Dr. Johan Kamal Hamidon: ‘Banyak Perkara Asas Yang FAS Perlu Betulkan’

FAS

Saya tiba di pejabat Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) di Kelana Jaya 30 minit lebih awal daripada masa yang kami janjikan untuk berjumpa. Mata saya meliar mencari kereta Proton Perdana V6 berwarna hitam milik Dr. Johan Kamal Hamidon di kawasan parkir di hadapan pejabat barunya. Tidak kelihatan. Jadi saya maklumkan kepada beliau saya sudah tiba melalui Whatsapp. “ETA 10 minit,” jawab beliau ringkas.

Betullah 10 minit kemudian, beliau tiba. Memakai baju kemeja rasmi pegawai FAS yang serba merah kuning dengan seluar chinos berwarna khaki, Dr. Johan mempelawa saya masuk ke pejabatnya.

Anda boleh mengagak kesibukan tugas Setiausaha Agung FAS ini melalui rupa pejabatnya. Mata saya menjadi sibuk. Buku Statut FAS dan kertas cadangan penajaan di atas mejanya. Fail demi fail skuad Piala Belia dan Presiden bersusun-susun di sebelah pintu masuk pejabatnya.

Bagaimanapun perhatian saya ditarik oleh kehadiran sekeping sijil Guinness Book World of Record yang tergantung di sudut belakang pejabatnya, di sebalik rak kopiah. “Penghargaan ini diberikan kepada Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Amin, bahawa rekod dunia bagi aksi menimbang bola terpantas menggunakan kepala pada jarak 100 meter dicatat oleh Yee Ming Low dengan catatan masa 23.20 saat di Stadium Olahraga MPSJ, Selangor pada 20 Mac 2010” ia tertulis.

Sejak dilantik sebagai Timbalan Presiden merangkap Setiausaha Agung oleh Presiden FAS yang baru, DYTM Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah (yang juga merupakan Raja Muda Selangor), rutin dan jadual Dr. Johan berubah.

Jika sebelum ini beliau berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) dan kemudiannya Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) untuk Selangor Youth (SAY), sebuah badan badan bukan kerajaan (NGO) pimpinan DYTM Tengku Amir Shah, kini beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Agung bagi sebuah persatuan bola sepak negeri paling kaya sejarahnya di Malaysia.

Bagi Dr. Johan, walaupun SAY dan FAS dua entiti berbeza, ia tetap mempunyai satu persamaan penting – iaitu kedua-duanya diwujudkan untuk berkhidmat kepada rakyat Selangor.

“Dengan SAY, kami bertanggungjawab merangka program-program pembangunan belia dalam empat teras: sukan, kesenian, keusahawanan dan servis komuniti,” terang Dr. Johan. “Pengalaman menguruskan komunikasi antara sektor korporat dengan agensi kerajaan dan komuniti semasa di SAY membuatkan saya mudah untuk beradaptasi di FAS. Di FAS ketika ini, kami memerlukan sokongan daripada sektor korporat, agensi kerajaan dan juga komuniti.”

Beliau turut melihat tugas barunya ada persamaan dengan tugas lama beliau di SAY. “Setiausaha Agung adalah CEO bagi sebuah persatuan. Saya bertanggungjawab memantau keseluruhan operasi dan aspek pengurusan FAS sama ada di atas dan di luar padang,” terang beliau lagi.

Jika dilihat hubungan FAS dengan sektor korporat ketika ini, banyak yang boleh diperbaiki. Jarang-jarang FAS berjaya mengekalkan penaja sektor korporat mereka lebih dari setahun. Tiada penaja yang mahu kekal bersama FAS kerana tiadanya usaha untuk membuatkan mereka kekal. Setiap tahun FAS terpaksa bermula dari kosong.

Hubungan FAS dengan agensi kerajaan dan komuniti sebelum ini juga tiada beza. Pada tahun 2015, FAS memutuskan hubungan mereka dengan kerajaan negeri sehingga membuatkan mereka hilang dana dan Stadium Shah Alam.

Di peringkat penyokong, FAS juga gagal mewujudkan medium komunikasi berkesan. Penyokong tiada pilihan lain selain meluahkan perasaan dan pendapat mereka di media sosial, menyebabkan perang persepsi kerap berlaku di luar kawalan FAS.

“Sebelum ini di FAS, tiada jawatankuasa yang memberi perhatian kepada media, penaja dan community outreach. Tiada garis panduan dan SOP dalam beberapa perkara penting. Kita menjangkakan benda-benda ini sepatutnya ada dalam sebuah persatuan bola sepak. Tetapi realitinya, tiada,” luah Dr. Johan. Situasi ini mungkin menjelaskan masalah mengapa tak banyak penaja mahu mengaitkan diri mereka dengan FAS sebelum ini.

Antara langkah pertama yang diambil Dr. Johan untuk memperbetulkan keadaan ini adalah mencari 3 individu yang akan membantunya – eksekutif perkembangan perniagaan, eksekutif undang-undang dan ketua strategi media sosial. 3 staf ini akan menyertai 10 staf tetap dan 7 staf sambilan FAS yang sedia ada untuk membantu Dr. Johan merealisasikan hasrat DYTM Tengku Amir Shah untuk meningkatkan kecekapan FAS mentadbir hal-ehwal bola sepak Selangor.

Berminat menjadi sebahagian dari #FAS baharu dalam mengembalikan kegemilangan Merah Kuning? Individu berkelayakan…

Posted by FA Selangor on Monday, July 23, 2018

Bagi Dr. Johan, kecekapan sesebuah organisasi pimpinannya berkait rapat kepada kecekapan stafnya membuat kerja. “Saya gemar memperkasakan staf-staf saya dengan memberi mereka kuasa untuk membuat keputusan-keputusan penting berkenaan bidang tugas mereka. Tetapi mereka harus mendapatkan kepercayaan saya terlebih dahulu”, jelas beliau. “Untuk mendapatkan kepercayaan saya, mereka perlu menunjukkan sikap pro-aktif dan sanggup bekerja keras.”

Setiausaha Agung FAS yang berusia 31 tahun ini turut menekankan kepentingan organisasi pimpinannya untuk memperbetulkan beberapa perkara asas terlebih dahulu sebelum memikirkan solusi yang lebih kompleks. “Contohnya dalam aspek menjana pendapatan kelab, kita masih lagi tak buat merchandises. Kita tak perlu jadi genius untuk fikir buat merchandises. Bayangkan untuk setiap jersi Selangor yang terjual, FAS tak ambil royalti langsung.”

Inisiatif mahu memperbetulkan perkara-perkara asas ini jugalah yang mendorong Dr. Johan untuk menganjurkan Bengkel Perbincangan Bola Sepak Selangor di Perpustakaan Raja Tun Uda baru-baru ini. Bengkel ini dihadiri oleh barisan pengurusan, jurulatih, bekas pemain, badan korporat, agensi kerajaan dan swasta serta penyokong Selangor.

 

Apa kata AlFadli Awaludin @Rambo dari Ultras Selangor berkenaan Bengkel Perbincangan Bola Sepak Selangor selama 3 hari anjuran #FAS

Posted by FA Selangor on Monday, August 6, 2018

Dr. Johan turut membangkitkan isu ketiadaan pakej keahlian untuk penyokong Selangor. “Ketika ini pakej keahlian untuk penyokong Selangor hanya ada melalui kumpulan penyokong. Bukannya dengan FAS terus. Sedangkan FAS memerlukan data. Bila ada data, barulah kita boleh memahami penyokong kita dengan lebih baik. Dan penaja juga mahukan data penyokong kita. Jadi bila kita tidak sediakan pakej keahlian untuk penyokong, kita dah buat dua kesilapan: pertama, kita tak dapat mengenali penyokong dengan lebih baik. Kedua, kita tidak boleh beri apa-apa kepada penaja kita.”

Dari mata orang luar, mudah untuk melihat mengapa DYTM Tengku Amir Shah memilih Dr. Johan sebagai orang kanan baginda. Pada Februari 2017, baginda menulis di Facebook mengenai kepentingan jawatan presiden, ahli jawatankuasa eksekutif dan setiausaha agung yang tidak boleh dipegang melebihi 2 penggal (dengan 1 penggal mesti tidak melebihi 4 tahun). Dr. Johan bersetuju dengan visi baginda dan memberitahu saya mengapa.

“Tuanku mahukan jadikan FAS milik rakyat. Terbuka dan transparen,” jawab beliau sambil menjelaskan dalam sesebuah organisasi yang mempunyai kepentingan rakyat seperti FAS, check and balance sangat penting supaya FAS tidak lari daripada tujuan penubuhan asalnya.

“Tuanku tahu di Selangor ada banyak individu-individu di Selangor yang berbakat yang boleh memaju dan memimpin FAS. Cuma ketika ini FAS nampak tak menarik kerana ada banyak perkara yang perlu diperbetulkan. Apabila FAS dah nampak menarik nanti, Tuanku mahu individu-individu berbakat ini kembali kepada FAS.”

Presiden FAS, DYTM Tengku Amir Shah (tengah) berbincang dengan Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon ketika Bengkel Perbincangan Bola Sepak Selangor. Foto: FA Selangor

Perkataan ‘terbuka dan transparen’ menarik minat saya. Ia sering diceramahkan, tapi jarang dipraktikkan. Contohnya dalam kes siapakah ahli gabungan (affiliate members) FAS.

Penyokong Selangor tahu ahli gabungan FAS terdiri daripada kelab-kelab yang bertanding dalam sistem Liga FAS (Liga Super, Liga Premier dan Liga Bahagian Satu). Tetapi bagi pemegang taruh terpenting dalam bola sepak Selangor; iaitu penyokong, mereka tidak kenal siapa ahli-ahli gabungan ini? Di mana pejabat mereka? Siapa person-in-charge kelab-kelab yang mempunyai satu undi dalam Kongres FAS ini?

Menjawab isu ini, Dr. Johan menjawab, “Ketika ini kelab-kelab ahli gabungan FAS ini tak diketahui umum kerana mereka tak diberikan peranan yang relevan.” Serta-merta saya tertarik dengan kenyataan beliau.

“Tuanku mahu kelab-kelab ahli gabungan FAS ini diperkasakan. Diberikan tugas, kapasiti dan sumber untuk memajukan bola sepak di kawasan mereka. Apabila mereka diberikan tugas yang relevan, maka secara semulajadinya penyokong Selangor akan kenal mereka.”

Dr. Johan kemudian menambah, “Katakan saya seorang jurulatih yang duduk di Puchong. Jika kelab-kelab ahli gabungan FAS di Puchong diperkasakan, saya akan nampak mereka buat kerja. Saya tahu nak hubungi siapa. Di mana mereka buat latihan. Apabila mereka tak diperkasakan, penyokong pun tak nampak mereka.”

Bercakap dengan Dr. Johan, sukar untuk saya mengenepikan topik Selangor Champions League (SCL) – produk sukan kendalian Dr. Johan yang paling berjaya ketika mengurus SAY sejak 2016.

Perlawanan akhir Selangor Champions League 2017 yang diadakan di Stadium Shah Alam menarik minat lebih 5,000 penyokong. Foto: Football Selangor – FS

Kejohanan yang menemukan juara-juara liga komuniti dan sosial seluruh Selangor ini bukan sahaja bertanggungjawab menghidupkan suasana kompetitif dalam arena bola sepak amatur di Selangor, malah turut menjadi platform rujukan kepada kewujudan Liga M4 dan M5 dalam piramid bola sepak Malaysia dan pembukaan slot untuk pasukan amatur dalam pusingan pertama Piala FA Malaysia.

Sebelum ini FAS mempunyai sistem liga dan pertandingan Piala FA sendiri. SAY pula mempunyai SCL. Tetapi pendedahan media yang diberikan SAY kepada pasukan-pasukan yang bertanding dalam SCL membuatkan pasukan lebih tertarik untuk menyertai SCL. Ini membuatkan ekosistem pertandingan bola sepak di Selangor kelihatan ‘tidak bersatu’.

Menjelaskan isu ini, Dr. Johan mendedahkan FAS sudah pun memulakan usaha untuk menyatukan SCL dalam ekosistem FAS. “Saya sudah mengutarakan idea ini kepada Tuanku. Jika sebelum ini FAS ada liga dan Piala FA seperti Malaysia Football League. Tapi tiada pertandingan yang serupa dengan Piala Malaysia. Jadi kami akan jenamakan semula SCL sebagai pertandingan seperti Piala Malaysia – tetapi untuk peringkat Selangor,” katanya.

Sebelum mengakhiri temuramah kami, saya sempat mengusik Dr. Johan mengenai prestasi semasa Selangor yang tidak menentu dalam kempen unifi Piala Malaysia 2018 ketika ini. “Pergi Sabah tak nanti?” tanya saya. “Pergi. Mestilah pergi,” jawab beliau sambil tersenyum. Kekalahan Selangor dalam dua perlawanan pembukaan unifi Piala Malaysia mungkin tidak menggembirakannya (dan ribuan penyokong Selangor lain), tetapi beliau tetap mengharapkan penyokong Selangor terus menyokong pasukan – terutamanya di kala pemain sangat-sangat memerlukan sokongan moral mereka.

Di bawah pimpinan DYTM Tengku Amir Shah dan Dr. Johan, FAS mendapat suntikan muda yang sangat-sangat diperlukan untuk mengubah imej mereka yang malar – seperti prestasi atas padang mereka – sejak sekian lama. Dalam era bola sepak di mana penjaga gol muda lebih banyak memecah rekod perpindahan pemain berbanding penjaga gol berpengalaman, prodigi 19 tahun menjadi tulang belakang skuad pemenang Piala Dunia dan ketua jurulatih berusia awal 30-an adalah perkara normal, sudah sampai masanya barisan pengurusan pasukan di Malaysia mengorak langkah sama.

Latar belakang Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan bin Kamal Hamidon

Umur: 31

Asal: Petaling Jaya, Selangor

Keluarga: Berkahwin (2018)

Pendidikan: Sekolah Kebangsaan Sri Petaling, Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh, University of Queensland, Australia (PhD in Cell/Cellular and Molecular Biology)

Karier:

2018-sekarang: Timbalan Presiden & Setiausaha Agung FAS
2016-2018: COO dan CEO Selangor Youth Community
2015-2016: Timbalan Presiden Persatuan Alumni Felo Perdana (PFAA)
2011-2014: Pengerusi Malaysian Students’ Council of Malaysia (MASCA), Pegawai Kebajikan Council of International Students Australia (CISA), Pegawai Pelajar Atarabangsa di University of Queensland Union (UQ Union)

Pengalaman dalam bola sepak:

2008-2014: Pemain University of Queensland FC
2015: Pemain Oxley FC (Brisbane Premier League)
2013: Brisbane Community Football League
2008-2013: Asian University Games
2008, 2011 & 2012: National Conference & Games
2015: Duta Komuniti AFC Asian Cup di Australia

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN