Dollah Salleh Plot Tumbangkan KL City Dengan Perubahan Di Jentera Serangan

Dollah Salleh Sri Pahang KL City Piala Malaysia 2021

Pengendali Sri Pahang, Dollah Salleh merancang perubahan di jentera serangannya untuk aksi pertama Piala Malaysia 2021 berdepan KL City malam ini dan beliau yakin mereka akan berjaya meraih tiga mata penuh.

Walaupun dalam saingan Liga Super, mereka tewas dalam kedua-dua pertembungan, beliau masih optimis dengan perubahan yang telah ditunjukkan para pemainnya dalam aksi terakhir liga serta sesi latihan mereka.

Dalam dua perlawanan liga menentang KL City, Sri Pahang tewas 1-2 pada pertembungan pertama di Stadium KLFA dan tewas 0-2 dalam pertembungan kedua pada 20 Ogos lalu di Stadium Darul Makmur.

Dalam sidang media kedua terakhir iaitu selepas tewas kepada Penang FC 1-2, Dollah Salleh mengakui selepas agak lama mencari, akhirnya beliau menemui penawar kepada segala masalah prestasi skuadnya.

Katanya selepas melihat perubahan, “Ia memang dalam perancangan saya [taktikal berdepan Penang].”

“Selepas sekian lama kami tidak dapat menurunkan pasukan terbaik, malam ini kami dapat melakukannya dan mereka sudah menunjukkannya [aksi terbaik] walaupun kami tidak mendapatkan kemenangan,” tegasnya.

Akhirnya, Dollah Salleh Akui Sudah Temui Ramuan & Akan Diguna Untuk Piala Malaysia

Tok Gajah mempamerkan satu permainan yang lebih baik berbanding dalam beberapa aksi sebelum ini dan mereka sebenarnya ketika itu dalam misi memburu kemenangan pertama selepas empat perlawanan. Mereka tewas tiga aksi berturut-turut kepada Terengganu FC, KL City dan JDT sebelum mengikat Kedah.

“Saya akan melakukan perubahan di bahagian serangan dan saya harap segala yang dirancang akan tercapai,” ungkapnya kepada Berita Harian dengan memaklumkan akan turun tanpa Aung Kaung Mann.

“Begitu juga di bahagian tengah dan pertahanan yang dilihat semakin bagus terutama komitmen tinggi yang dipersembahkan. Saya kini berasa gembira dengan prestasi semasa yang dipersembahkan pemain terutama pada sesi latihan yang dilihat petanda positif,” ujar Dollah Salleh lanjut mengenai perkembangan pasukannya.

“Fokus utama pasukan ialah untuk memastikan perlawanan pertama saingan piala berprestij ini menjadi milik Sri Pahang,” tegasnya lagi sambil meletakkan kepercayaan kepada pemainnya untuk tampil lebih baik.

Antara perubahan yang dapat dilihat sebelum tirai Liga Super dilabuhkan adalah perubahan posisi Herold Goulon daripada pertahanan tengah kepada pemain tengah bertahan. Posisinya diambil alih oleh pemain kacukan Malaysia-England, Nick Swirad untuk bergandingan bersama kapten pasukan, Muslim Ahmad.

Selain itu, penyenaraian Malik Mat Ariff di jentera serangan juga dilihat menunjukkan petanda positif dan mungkin dengan kembalinya prestasi baik Manuel Hidalgo, segalanya boleh berpihak kepada Sri Pahang.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply