Quantcast

BERITA

€12.5 Juta Menanti Juventus Jika Mereka Menewaskan Bayern Munich

Juventus dilaporkan akan memperolehi pendapatan tambahan sebanyak €12.5 juta jika mereka mara ke peringkat suku akhir Champions League 2015/2016.

Ketika ini, Juventus terikat 2-2 secara agregat dengan Bayern Munich. Mereka perlu menewaskan Bayern atau seri dengan jaringan untuk mara ke peringkat suku akhir.

Menurut akhbar La Gazzetta dello Sport, the Bianconeri mempunyai motivasi yang lebih besar berbanding Bayern untuk menang dalam perlawanan yang bakal dilangsungkan di Allianz Arena awal pagi esok (waktu Malaysia).

Jika mara, Juventus akan menerima €6 juta daripada UEFA dan €2.5 juta daripada hak penyiaran TV (memandangkan Juventus adalah satu-satunya pasukan dari Itali yang tinggal).

Hasil kutipan stadium di Turin semasa suku akhir nanti akan menjana €3 juta lagi. Manakala penaja mereka, Fiat akan menambah bonus €1 juta lagi jika layak ke suku akhir.

Barisan kemungkinan

Alvaro Morata, Mario Mandzukic dan Juan Cuadrado dijangka akan bermula dalam formasi baru 4-3-3 Juventus malam ini.

Juventus sedang mengalami masalah kecederaan, dengan kehilangan Paulo Dybala, Giorgio Chiellini, Claudio Marchisio dan Martin Caceres.

Mario Mandzukic masih perlu lulus ujian kecergasan selepas tidak menghadiri latihan selama 2 hari. Tetapi media Itali melaporkan beliau berkemungkinan besar akan bermula dalam kesebelasan utama malam ini.

Juan Cuadrado dan Alvaro Morata pula masing-masing akan bermain di sayap kanan dan kiri. Manakala Hernanes di tengah sambil dibantu Paul Pogba dan Sami Khedira.

Di posisi bek kiri, Max Allegri dijangka akan bergantung harap kepada pengalaman Patrice Evra berbanding kelincahan Alex Sandro.

Bayern Munich juga tidak sunyi daripada masalah kecederaan mereka. Arjen Robben masih diragui kecergasannya selepas mengalami selsema. Beliau dijangka akan digantikan oleh Frank Ribery.

Jerome Boateng dan Holger Badstuber masih cedera panjang. Javi Martinez juga tidak akan diturunkan selepas baru pulih daripada kecederaan.

Satu-satunya berita positif buat Bayern di Turin adalah kembalinya Mehdi Benatia di pertahanan tengah. Ini bermakna David Alaba dijangka akan kembali bermain di posisi bek kiri.

Barisan kemungkinan Bayern Munich: Neuer; Lahm, Kimmich, Benatia, Alaba; Vidal; Ribery, Muller, Thiago Alcantara, Douglas Costa; Lewandowski

Barisan kemungkinan Juventus: Buffon; Lichtsteiner, Barzagli, Bonucci, Evra; Khedira, Hernanes, Pogba; Cuadrado, Mandzukic, Morata