Analisis: Panduan Ringkas DNA Bola Sepak Dan Taktikal Vietnam Di Bawah Park Hang Seo

Kerjasama Semuanya BOLA

Park Hang Seo ataupun Cikgu Park merupakan individu yang sangat penting dalam pembentukan DNA taktikal di Vietnam. Beliau adalah orang yang bertanggungjawab menjadi jurulatih B-23 dan juga skuad senior pasukan Vietnam.

Ideanya adalah untuk menyeragamkan corak permainan dalam 2 peringkat penting. Peringkat B-23 adalah peringkat terakhir untuk transisi kepada pasukan utama. Dan ramai pemain sekitar usia 20-an menjadi pemain utama dalam skuad kebangsaan di mana-mana negara.

Daripada dua peringkat ini ianya akan menjadi satu blueprint kepada bola sepak Vietnam secara total – di semua peringkat.

Antara pencapaian penting Cikgu Park bersama skuad B-23 adalah kejayaan menjadi naib Juara Piala Asia B-23 yang dilangsungkan pada 2017. Mereka menewaskan pasukan seperti Australia di peringkat kumpulan.

Cikgu Park yang tegas

Ketika mulai menggalas tugas jurulatih Vietnam, misi utama beliau adalah menjadikan Vietnam negara yang berada di kelompok 100 teratas dalam ranking dunia. Media di Vietnam ada yang kurang yakin dengan cita-cita beliau dan menganggap ianya retorik biasa oleh mana-mana jurulatih baharu.

Lagipun dalam sidang media yang sama beliau memberitahu beliau tidak begitu kenal dan tahu akan bola sepak Vietnam terutama sekali kualiti gedung bakat yang beliau ada.

Beliau berkata: “Saya tidak tahu sangat tentang bola sepak Vietnam sebelum ini. Namun selepas itu saya melakukan beberapa kajian dan menonton aksi perlawanan Vietnam. Misi saya adalah membantu Vietnam memanjat sehingga ke 100 teratas dalam ranking FIFA – dalam tempoh kontrak saya.”

Kontrak penggal pertama Cikgu Park berakhir pada Oktober 2019. Dan hasilnya, kurang daripada 11 bulan daripada tempoh akhir kontrak beliau Vietnam sudah pun berada di 100 teratas dalam ranking FIFA yang diumum pada akhir November.

Ianya adalah rangking tertinggi pasukan Asia Tenggara dan ke-17 di Asia untuk akhir November 2018. Kali terakhir Vietnam berada di ranking 100 teratas adalah pada Jun 2011 iaitu di kedudukan ke-99. Ranking tertinggi Vietnam dalam sejarah adalah di tangga ke-84 pada Septembar 1998.

Peningkatan mendadak itu berlaku hanya selepas 13 bulan Cikgu Park menggalas tugas sebagai ketua jurulatih Vietnam dan skuad B-23.

Cikgu Park sentiasa percaya bahawa dalam bola sepak, nasib memainkan peranan sangat kecil dan kejayaan itu biasanya dikecapi mereka yang kuat berusaha dan sanggup melakukan latihan tambahan.

Park Hang Seo mencorakkan bola sepak Vietnam

Pada awalnya pendekatan Park Hang Seo dikritik oleh beberapa media dan pundit di Vietnam. Ada di antara mereka mengutuk taktikal Park Hang Seo yang dianggap sebagai membosankan, tidak moden dan defensif.

Dalam bola sepak, aspek taktikal moden , ofensif atauoun defensif itu jika dimainkan dengan betul akan memberikan kejayaan. Park Hang Seo berkeras dengan apa yang beliau lakukan dan memberitahu pemain bahawa mereka perlu percayakan apa yang sedang mereka lakukan.

Bagi Park Hang Seo beliau mahu pemain tidak terasa rendah diri untuk bermain taktikal sedang mainkan.

Membentuk pemain cerdas

Apa yang paling penting mereka perku meningkatkan aspek berfikir dan kecerdasan di atas padang – untuk membentuk pasukan yang saling memahami antara satu sama lain.

Oleh itu, para pemain disuapkan dengan pelbagai informasi yang berkaitan sebelum beraksi di atas padang. para pemain mulai dusuapkan lebih banyak statistik dan maklumat intelektual berkaitan bola sepak.

Beliau juga mahukan pemain agar sentiasa percaya kepada diri mereka. Informasi yang lebih teknikal dan taktikal ini membuatkan pemain dilatih untuk berfikir lebih tajam. Ia secara tak langsung menajamkan lagi pemikiran bola sepak (footballing minded).

“Kita semua ada peluang untuk menang. Kita tidak tahu apa keputusan perlawanan sebelum datang bertanding. Oleh sebab itu kita semua perlu bersiap sedia untuk menang.

Pemilihan teras (core) DNA

Park Hang Seo menjadikan 2 pasukan di Vietnam sebagai asas kepada DNA bola sepak mereka yang ada. Beliau sedar bola sepak di Vietnam memiliki keghairahan berbanding dengan struktur yang sistematik.

Hanya ada beberapa pasukan yang memiliki akademi yang baik dan sistematik iaitu Hoang Anh Gia Lai dan Hanoi FC. Ramai pemain belia dan pasukan utama Vietnam daripada 2 pasukan ini. Dalam Piala AFC B-23, ramain pemain daripada Hanoi FC dan Hoang Anh Gia Lai dipanggil.

Seterusnya Park Hang Seo mengenalpasti 2 lagi akademi yang sangat baik iaitu Vettel FC dan PVF FC. 2 akademi ini banyak enyumbangkan bakat untuk pasukan remaja. Park Hang Seo kagum dengan Vettel FC yang sebenarnya sudah mengorak langkah menjalinkan kerjasa dengan Borussia Dortmund.

Dan pada Oktober 2017, PVF FC melantik Ryan Giggs sebagai Pengarah akademi mereka.

Park Hang Seo melihat kesungguhan beberapa pihak di Vietnam untuk tidak membangunkan bola sepak berdasarkan ‘passion’ dan semangat semata-mata.  Tetapi mereka mulai membangunkan sistem dan struktur yang betul. Park Hang Seo sebagai jurulatih menghargai perkembangan positif ini.

Daripada 4 kelab ini, Park Hang Seo membentuk DNA permainan Vietnam untuk difahami oleh pemain-pemain lain yang mahu bermain untuk Vietnam.

Park Hang Seo kemudian menghantar seramai mungkin pemantau bakat daripada pasukan kebangsaan untuk sentiasa  memantau perkembangan para pemain terutama sekali di beberapa pusat teras ini. 4 akademi tersebut memiliki fasiliti latihan serta teknologi yang baik dalam pembangunan pemain.

Akademi PVF FC yang serba moden.

Nguyen Quang Hai antara pemain yang berbisa mereka merupakan peyerang Hanoi. Beliau penyerang utama skuad B-23 yang ditransformasi kepada penyerang utama skuad senior nagaranya. Beliau menjaringkan 5 gol dalam Piala AFC B-23. Pada 2017, beliau bermain 2,087 minit secara keseluruhannya. Beliau dianggap antara pemain paling cergas (fit) di Vietnam.

Nguyeng Quang Hai juga pemenang Anugerah Bola Gangsa 2017, Pemain Muda Terbaik Vietnam 2017 dan Pemain Muda Terbaik Liga Vietnam 2017. Sebelum itu beliau memenangi Anugerah:

Best player Vietnam national league U-17 2014
Best player Vietnam national league U-19 2014
Best player Vietnam national league U-19 2016
Best player Vietnam national league U-21 2016

Ini membuktikan, akademi Hanoi FC sedang melakukan perkara yang betul dalam membentuk pemain yang berkualiti.

Para pemain muda ini kemudian digabungkan dengan para pemain senior ataupun veteran yang masih mempunyai kualiti sepert Anh Duc.

Realistik

Penekanan utama Park Hang Seo adalah tidak mahu pemain Vietnam terlalu ‘rumit’ di dalam padang, sebaliknya beliau mahukan mereka lebih realistik. Ketika mulai mengggalas jawatan jurulatih skuad B-23 dan jurulatih skuad senior, beliau mendapati masalah utama para pemain Vietnam adalah ‘duel’ berhadapan dengan lawan lebih besar dan tinggi.

Cikgu Park berkata: “Para pemain Vietnam sering merasa buntu ketika menghadapi lawan yang lebih besar dan lebih tinggi. Namun begitu, saya beritahu mereka bahawa kami mampu mengalahkan mereka jika bermain penuh percaya diri.”

“Saya harus mengubah sikap para pemain ketika menghadapi pemain yang berbadan lebih besar.”

Antara aspek pertama yang ditekankan oleh beliau adalah kembali kepada asas bola sepak. Beliau menekankan aspek seperti postur badan ketika bertahan. Memberitahu kembali ‘kitab’ asas kepada para pemain. Disiplin dalam bermain sangat penting walaupun mereka sudah bergelar bintang.

Dalam pautan di bawah ini kami ada ulas tentang corak permainan skuad B-23 Vietnam yang sebenarnya mirip dengan corak permainan mereka dalam Piala AFF 2018.

Ketika bertahan di atas padang, kedudukan badan perlulah sentiasa betul, kaki sentiasa berjengket supaya sentiasa dalam keadaan bersedia untuk memulakan larian mengejar ataupun menekan ke hadapan.

Body positioning dengan kaki sentiasa berjengket, memudahkan mereka untuk menekan ke depan ataupun berlari ke belakang. Beberapa potensi opsyen penerima bola terus diberikan pengawasan awal.

Kedudukan badan mereka, sentiasa bersedia untuk berlari ke belakang dan menekan lawan ke depan. Asas ini sebenarnya semua pemain profesional tahu, namun bila dalam padang, ramai yang malas untuk buat. On the toes setiap masa.

Di atas ini anda melihat pemain mereka menekan ‘opsyen’. Manakala pemain lain berada dalam posisi serta formasi defensif mereka. Pekara yang sama mereka lakukan kepada Malaysia.

Perkara ini sememangnya asas di dalam bola sepak dan para pemain profesional sudah tahu. Namun ramai pemain apabila sudah berada di atas padang tidak mengambil berat tentangnya. Namun lihat posisi badan pemain Real Madrid di sini:

Dan ini satu lagi contoh:

Park Hang Seo pentingkan persediaan awal

Ketika mereka menang ke atas Iraq (seri 3-3, Vietnam menang penalti 5-3) dalam Piala AFC B-23, mereka telah melakukan scouting yang sangat rapi ke atas lawan mereka. Dipetik daripada laman Steemit.com: “Park Hang Seo mengejutkan semua dengan kemenangan ke atas Australia. Vietnam berjaya mengikat Syria untuk mara ke suku akhir.”

“Ini pertama kali pasukan Vietnam mara ke kalah mati menjadi 8 teratas di Asia peringkat B-23.”

Ketika persiapan menentang Syria, Cikgu Park Hang Seo telah meramalkan lawan mereka di kalah mati adalah Iraq. Walaupun ketika itu Vietnam masih belum pasti layak.”

Secara asasnya, jika mereka layak, mereka akan menentang Iraq. Jadi, buat persediaan awal terlebih dahulu. Jika gagal layak itu tak mengapa. Jika layak, mereka sudah ada persediaan awal.

Jadi dalam persiapan untuk kejohanan seperti Piala AFC B-23 dan Piala AFF 2018 – sudah pastinya analisis data lawan mereka sudah disiapkan awal sekali.  Berdasarkan sikap Park Hang Seong, ianya mungkin sudah dilakukan sebaik sahaja undian kumpulan dahulu dan pemain disuapkan dengan segala maklumat yang perlu tentang lawan mereka sebelum ke ke Piala AFF 2018.

Dalam Piala AFC B-23 yang lalu, pegawai beliau mendedahkan – Park Hang Seo sudah menghantar beberapa pengintip beliau untuk memerhatikan corak permainan pasukan lawan terutama sekali pasukan yang kuat.

Park Hang Seo telah menggunakan khidmat pemantau terbaik di Vietnam dalam pasukan beliau kali ini dan mereka telah mengintip. Anda pasti terkejut apabila dalam Piala AFC B-23 2017 – 2 orang yang beliau lantik itu adalah ‘bos’ beliau sendiri.

‘Head’ pasukan Vietnam, Duong Vu Lam dan Pengarah Teknikal Pasukan, Jurgen (gambar)telah pergi merakamkan latihan Iraq. Mereka telah menganalisis sedalamnya tentang kekuatan pasukan lawan. Buang ego, ini demi negara, bos turun padang pun tak apa untuk jadi ‘staf’ Park Hang Seo kali ini.

Lam dalam laporan analisis beliau menyimpulkan, pasukan Iraq lebih berusia daripada purata umur pemain Vietnam. Jadi mereka lebih matang dalam perlawanan.

Cabaran Vietnam ika itu adalah membentuk skuad yang boleh menyerap tekanan berhadapan dengan lawan yang lebih matang dan berpengalaman.

Segala aspek tekanan psikologi di dalam padang sudah diberitahu kepada pemain. Park Hang Seo mendapati pasukan Iraq sebagai pasukan yang ‘kaya’ dengan segalanya di dalam padang.

Mereka juga mendapati statistik 3 perlawanan pertama, Iraq melakukan 1,116 hantaran tepat dengan kadar 64%. 10 percubaan tepat, 5 gol dihasilkan. Iraq ada 4 jenis fasa utama dalam permainan mereka.

Semua maklumat ini dan banyak lagi telah dikumpul oleh Park Hang Seo dan mereka terus melakukan ‘brainstorming’ untuk mencari formula menang ke atas Iraq.

Maklumat itu diberitahu kepada para pemain supaya mereka kenal siapa akan lawan mereka.

Park Hang Seo seorang jurulatih yang bukan sahaja memberikan arahan, malah dia akan cuba menunjukkan demonstrasi kepada pemain-pemain beliau untuk melakukan perkara yang betul dari segi teknikal dan taktikal.

Formasi dan taktikal

Secara asasnya Vietnam menggunakan 2 formasi utama di bawah Park Hang Seo, sama ada 5-4-1 ataupun 5-3-2. Formasi ini memang lebih menekankan aspek defensif dalam permainan mereka. Di dalam permainan, mereka akan membentuk 3-4-3 pada fasa penguasaan bola ataupun menyerang.

Jika mereka bermula dengan 5-3-2 mereka akan cuba membentuk 3-4-1-2 ketika fasa menyerang. Sistem serangan ini memiliki no.10 di zon 14/zon padat.

Selain daripada formasi yang berasaskan rantaian pertahanan berlima, mereka juga boleh bermain formasi seperti 4-5-1. Jika anda membuka pautan artikel di atas, anda akan melihat penekanan yang sama mereka lakukan dalam Piala AFF 2018.

Kompak di pertahanan laju ketika serangan balas

Itu adalah konsep permainan mereka. Mereka memastikan organisasi pertahanan yang stabil terlebih dahulu sebelum memikirkan perihal menyerang. Vietnam akan cuba sedaya upaya untuk ‘reshape’ ketika diserang balas.

Vietnam akan cuba untuk menyukarkan pemain lawan untuk melepasi ruang di zon pertahanan. Mereka bertahan secara zonal dan mengenakan tekanan yang tidak terlalu agresif. Mereka menyempitkan ruang supaya pemain lawan melakukan kesilapan seperti terlepas bola ketika menggelecek.

Pada fasa searangan balas, mereka akan cuba mencari pemain seperti Anh Duc ataupun pemain di belakang penyerang paling atas.

Rumusan

Park Hang Seo merupakan individu yang telah membentuk DNA bola sepak Vietnam dengan idea beliau. Park Hang Seo merupakan jurulatih yang berpengalaman luas ini. Pernah membantu skuad B-23 Korea Selatan menang pingat gangsa dalam Sukan Asia 2002.

Beliau bukan sahaja seorang jurulatih malah seorang cikgu yang baik. Membekalkan para pemain dengan seberapa banyak informasi yang boleh. Informasi itu pula beliau terima daripada pegawai beliau dan hasil pembelajaran dan kajiannya.

Vietnam dahulu dikenali dengan pasukan yang cuba menjadi seperti Jepun dan Korea Selatan telah berubah menjadi pasukan Vietnam sendiri. Pasukan yang memiliki taktikal yang sesuai dengan mereka.

Beliau bekerja dengan pasukan B-23 yang sangat rapat dengan pasukan remaja. Daripada pasukan B-23 inilah menjadi asas beliau membentuk skuad Naga Merah untuk Piala AFF 2018.

Beliau memberitahu: “Pemain muda adalah kekuatan utama kami sepanjang kejohanan kali ini. Hal ini kerana mereka sangat bertenaga.”

Ini adalah detik ketika skuad B-23 Vietnam meratapi kekalahan dalam final Piala AFC B-23. Cikgu Park menenangkan anak-anak buahnya dnegan berkata: “Kita sudah melakukan yang terbaik, jangan pernah berasa malu. Kita semua legenda dalam bola sepak Vietnam.”

“Kamu semua berhak untuk bergembira, sebab kamu sudah melakukan kerja hebat. Kita boleh menang selepas ini, ok?”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram