Disisih Real Madrid, James Rodriguez Mahu Pindah Ke Old Trafford?

James Rodriguez Real Madrid 2020

Pemain tengah menyerang, James Rodriguez mungkin antara nama yang tiada dalam senarai utama Real Madrid, malah turut dilupakan di jendela perpindahan pemain.

Pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane memperlihatkan yang beliau tidak berminat dengan pemain berusia 29 tahun itu apabila dalam tiga perlawanan berturut-turut, pemain tersebut disisihkan daripada skuad yang dibawa ke perlawanan tersebut.

Minta disisihkan

Menurut satu laporan daripada ESPN, pemain itu sendiri yang telah meminta untuk disisihkan daripada perlawanan kerana jika disenaraikan dalam skuad perlawanan itu, James Rodriguez mendapati beliau tetap akan hanya memanaskan bangku simpanan.

Sejak pulang daripada pinjaman di Bayern Munich selama dua musim, beliau gagal mendapat tempat di dalam skuad Zinedine Zidane. Beliau berkata, “Ianya sangat sukar apabila jurulatih anda langsung tidak memberikan anda minit permainan.”

“Sukar untuk anda membuktikan apa yang anda mampu lakukan. Saya bukanlah pemain utama pasukan, ianya jelas,” ujar pemain yang baru sahaja menginjak ke usia 29 tahun pada 12 Julai lalu dan mahu mengetahui punca beliau disisihkan.

Pada musim lalu, Rodriguez menyatakan yang beliau telah dihalang untuk berpindah antaranya ke Atletico Madrid dan dengan tidak mendapat tempat kini, mungkin beliau merasakan lebih baik dirinya langsung tidak menyertai mana-mana perlawanan.

Mahu ke Old Trafford

Los Blancos dikatakan bersedia untuk melepaskan James Rodriguez pada jendela perpindahan kali ini dengan harga yang lebih murah sekitar £22.5 juta. Namun, ia masih tidak mampu untuk menarik minat mana-mana pasukan untuknya.

Sehingga kini, hanya beberapa pasukan telah dikaitkan dengan pemain tersebut antaranya Manchester United, Arsenal, Everton dan Wolves. Namun, belum ada tawaran rasmi untuk membawa keluar Rodriguez daripada Santiago Bernabeu.

Begitupun, beliau secara berterus terang berkata yang jika perpindahannya mahu direalisasikan, Manchester United adalah destinasi seterusnya buat dirinya.

Untuk menyertai The Red Devils, menurut laporan Sport, Rodriguez dikatakan perlu korbankan segalanya termasuklah permintaan gaji yang tentunya tidak akan dipenuhi mereka. Beliau menerima sekitar £132 ribu seminggu di Real Madrid ketika ini.

Sesuai tak dengan Manchester United?

Susah untuk melihat yang Manchester United masih berminat untuk meneruskan perbincangan untuk mendapatkan pemain ini. Dengan lambakan pemain di jentera tengah, mungkin kehadiran James Rodriguez tidak akan dialu-alukan pemain lain.

Tetapi dengan tanda harga £22 juta, ia jelas jauh lebih murah berbanding dengan sasaran mereka di Premier League, iaitu kapten Aston Villa, Jack Grealish yang dikatakan bernilai hampir £80 juta. Perlukah Ole Gunnar Solskjaer dapatkannya?

Melihatkan pilihan pengganti kepada Bruno Fernandes, iaitu Jesse Lingard, Andreas Pereira dan Juan Mata, kesemuanya dikaitkan dengan perpindahan keluar. Ini yang menyebabkan Solskjaer sedang memburu pemain untuk dijadikan pemain backup.

Saban musim beliau dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford, namun melihatkan situasinya kali ini, ia semakin jelas yang mungkin, kali ini, Rodriguez akhirnya akan berjaya menyertai Manchester United – dengan harga yang mampu milik.

Statistik gol dan bantuan gol yang baik

Kehebatkan Bruno Fernandes di jentera tengah tidak bermaksud Manchester United boleh berasa selesa. Mereka perlu memiliki seorang lagi pemain nombor 10 untuk mengukuhkan pasukan. Antara Jack Grealish dan James Rodriguez, siapa lebih baik?

Karier James Rodriguez sememangnya membuktikan yang dirinya adalah pemain yang bagus biarpun kurang digemari oleh Zinedine Zidane. Musim ini beliau hanya mendapat lapan penampilan di saingan La Liga sejurus kembali daripada pinjaman.

Daripada 137 penampilan bersama Real Madrid, beliau telah meledak 37 gol dan 42 bantuan gol. Dua musim secara pinjaman di Bayern Munich pula, Rodriguez telah menghasilkan 15 gol dan 20 bantuan gol. Masih rasa tidak berbaloi dengannya?

Sebelum menyertai Monaco, bersama Porto, pemain tengah menyerang itu telah menjaringkan 32 gol dengan 42 bantuan gol. Ia memberi petanda yang beliau adalah pemain yang bagus dan dengan nilai yang rendah, tidak rugi untuk mencubanya.

Penutup

Setakat ini, belum ada perkhabaran yang Manchester United akan mendapatkannya. Khabar angin akan terus bertiup kerana dirinya kerap kali tersisih dan Zinedine Zidane juga berkata yang beliau tidap pastinya mengenai masa depan pemain itu.

Jika anda berada pada situasi James Rodriguez, adakah anda akan meninggalkan pasukan? Dan jika anda merupakan pengendali The Red Devils pula, mahukah anda mendapatkan pemain kelahiran Colombia ini untuk memperkukuhkan skuad anda?

KREDIT FEATURED IMAGE: AP

Baca lagi artikel mengenai James Rodriguez:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN