Rasmi: Douglas Costa Sertai Juventus Secara Pinjaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Juventus menandatangani pemain lincah dari Brazil, Douglas Costa secara pinjaman semusim dari Bayern Munich. Ini sekaligus menamatkan spekulasi Douglas Costa yang dikaitkan dengan beberapa kelab lain termasuk Tottenham Hotspur.

Transaksi ini berlaku sebaik sahaja Bayern Munich mengumumkan pernjanjian pinjaman 2 tahun James Rodriguez dari Real Madrid.

Juventus membayar sejumlah £5.3 juta untuk pinjaman ini dengan tambahan £885,000 berdasarkan klausa berkaitan prestasi pemain.

Opsyen pembelian pemain ini adalah sekitar £35.4 juta jika Juventus mahu mendapatkan pemain ini secara tetap selepas tempoh pinjaman pemain ini tamat. CEO Bayern Munich, Karl-Heinz Rummenigge berkata:

“Kami mengadakan perbincangan serius dan konstruktif dengan wakil Juventus untuk agar permintaan harga pemain ini dicapai.”

“Saya mahu ucapkan terima kasih kepada Douglas Costa kerana sumbangan beliau sepanjang di Bayern. Selepas 2 musim yang cemerlang dengan 4 trofi, beliau memberitahu kami yang beliau mahukan cabaran baru di dalam karier.”

“Kami merestui permintaan beliau dan mengucapkan semoga berjaya di Itali kepada beliau dan keluarga.”

Costa menyertai Bayern Munich pada 2015 selepas aksi cemerlang dengan Shakhtar Donestk. Beliau muncul dalam 77 perlawanan kompetitif dengan Bayern dan turut menjaringkan 14 gol.

Pemain yang lincah dan penuh skil ini menjadi perhatian banyak kelab di Eropah selepas Bayern Munich menyenaraikan beliau untuk dijual.

Pada awalnya ramai penyokong Bayern menyangka ia adalah tindakan yang tidak sepatutnya daripada pihak kelab. Namun berdasarkan kenyataan Rummenigge, pemain ini sendiri yang mahu mencari cabaran baru di tempat lain.

Ini kerana, pasukan Bayern Munich sarat dengan bakat yang tidak mampu memberikan beliau jaminan beraksi dalam setiap perlawanan.