Dominasi Pemain Selangor dan Terengganu Dalam Skuad B-22 Ke Mongolia

Harimau Muda skuad B-22 dominasi Terengganu Selangor

Seiring dengan penglibatan besar pemain muda Selangor FC dan Terengganu FC dalam saingan Liga Super musim ini, nampaknya senarai akhir 23 pemain skuad B-22 negara juga telah didominasi oleh kedua-duanya.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) baru sahaja mengumumkan senarai tersebut menerusi laman sosial mereka, menyaksikan lapan pemain merupakan pemain Selangor dan tujuh pemain daripada Terengganu.

Manakala baki slot pemain telah diisi oleh dua pemain juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah Darul Aman FC, Perak FC, Penang FC, Projek FAM-MSN serta dua pemain luar negara, KV Kortrijk dan SGV Freiberg.

Panggilan untuk penyerang muda kelab Belgium, KV Kortrijk iaitu Luqman Hakim Shamsudin mungkin tidak mengejutkan kerana beliau tampil baik dengan tugasan bersama skuad Harimau Malaya, namun nama Annil Vigneswaran yang berpangkalan di Jerman bersama SGV Freiberg, mungkin sedikit menimbulkan persoalan.

Jumlah besar pemain daripada Selangor dan Terengganu juga tidak menimbulkan persoalan kerana kedua-dua pasukan merupakan pasukan yang didominasi oleh pemain-pemain muda dalam saingan Liga Super musim ini.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan OptaJ, Selangor merupakan pasukan yang menurunkan skuad termuda dalam 22 perlawanan musim ini dengan purata usia 25.31, diikuti UiTM FC (25.40) dan Terengganu (25.68).

Seperti jangkaan, pengendalinya, Brad Maloney memang akan meletakkan empat pemain Harimau Malaya ke dalam skuad ini walaupun mereka tidak sempat menyertai kem latihan kerana tugasan antarabangsa. Mereka mungkin sudah melepasi piawaian jurulatih yang diletakkan pasukan berdasarkan aksi persahabatan itu.

Luqman Hakim, Mikhairi Ajmal, Quentin Cheng dan Hakimi Abdullah baru pulang daripada Jordan bersama skuad Harimau Malaya yang selesai menjalani dua aksi persahabatan berdepan Jordan dan Uzbekistan.

Brad Maloney terpaksa melepaskan beberapa pemain akibat masalah kecederaan antaranya Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri, Firdaus Ramli, Alif Mutalib dan Chia Ruo Han (JDT II) serta K. Thivandaran (PJ City FC).

Turut tidak tersenarai ialah Firdaus Irman, Khairi Suffian, Aidil Azuan dan Saiful Iskandar Adha (Selangor 2).

Skuad B-22 yang diletakkan dalam Kumpulan J pada pusingan kelayakan Piala Asia B-23 itu akan membuka tirai menentang Laos pada 25 Oktober, diikuti Mongolia pada 28 Oktober dan Thailand empat hari kemudian. Mereka dijangka akan berlepas ke Ulaanbaatar, Mongolia pada Rabu pada 20 Oktober 2021 – lima hari sebelum beraksi.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply