Dokumen Tidak Lengkap Punca Tunggakan Gaji Badhri Radzi Tidak Dilunaskan

kapten, piya

Bekas kapten Kelantan, Badhri Radzi atau Piya baru-baru ini meluahkan kekecewaan beliau kerana kegagalan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) melunaskan tunggakan gajinya yang dianggarkan kira-kira berjumlah RM150,000.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan mendakwa Piya gagal mengemukakan dokumen lengkap kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) untuk menyokong segala tuntutannya.

“Kami dimaklumkan melalui FAM dan PFAM, dokumen yang dihantar Piya tidak lengkap dan ditolak oleh kedua-dua badan berkenaan.

“Bagi pihak KAFA, kami mahu melalui saluran yang betul dan sekiranya dia (Piya) mempunyai masa terluang, dia boleh datang berjumpa kami untuk berbincang.

“Ia kerana setiap kali kami memanggilnya, dia tidak dapat hadir.

“Sebelum ini, kami juga pernah menjemputnya kembali menyertai pasukan, namun dia mendedahkan sudah tawar hati dengan Kelantan,” katanya dalam Stadium Astro.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Illias Khan

Bibi turut menyifatkan Piya sepatutnya tidak terlalu berkeras untuk menuntut tunggakan gaji dengan jumlah yang tinggi kerana tahap kewangan KAFA sememangnya tidak mengizinkan.

“Kontrak yang ditandatangani adalah persetujuan bersama.

“Dia tidak perlu terlalu berkeras kerana sudah mengetahui tahap kewangan KAFA. Memadailah untuk menuntut apa yang kami mampu bayar,” tambahnya

Hutang dengan pihak Stadium kini telah berkurang

Sementara itu, Bibi Ramjani kini menghela nafas lega selepas Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) dan kerajaan negeri bersetuju mengurangkan tunggakan bayaran stadium berjumlah RM836,800 kepada RM100,000.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat yang dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan Dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan Wan Roslan Wan Hamat dan Naib Presiden KAFA Datuk Takiyuddin Hassan.

“Jumlah tunggakan hutang dengan PSK selama empat tahun sejak 2014 hingga 2018 saja berjumlah RM836,800 adalah satu jumlah yang sangat tinggi perlu diselesaikan KAFA.

“Namun hasil perbincangan dan rundingan dengan PSK dan kerajaan negeri KAFA hanya perlu menjelaskan RM100,000 saja tunggakan levi bermula musim ini,” katanya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram