Dua Lelaki Ditahan Selepas Cetus Ketakutan Di Luar Kediaman Mesut Ozil

Kerjasama Semuanya BOLA

Pihak polis mengesahkan telah menahan dua lelaki di luar rumah pemain tengah Arsenal, Mesut Ozil pada minggu ini. Ia adalah perkembangan terbaru mengenai insiden rompakan dan isu keselamatan yang menyelebungi pemain itu, bersama pemain pertahanan Sead Kolasinac.

Kedua-dua pemain adalah mangsa kepada cubaan rompakan bersenjata beberapa minggu lalu. Walaupun berjaya mengelakkan diri dari menjadi mangsa, kedua-dua pemain dilaporkan dikejar di jalanan oleh pihak perompak ketika kejadian sebelum berjaya menyelamatkan diri.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, Arsenal mengambil langkah menyisihkan Mesut Ozil dan Sead Kolasinac dari skuad Arsenal yang akan bertemu Newcastle United di perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini kerana isu keselamatan.

“Kebajikan pemain dan keluarga mereka sentiasa menjadi keutamaan kami,” ujar kenyataan tersebut lagi.

“Kami juga menunggu pemain untuk kembali menyertai pasukan secepat mungkin.”

Ozil dan Kolasinac disisihkan daripada perlawanan persahabatan diantara Arsenal dan Lyon selepas insiden tersebut, namun kembali menyertai perlawanan pra musim menentang Barcelona pada Ahad.

Sehingga artikel ini ditulis, belum ada kenyataan susulan daripada pihak polis mengenai tangkapan tersebut walaupun nama pelaku telah disebar oleh beberapa media tidak rasmi di London. Tidak dapat dipastikan sekiranya rompakan mempunyai motif lain.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram