Dollah Akui Pemergian Matthew Davies Ganggu Perancangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Sebentar tadi pemain bek kanan pasukan negara, Matthew Davies secara rasmi diumumkan sebagai pemain JDT yang baharu.

Matthew Davies sebelum ini adalah kapten pasukan Pahang dan telah beraksi bersama skuad kendalian Dollah Salleh sejak musim 2015 lagi.

Pernah tampil sebagai kapten pasukan Liga Malaysia termuda satu ketika dahulu, Matthew Davies pernah membantu skuad Tok Gajah meraih kejuraan Piala FA pada 2018.

Walaupun akur dengan perpindahan tersebut, Dollah mengakui pasukan kendaliannya sedikit terjejas dengan pilihan pemain tersebut – apatah lagi sepak mula Liga Malaysia hanya berbaki dua minggu sahaja lagi.

LIga Malaysia
FOTO: Pahang FA

Bercakap kepada Stadium Astro, Dollah bagaimanapun berkata Pahang tiada perancangan untuk mencari pengganti, dan akan mempertaruhkan pemain sedia ada di posisi tersebut.

“Dia mahu pergi. Cuma, ia berlaku di saat akhir. Sampai sekarang, kami masih terumbang-ambing. Ada pemain yang cedera, kemudian awang import baru sampai,” katanya.

Dalam laporan yang sama, bekas pemain kebangsaan Asmawi Bakiri pula berkata penghijrahan Davies ke skuad Harimau Selatan kini melengkapkan pasukan berkenaan untuk memberi cabaran di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Liga Malaysia.

“Penampilan, cara permainan serta jumlah gerakan dilakukan Davies ada kelebihan. Tidak dinafikan apa yang dilakukan Kunanlan tetapi apa yang boleh disumbangkan Davies di situ sudah pasti akan melengkapkan kekuatan individu di bahagian kanan,” katanya.

Davies yang kini berusia 25 tahun dilihat sebagai pengganti kepada S. Kunanlan di posisi bek kanan JDT.