Dion Cools Tidak Akan Dipanggil Semula Walaupun Sudah Beraksi Untuk Midtjylland

Situasi kecederaan pemain pertahanan negara Dion Cools sehingga digugurkan dari kem latihan pasukan negara untuk berhadapan Jordan dan Uzbekistan dalam dua perlawanan persahabatan menjadi antara isu utama ketika Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe berhadapan wartawan dalam sidang media secara atas talian pada hari ini.

Pemain kacukan Malaysia-Belgium itu pada mulanya berada di dalam senarai awal skuad Harimau Malaya yang diumumkan FAM untuk menyertai kem latihan menjelang jendela perlawanan antarabangsa Oktober ini.

Cools jadi tanda tanya

Pemain berusia 25 tahun kelahiran Kuching, Sarawak itu bagaimanapun digugurkan dari menyertai pasukan negara akibat kecederaan.

Tahap kecederaan pemain itu kemudiannya menjadi tanda tanya ramai apabila nama Dion Cools berada di dalam senarai skuad FC Midtjylands berhadapan Aarhus Gymnastikforening (AGF) di dalam aksi Liga Denmark pada malam tadi.

Malah bekas pemain Club Brugge itu turut beraksi dari bangku pemain simpanan pada 10 minit terakhir perlawanan utuk membantu pasukannya menang 4-0 ke atas AGF.

Situasi Dion Cools
FAM dilaporkan telah menerima makluman secara rasmi daripada pengarah sukan kelabnya bahawa Dion Cools mengalami kecederaan pada tulang pelvis.

Situasi tersemut menyebabkan ketua perubatan kelabnya meminta pemain berkenaan dikecualikan daripada panggilan skuad kebangsaan kali ini untuk dia dapat terus bersama dengan kelab bagi melakukan proses pemulihan supaya dapat kembali ke tahap sebelumnya.

“Itu maklum balas yang kita terima. Jadi kita tak boleh nak buat andaian yang bukan-bukan kerana ia adalah maklum balas secara rasmi daripada kelabnya kepada FAM.” kata Tan Cheng Hoe.

Menjelaskan situasi tersebut, Tan Cheng Hoe menjelaskan pihak pengurusan skuad kebangsaan sememangnya sentiasa berkomunikasi dengan Midtjylands menegenai status Cools, dan pemain itu disahkan tidak cergas sebelum ini.

“Dion Cools okay. Cuma jadi satu isu sahaja sekarang. Kami mendapat maklum balas Dion Cools belum dalam keadaan 100% pulih dari kecederaan, sebab itu ramai yang tertanya-tanya mengapa Dion Cools tidak dipanggil,” kata Tan Cheng Hoe.

Menjelaskan mengenai pemain itu yang tetap turun beraksi untuk kelabnya tetapi tidak menyertai pasukan negara walaupun tidak cergas sepenuhnya, Tan Cheng Hoe berkata ia mungkin adalah sebahagian daripada proses pemulihan pemain itu.

“Memang satu kerugian [Dion Cools tiada dalam skuad kebangsaan]. Tetapi setiap kali pemain datang ke skuad kebangsaan, mereka perlu berada pada tahap terbaik dan bebas dari kecederaan.

“Walaupun ramai yang berkata beliau turun dengan pasukannya semalam, kita perlu tahu 10 minit terakhir aksi itu juga boleh menjadi sebahagian dari proses recovery (pemulihan).

“Apa yang penting ialah kita melihat masa depan Dion Cools adalah bersama skuad kebangsaan (Harimau Malaya),” tambah Tan Cheng Hoe lagi.

Tan Cheng Hoe juga mengesahkan Dion Cools tidak akan dipanggil bersama pasukan negara buat masa ini, termasuk perlawanan menentang Uzbekistan nanti, tetapi tetap akan berada dalam perancangan pada masa depan.

Skuad Harimau Malaya akan berhadapan Jordan pada 6 Oktober, dan Uzbekistan tiga hari kemudian. Seramai 22 pemain telah dibawa ke Jordan untuk dua perlawanan persahabatan tersebut, sebagai sebahagian dari persiapan untuk berhadapan Piala AFF Suzuki pada Disember ini.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply