Dollah Salleh: Belum Cukup, Tapi Ini Suntikan Baik Untuk Moral Pasukan

Sri Pahang UiTM FC 2021 Dollah Salleh belum cukup

Belum cukup ampuh menurut Dollah Salleh dan beliau menganggap kemenangan ke atas UiTM FC akan menjadi suntikan terbaik untuk pusingan kedua selepas ini.

Sri Pahang FC kembali dengan kemenangan selepas kali terakhir menang pada 16 Mac ketika berdepan Sabah, apabila berpesta gol menewaskan UiTM FC, malam tadi.

Sri Pahang menang 5-0 di Stadium Darul Makmur dan ini merupakan kemenangan kedua mereka. Walaupun ia tidak mengubah kedudukan mereka di zon penyingkiran, namun ia sekurang-kurangnya akan mengekori rapat pasukan di atas mereka.

Perak dan Sabah berada di atas Sri Pahang dengan perbezaan satu dan dua mata, namun kekurangan satu perlawanan. Untuk UiTM FC, mereka terus ketinggalan di dasar liga dengan hanya merekodkan satu mata dalam 11 aksi pusingan pertama.

Adakah kemenangan besar ini menandakan kebangkitan Tok Gajah? Atau mereka bernasib baik disebabkan berdepan dengan pasukan yang berada di dasar liga?

Menurut pengendali, Dollah Salleh, kemenangan ini sudah dijangka, namun ia masih belum cukup untuk menyatakan yang Sri Pahang sudah kembali bangkit. Begitupun, beliau berpuas hati melihat anak buahnya memanfaatkan peluang meledak gol.

“Kalau diikutkan malam ini, dari segi permainan masih belum capai apa yang kita inginkan. Cuma apabila kita dapat peluang, kita cipta gol. Yang penting kita dapat tiga mata dalam perlawanan terakhir pusingan pertama,” ungkap Dollah Salleh.

“Cuma selepas 10 minit permainan, kita seperti hilang arah. Kita bagi pasukan UiTM menguasai permainan dan pemain jadi seperti hilang arah semuanya,” ujarnya.

Sri Pahang membuka jaringan seawal minit pertama menerusi jaringan Lee Tuck sebelum Pedro Henrique meledak gol kedua pada minit ke-34. Pesta gol Pahang diteruskan oleh Baqiuddin Shamsudin pada minit ke-66, Herold Goulon (minit ke-70) serta jaringan sendiri pemain UiTM, Fahmi Mohd Sabri pada minit ke-72.

“Bila dapat gol kedua, ia beri semangat semula kepada pemain. Saya tak jangka sampai lima dan itu perbezaannya, kita jaring gol dalam setiap peluang yang kita ada. Kemenangan malam ini memberi suntikan [semangat] untuk pusingan kedua nanti.

“Tetapi, macam saya cakap awal-awal tadi, dari segi permainan, kita masih lagi jauh [ketinggalan] kalau kita hendak lawan pasukan-pasukan yang di atas,” tegasnya.

Sri Pahang melalui tiga perlawanan dengan kekalahan dan kejayaan menoktahkan kekalahan ini diharapkan akan diteruskan dalam aksi berdepan Selangor FC nanti.

KREDIT FEATURED IMAGE: SRI PAHANG FC

Baca lagi artikel lain mengenai Dollah Salleh dan Sri Pahang:

Dollah Salleh: Ketika Kembali Ke Sri Pahang Pun Sudah Ada Tekanan

Thomas Dooley Dedah Pengurusan Sri Pahang Arah Supaya Jauhi Pasukan

Dollah Salleh Akui Sri Pahang Kian Hilang Keyakinan, Ketandusan Penyerang

Leave a Reply