bundesliga/eintracht-frankfurt-appoint-helena-costa-as-bundesliga-s-first-female-scout-446888.jsp

3. Avid (2015). BOLEHKAH WANITA MENJADI JURULATIH BOLA SEPAK LELAKI?. Semuanya BOLA. https://semuanyabola.com/bolehkah-wanita-menjadi-pengurus-pasukan-bola-sepak-lelaki/

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram