Edouard Mendy: Pemain Baharu Chelsea Yang Pernah Jadi Penganggur & Penjaga Gol Kelab Divisyen Ke-4

Kerjasama Semuanya BOLA

Edouard Mendy Chelsea

Bukanlah satu perkara yang asing untuk melihat seorang ‘late bloomer’ dalam bola sepak Inggeris. Mungkin perjalanan Edouard Mendy untuk menjadi pemain baharu Chelsea tidaklah  sehebat bintang utama Leicester City, Jamie Vardy, tetapi agak rugi untuk tidak menceritakan kisah hidupnya.

Mendy yang juga merupakan penjaga gol skuad kebangsaan Senegal telah melengkapkan perpindahannya ke Chelsea dengan memeterai kontrak selama lima musim untuk bersama kelab London tersebut selepas Rennes bersetuju dengan yuran perpindahan bernilai £22 juta.

Permulaan Mendy adalah dengan menyertai akademi Le Havre AC pada usia 13 tahun dan berdepan dengan turun naik di sepanjang usia remajanya. Namun siapa sangka, pada 2011, beliau hanyalah penjaga gol ketiga di AS Cherbourg, iaitu sebuah kelab divisyen ketiga dalam sistem liga bola sepak Perancis. 

Jadi bagaimanakah perjalanannya sehingga berjaya menyertai salah satu kelab terbaik di dunia pada hari ini?

“Setiap kali dia dipanggil untuk diturunkan, silap Edouard adalah memberikan aksi terbaik di atas padang,” kata Ted Lavie, bekas rakan sepasukannya di Cherbourg pada musim 2012/13.

Dalam satu temubual oleh BBC Afrika, Lavie menjadi saksi yang melihat bagaiamana Mendy berdepan dengan satu fasa yang cukup sadis dalam hidupnya, namun diselamatkan oleh sikap tidak berputus asa.

“Walaupun perlu beraksi untuk skuad simpanan, saya dan beberapa pemain lain akan turun untuk melihatnya bermain kerana kami sangat berharap dia akan menjadi pilihan utama dalam pasukan. Dia sentiasa mahu menjadi yang terbaik.”

Malangnya, musim ketiga Mendy di Cherbourg tersebut berakhir apabila kelab tersebut tersingkir. Musim pertama di divisyen keempat beliau menjadi penjaga gol utama, tetapi pasukannya sekali lagi tersingkir dan ianya menjadi ‘zaman gelap’ dalam kariernya.

Menganggur akibat diperdaya janji manis

Pada usia 22 tahun, kontraknya bersama Cherbourg ditamatkan dan beliau ‘ditawarkan’ oleh seorang ejen yang mengatkan mahu membantunya berpindah ke kelab League One (divisyen ketiga England).

Selepas menolak beberapa tawaran daripada beberapa kelab liga bawahan di Perancis, panggilan dari ejen tersebut tidak kunjung tiba dan memaksa Mendy pulang ke kampung di Le Havre tanpa mempunyai pekerjaan.

“Dia berusaha untuk mengekalkan kecergasan dan fizikalnya. Dia joging bersendirian, pergi ke gimnasium, berlatih dengan beberapa kelab kecil. Dia tak pernah berputus asa,” ujar Lavie mengimbas kembali pengalamannya bersama Mendy.

Keadaan tersebut berterusan hampir setahun dan Mendy tiada pendapatan tetap sehingga terpaksa mendaftar dengan ‘Pole Emploi’, sebuah agensi mencari pekerjaan untuk warga Perancis yang sedang menganggur. Beliau mencari mana-mana pasukan yang mahukan khidmatnya.

Sinar di hujung terowong

Seperti kata peribahasa Melayu, harapan tak putus sampai jerat tersentak rantus. Pada 2015, beliau akhirnya jumpa jalan keluar daripada kegelapan yang menyelubunginya hasil dari bantuan Lavie sendiri.

“Saya bercakap dengan seorang rakan saya, Dominique Bernatowicz, seorang jurulatih penjaga gol di Akademi Marseille yang sedang mencari seorang lagi penjaga gol untuk pasukannya.

“Saya beritahunya yang saya pernah bermain dengan seorang penjaga gol yang bagus, tinggi, bijak dan masih banyak ruang untuk terus berkembang. Saya katakan penjaga gol tersebut sedang mencari pasukan baharu,”

Bernatowicz kemudian setuju untuk memberi peluang kepada ‘penganggur’ tersebut. Dengan hanya satu panggilan, Mendy tidak perlu berfikir panjang, malah ia menjadi pemangkin kepada motivasinya.

Peluang dalam sesi percubaan dengan kelab ternama Perancis berkenaan perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya walaupun beliau hanya akan menjadi penjaga gol pilihan keempat. Jika diterima sekalipun, belum tentu beliau akan berkesempatan untuk berlatih bersama pasukan utama.

“Sesi percubaannya berjalan dengan baik. Saya boleh lihat kualiti padanya di mana tindak balas dan pergerakannya sangat pantas. Dia boleh melayangkan badannya dengan mudah,” imbas Bernatowicz.

Mendy akhirnya ditawarkan kontrak selama setahun sahaja sebagai pemain amatur dengan gaji minimum.

“Mendy ibarat tayar gantian, sekadar pelengkap ruang kosong. Untuk dia mungkin keadaan tersebut agak mencabar untuknya. Dalam tempoh lapan hingga sembilan bulan pertamanya, saya boleh lihat bagaimana dia sangat bekerja keras.”

Bagi Mendy, beliau perlu menggunakan peluang tersebut dengan sebaiknya. Dengan taman wanitanya yang sedang mengandung terus menetap di Le Havre, beliau tiada pilihan lain kecuali mengejar kontrak baharubersama Marseille.

Walaupun sekadar terus beraksi untuk pasukan simpanan Marseille pada musim pertama, hasrat beliau akhirnya tercapai selepas ditawarkan kontrak selama dua tahun.

Yang bulat tak datang bergolek

Namun melihatkan potensi yang ada pada Mendy, Bernatowicz tidak mahu anak buahnya terus menjadi penjaga gol di pasukan simpanan Marseille. Maka beliau mula mencari beberapa ejen yang rapat dengannya.

“Saya tidak membuat keputusan untuknya, tetapi saya rasa rugi untuk terus melihat dia kekal sebagai penjaga gol kedua atau ketiga di Marseille,” ujarnya lagi.

Beberapa kelab telah menyatakan minatnya untuk mendapatkan Mendy. Antara tawaran yang diterima adalah dari beberapa kelab liga bawahan yang sedang mencari penjaga gol utama.

Namun Mendy memutuskan untuk mencabar dirinya menyertai kelab Ligue 2, Reims sebagai penjaga gol kedua pada musim 2016/17 yang juga kontrak profesional pertamanya ketika sudah berusia 24 tahun. Namun apa yang berlaku di kelab tersebut, mungkin rezeki sudah tertulis buatnya.

Untuk perlawanan pertama musim tersebut bersama pasukan baharunya itu, jurulatih memilihnya untuk diturunkan dalam kesebelasan utama kerana penjaga gol utama digantung perlawanan.

Debutnya dalam perlawanan tersebut, beliau bermain dengan cukup cemerlang dengan aksi yang cukup memberangsangkan.

“Walaupun cuma penjaga gol kedua, dia sentiasa dengan cara berfikir seperti seorang pemimpin dan sentiasa vokal dalam bilik persalinan,” ujar Danilson da Cruz, bekas rakan sepasukannya di Reims.

“Dia membuktikan dirinya dalah seorang yang sangat bernilai dalam pasukan, dia tahu bila masa yang tepat untuk mengatakan sesuatu. Dia sentiasa menunjukkan kesungguhan untuk merebut tempat utama. Apabila diberi peluang, dia akan beraksi cemerlang untuk menjadi pemain terbaik perlawanan.”

Permata yang dicari

Pada permulaan musim seterusnya, peluang yang ditunggu-tunggu akhirnya menjelama apabila Mendy dipilih menjadi penjaga gol utama Reims selepas David Guion tiba sebagai pengurus baharu menggantikan Michel der Zakarian.

Masih beraksi di Ligue 2, pada musim tersebut beliau dan barisan pertahanan berjaya memastikan gawang pasukannya tidak dibolosi dalam 19 daripada 39 perlawanan liga dan Reims berjaya meraih promosi ke Ligue 1.

Musim pertama di liga utama Perancis tersebut, beliau beraksi dalam semua perlawanan untuk Reims dan masih mampu merekodkan 14 perlawanan tanpa bolos.

Prestasi cemerlangnya itu telah menarik minat beberapa kelab untuk membelinya dan Rennes berjaya mendapatkannya pada Ogos 2019 dengan yuran perpindahan yang tidak didedahkan. Namun media Perancis melaporkan ianya sekitar €4 juta.

13 perlawanan tanpa bolos dalam 33 perlawanan buat Rennes, statistik tersebut sudah cukup untuk menjadikan Mendy sebagai pengganti terbaik untuk Kepa Arrizabalaga yang tentunya sudah hilang kepercayaan di Chelsea.

Adakah dengan umurnya yang sudah 28 tahun terlalu lewat untuk Mendy di Chelsea? Jangan kita pernah lupa yang Edwin van der Sar menyertai Manchester United ketika sudah berusia 34 tahun.

Kredit Foto: Chelsea & Getty Images

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak Eropah:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram