EFL Laksana ‘Peraturan Rooney’, Turut Perkenal ‘Undang-Undang Leeds’ Mulai Musim Hadapan

Kelab English Football League (EFL) yang mahu mencari pengurus baharu kini wajib menemuramah sekurang-kurangnya seorang bakal pengurus berkulit hitam, seorang bakal pengurus berketurunan Asia dan seorang bakal pengurus dari etnik minoriti (BAME), selepas badan penganjur tersebut memperkenalkan Peraturan Rooney.

Langkah itu diambil selepas kajian selama 18 bulan, bertujuan untuk melihat lebih ramai di kalangan BAME berada di kawasan teknikal pasukan merentasi tiga divisyen bola sepak Inggeris yang dikendalikan oleh EFL. Peraturan itu telah dimateraikan di Portugal minggu lalu.

Sehingga ke hari ini, hanya tiga pengurus dari kalangan BAME di kelab-kelab Inggeris kendalian EFL.

Peraturan Rooney

Peraturan tersebut dikenali sebagai ‘Peraturan Rooney’ sempena peraturan di NFL. Dan Rooney, pengerusi komiti NFL dan bekas pemilik Pittsburgh Steelers memperkenalkan polisi kelab American Football harus menemuramah sekurang-kurangnya seorang calon di kalangan BAME, untuk jawatan ketua jurulatih atau mana-mana jawatan utama yang melibatkan operasi pasukan.

Jurucakap EFL berkata langkah tersebut diambil untuk menambahbaik kesaksamaan di dalam pasukan utama.

(Photo by Mike Hewitt/Getty Images)

Selepas pemecatan Chris Hughton oleh Brighton, hanya empar pengurus BAME yang masih berada di empat divisyen teratas Liga Inggeris.

Mereka adalah Nuno Espirito Santo yang cemerlang bersama Wolves’ pengurus Northampton, Keith Curle; Dino Maamria di Stevenage; dan juga pengurus Macclesfield, Sol Campbell.

Undang-undang Leeds

Dalam perkembangan lain, EFL turut mahu memperkenalkan peraturan baru yang dikenali sebagai ‘Undang-undang Leeds’ mulai musim hadapan berikutan insiden Spygate membabitkan Leeds pada Janauri lalu.

Ia berikutan aktiviti mengintip latihan pasukan lawan oleh salah seorang kakitangan Leeds yang diarahkan oleh pengurus pasukan, Marcelo Bielsa menjelang perlawanan bertemu Derby County.

Leeds didenda £200,000 disebabkan isu itu kerana dianggap melanggar semangat kesukanan pertandingan. Tidak ada peraturan yang spesifik mengenai kesalahan sedemikian pada ketika itu.

Undang-undang Leeds yang baru digubal tidak membenarkan mana-mana kelab hadir ke latihan pasukan lawan dalam tempoh 72 jam pertemuan membabitkan kedua-dua pasukan.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram