‘Doraemon Perlis’ Keluar Dari Gua

Kerjasama Semuanya BOLA

Selepas berbulan-bulan lari dari radar bola sepak Malaysia ekoran masalah hutang yang ditinggalkannya, bekas Presiden Perlis FA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit dikesan berada di Putrajaya pada petang 30 Januari lepas.

Beliau berada di majlis penyerahan memorandum Anti Pemandu Di Bawah Pengaruh Alkohol kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di perkarangan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. Majlis tersebut dianjurkan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan turut disertai oleh badan-badan bukan kerajaan (NGOs) lain.

PPIM dalam kenyataannya di laman Facebook semalam memberitahu Datuk Ahmad Amizal Shaifit yang juga dikenali dengan nama ‘Doraemon’ di kalangan peminat bola sepak tempatan tiada kena-mengena dengan organisasi mereka.

“PPIM tidak mengadakan sebarang kerjasama bersama individu terbabit. Gambar yang tular itu merupakan kumpulan NGO-NGO yang menyerahkan memorandum kempen anti pemandu mabuk kepada Setiausaha Pejabat Perdana Menteri Malaysia,” jelas mereka.

SENSASI! SCAMMER BERSAMA PPIM? BETUL KE?PPIM menerima gambar-gambar serta komen netizen di Facebook memaparkan aduan…

Posted by Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) on Friday, January 31, 2020

Presiden PPIM, Datuk Nadzim Johan menggesa pihak yang teraniaya dengan Datuk Ahmad Amizal Shaifit supaya membuat aduan supaya siasatan di pihak mereka dapat dibuat.

“Sebenarnya yang datang [ke majlis tersebut] itu macam-macam jenis orang. Kita pun tak tahu. Kadang-kadang yang betul jadi tak betul pun ada. Kita jenis berlapang dada,” ulas Datuk Nadzim. “Setakat ini kami belum menerima sebaang aduan. Kami pun kena siasat dan dengar cerita dari kedua-dua belah pihak.”

Sebagai rekod, gambar Datuk Amizal pernah dikesan berada di Facebook sekitar Oktober 2019 lepas. Beliau dilihat sedang berucap dalam Seminar Pemangkin Ekonomi Negara anjuran syarikat beliau. Gambar yang pada mulanya dimuat naik oleh staf syarikat beliau kemudiannya dipadam selepas diserang oleh bekas mangsa penipuannya di Perlis FA.

Datuk Ahmad Amizal Shaifit mencipta reputasi buruk dalam arena bola sepak tempatan selepas kegagalannya membayar gaji staf dan pemain pasukan-pasukan yang bernaung di bawah Perlis FA sepanjang hujung 2018 hingga awal 2019. Pasukan-pasukan yang terlibat adalah pasukan Piala Belia, Piala Presiden, Perlis Northern Lions II (Liga M3), Perlis Northern Lions (Liga Super), futsal lelaki dan futsal wanita.

Pada 23 Februari 2019, Perlis FA menggantung jawatan ahli perniagaan itu serta menuntutnya membayar hutang RM3 juta yang ditinggalkannya sepanjang memegang jawatan presiden Perlis FA.

Seorang bekas staf Perlis FA memberitahu Semuanya BOLA bahawa modus operandi Datuk Amizal semasa memegang tampuk Perlis FA adalah ‘gali lubang, tutup lubang’. “Dia bawa masuk nama-nama besar dalam pasukan Liga Super dan futsal supaya penaja jadi tertarik untuk menaja Perlis FA,” dedah sumber tersebut.

“Dia bagitahu staf dan pemain yang dia ada duit. Jadi dia boleh janjikan gaji kompetitif. Padahal sebenarnya dia rancang nak bayar gaji pakai duit hak penyiaran liga dan duit penaja yang belum masuk pun,” katanya lagi.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram